Ada pihak yang yang tidak selesa, malah merasa ragu serta menganggapnya tersasar bila pendekatan ‘Membangun Negara Berkebajikan’ dijadikan misi baru politik Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Sementara pihak parti kebangsaan seumpama UMNO mentohmah PAS lari dari prinsip perjuangan kerana tidak lagi memakai cita-cita menegak Negara Islam.
Apa yang patut difahami bahawa Islam mengajar umatnya agar
terus-menerus memperjuangkan ajaran agamanya. Ia adalah prinsip yang
tiada tawar-menawar. Justeru sesiapa yang tawar-menawar atas prinsip
Islam, maka ia bukannya pejuang agama Islam yang sejati. Maka bukan
pejuang Islam jika terus membiarkan Islam tergelincir dari landasan
kuasa, dan pada sama fahaman kebangsaan (selain Islam) terus meluncur
lancar di landasan kuasa.
Apapun Islam tidak mengikat umatnya memilih mana-mana pendekatan untuk
memajukan perjuangannya. Memilih pendekatan untuk mendapat kuasa Islam
seperti mana PAS mengisytihar misi Negara Islam adalah sebenarnya ia
satu pendekatan. Walaupun begitu ada banyak pihak dalam masyarakat
demokrasi hari ini yang allergic dengan kalimah Negara Islam. Atas asas
ini, PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang reflektif harus merungkai
nilai allergic itu. Maknanya, kalimah yang serasi dengan Islam dan boleh
merapati orang ramai perlu dipapar untuk persetujuan masyarakat.
PAS bersifat reflektif. Dalam hubungan ini, PAS memilih pendekatan
kalimah ‘Membangun Negara Berkebajikan’ bagi memastikan mereka yang
allergic itu dapat merapati diri pada prinsip Islam. Ia suatu pendekatan
politik-dakwah yang sekian lama diuruskan oleh PAS. Namun, ada pula
pihak yang belum cukup faham akan maslahah ini. Sehingga mencetus
polemik berlapikkan hujah akademik. Meskipun pendekatan Membangun Negara
Berkebajikan bukanlah akademik semata-mata, tetapi ia adalah sticker
Islam yang terlekat kukuh pada prinsip PAS.
Apa yang perlu difahami, sebuah parti yang mendukungi Islam sebagai
dasar, dengan al Quran dan as Sunnah serta Qias dan Ijmak sebagai
panduan, sebenarnya isi kandungan kepada pendekatan Membangun Negara
Berkebajikan tetap utuh berpaksikan syariat Islam. Ia sama sekali tidak
sama dengan sebuah parti kebangsaan/ sekular yang berantakan memakai
pendekatan Negara Islam, tetapi paksinya tetap sekular.
Sudah tentu parti itu jelas tersasar kerana penerimaan Negara Islam di
sisi parti tersebut sudah bercanggah dengan dasarnya. Maka jadilah
seperti pendekatan Islam Hadhari (era Pak Lah), mahupun Penerapan
Nilai-nilai Islam (era Mahathirisme) atau juga pendekatan ‘Wasatiyah’
(era Najib-Rosmah). Membuktikan parti sekular Nampak jelas memperalatkan
pendekatan Islam untuk menyuci diri sedangkan dalam dirinya tidak
menerima akidah Islam.
Kenapa Negara Berkebajikan dikatakan tetap berpaksikan Islam? Sudah
tentu ia tetap selari dan sentiasa betul atas prinsip Islam. Hal (fakta)
ini patut dirujuk kepada kandungan al Quran sendiri, tatkala Allah
Taala dan Hadis Nabi S.A.W sendiri mensifatkan ‘kekuasaan’ Islam itu
dalam pendekatan kepelbagaian. Dalam hubungan ini, Mursyidul Am PAS,
Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga selaku Menteri Besar Kelantan mengulas
realiti Membangun Negara Berkebajikan ini adalah tetap selari dengan
prinsip Islam dan sesungguhnya ia tidak bercanggah dengan pendirian PAS
untuk menegak Negara Islam. Cuma kalimahnya berbeza, sedangkan isi dan
acuannya tetap sama, iaitu untuk mencapai keredaan Allah Taala.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyerlahkan fakta, antaranya harus difahami
nilai kepelbagaian yang dinyatakan Allah di dalam al Quran. Sebagaimana
surah al Fatihah ada kalimah yang menjadi isi Negara Islam, iaitu :
"Tunjukilah kami jalan yang lurus" - Surah al Fatihah:6
Iaitu jalan agama yang diredai Allah dan Rasul-Nya. Demikian lagi
diterangkan natijah yang harus diterima ialah bahawa Allah Taala
menyebutkan Islam itu dengan pelbagai nama. Selain Islam itu jalan yang
betul (lurus), disebutkan :
"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama
Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah
kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu
Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan
nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang
Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang
neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah
selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga).
Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya,
supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya."- Surah al Imran:103
Berpegang teguhlah kamu pada tali Allah - yang bermakna tali Allah itu ialah Islam. Begitu juga di dalam al Quran :
Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu:
Bukti dari Tuhan kamu, dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu
(Al-Quran sebagai) Nur (cahaya) yang menerangi (segala apa jua yang
membawa kejayaan di dunia ini dan kebahagiaan yang kekal di akhirat
kelak)." - Surah an Nisa:174
Allah menurunkan kepada kamu al Quran sebagai "Nur" (cahaya) yang
menerangi (segala apa jua yang membawa kejayaan di dunia ini dan
kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak). Justeru Membangun Negara
Berkebajikan adalah kalimah yang diolah, sepertimana kalimah Islam itu
diterangkan dalam pelbagai senario: bil-Islam (tali Allah) sebagai
pengikat yang kukuh, penghubung di dalam menolong sesama insan dan Islam
itu ibarat tali yang panjang dan insan beriman perlu berpegang kuat
untuk sampai ke penghujungnya, iaitu syafaat Nabi Muhammad S.A.W dan
keredhaan Allah Taala.
Begitu pula, Islam sebagai cahaya iman yang membebaskan kehidupan
manusia dari kegelapan (tidak beriman) kepada terang-benderang (mencapai
keimanan). Oleh sebab itu, sesiapa sahaja akan menerima cahaya iman
dengan izin Allah, tidak kira ia seorang Melayu atau Cina atau India.
Semuanya menumpang atas cahaya iman itu, kerana akhirat kelak akan
dibangkitkan bersama cahaya iman, jika sebenar-benar ia beriman.
Tawaran PAS dalam dokumen Negara Berkebajikan :
- Kerajaan beramanah, adil dan bersih.
- Masyarakat penyayang, aman dan bersatu.
- Ekonomi mampan, seimbang dan saksama.
- Pendidikan berkualiti, berdaya saing dan boleh capai.
- Perkhidmatan kesihatan cekap, berkualiti dan boleh capai.
- Kebajikan langsung, menyeluruh dan mesra rakyat.
- Keluarga harmoni, bahagia dan bermoral.
- Belia, pekerja produktif, berdaya saing dan terbela.
- Kemudahan prasarana berkualiti, cekap dan bertaraf dunia.
- Alam sekitar segar, terpelihara dan lestari.
PAS sebuah parti yang mendukungi Islam sebagai dasar, turut membayangkan
isyarat Membangun Negara Berkebajikan ini tetap utuh mahu menegakkan
syariat Islam. Ia sama sekali tidak seperti sebuah parti kebangsaan yang
berantakan perjuangannya. Oleh sebab itu, sesiapa sahaja akan menerima
cahaya iman dengan izin Allah, tidak kira ia seorang Melayu atau Cina
atau India. Semuanya menumpang atas cahaya iman itu, kerana akhirat
kelak akan dibangkitkan bersama cahaya iman, jika sebenar-benar ia
beriman.
Hakikat ini hanya ditemui dalam sebuah negara yang berkebajikan kerana
kebajikan itu hendaklah difahami sebagai cahaya keimanan. Mana-mana
negara yang melaksanakan program berkebajikan menurut acuan Islam, maka
membolehkan rakyatnya mencapai tingkat berkebajikan berserta keimanan,
iaitu mencapai tingkat keimanan disebabkan amal khairat kerajaan dan
rakyat.
Negara yang mempraktikkan ‘berkebajikan’ hendaklah istiqamah di atas
jalan agama. Atas jalan agama pasti Allah kurniakan nikmat sepanjang di
dunia sampai ke akhirat. Menghayati prinsip jalan yang lurus inilah
menjadi sifat kerajaan ialah menegakkan syariat dan program negara
adalah mengutamakan ‘memberi nikmat kepada rakyat, dari nikmat Allah’.
Maka sifatnya memenuhi nilai-nilai ajaran Islam - charitable,
beneficence, benevolence, general state of well-being, caring, virtuous,
ambil peduli, cakna, penyayang - memenuhi makna syariat Islam sebagai
agama, iman dan ihsan yang memandu warganegara menuju keredhaan Allah.
Selari dengan itu, dalam hadis Nabi S.A.W (seperti dalam Syarah Hadis 40
Imam Nawawi) menjelaskan makna Islam, iman dan ihsan serta tanda kiamat
- mengajar bagaimana mencapai tingkat kefahaman agama yang meliputi
asas akidah, amal ibadat dan peringatan kepada hidup selepas mati.
Paling utama ia memenuhi asas beragama dalam konteks bernegara dan
berkebajikan. Justeru menghayati prinsip asas beragama inilah, Membangun
Negara Berkebajikan hendaklah difahami secara adil, iaitu merangkumi
program untuk kesejahteraan hidup rakyat, malah lebih mendalam lagi
ialah program yang memberi impak keharmonian kepada kehidupan beragama.
Kesemuanya adalah nilai sejagat (universal) yang menjadi isi dan acuan
bernegara berasaskan pendekatan Membangun Negara Berkebajikan. Maka
tiadalah percanggahan antara nama Negara Islam dan Negara Berkebajikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan