Pernah
satu ketika seorang bapa datang kepada saya dan mengadu hal
anak-anaknya. Katanya dia mempunyai lima orang anak, anak yang pertama
hingga ketiga semuanya bagus dan cemerlang tetapi anak keempat dan yang
bongsu sangat bermasalah. Mereka suka keluar malam, tidak solat,
menipu, melepak, malas belajar dan degil.
Setelah mendengar
keluhan bapa itu lalu saya cuba menduga, mungkin cara didikannya tidak
sama dengan tiga anak yang pertama, atau masanya dengan mereka kurang,
atau beliau tidak lagi menjadi pendengar yang baik bagi anak-anaknya.
Namun semuanya itu dinafikan oleh sibapa. Lalu saya minta bapa itu
semak sumber makanan kalau-kalau ada dari sumber yang haram. Ketika itu
wajahnya berubah. Dia akui bahawa sewaktu membesarkan tiga anak yang
pertama dia begitu dedikasi dan jujur. Dia benci sebarang sogokan dan
rasuah. Tetapi apabila sudah bertahun-tahun bekerja dan melihat ramai
orang disekelilingnya makan rasuah macam makan nasi maka dia merasakan
bahawa semuanya itu adalah amalan biasa lalu turut terlibat sama. Dua
anak terakhirnya menjadi mangsa dari rezeki haram itu. Bila sudah
begini jadinya pada siapa mahu disalahkan, pada anak atau pada diri
sendiri. Bapa itu sedar akan kesilapannya lalu menangis tetapi semuanya
sudah berlaku. Saya minta beliau buat solat taubat dan minta ampun
pada Allah.
Apabila rezeki tidak berkat ujian datang
bertimpa-timpa. Telefon bimbit rosak, kereta rosak, emak sakit, rumah
dimasuki pencuri, kena samun dan macam-macam lagi. Semuanya tujuannya
hanya satu iaitu supaya duit yang kita dapat itu keluar dari poket kita
secara terpaksa. Kalau selalu sangan Allah uji, habis satu masalah
datang pula masalah yang lain, maka mungkin sudah sampai masanya kita
muhasabah diri dan bertanya sama ada rezeki kita itu berkat atau tidak?
Kalau tidak berkat apa puncanya? Sebab ada ketikanya Allah uji
sesorang itu bagi menaikkan darjat dan martabatnya tetapi ada ketikanya
pula sebagai satu pengajaran dan bala baginya.
Antara kesan daripada rezeki yang berkat:
1) Kita sentiasa merasa cukup dengan rezeki yang diperolehi sentiasa cukup malah berlebihan.
Tidak terfikirkah kita bagaimana orang yang tinggal di kampung dan luar
bandar boleh membesarkan sepuluh orang anak dengan hanya membanting
tulang menoreh getah atau menuai padi. Sedangkan kita di bandar dengan
gaji beribu dan hanya dua tiga orang anak tidak pernah merasa cukup.
Malah ada yang bergaji lebih sepuluh ribu ringgit tetap tidak merasa
cukup. Jika rezeki kita berkat maka Allah akan cukupkan keperluan kita.
2) Akhlak dan perilaku suami, isteri dan anak-anak hebat. Banyak
masalah sosial anak-anak dan penceraian berlaku hasil dari rezeki yang
tidak berkat. Apabila rezeki itu berkat ia akan dapat dilihat melalui
aklah anak-anak yang positif dan perilaku mereka yang cemerlang.
3) Mudah menjaga solat dan melakukan ibadah lain seperti umrah dan haji. Apabila
rezeki yang diperolehi itu berkat, hati kita bersih dan minda kita
tenang. Mudah bagi kita untuk solat dan beramal ibadat. Rezeki yang
berkat akan memudahkan kita sampai ke tanah suci Mekah. Ramai orang
yang mendapat rezeki yang tidak berkat takut untuk ke tanah suci kerana
bimbang akan balasan Allah secara tunai di dunia ini. Walhal, tanah
sucilah tempat untuk bertaubat, membersihkan diri dari dosa dan memohon
keberkatan.
4) Orang di sekeliling suka kita.
Apabila rezeki kita berkat semua orang sayang kita. Sebab kita suka
belanja mereka dan mehulurkan sedekah dan bantuan. Orang suka
dekatikita kerana mereka dapat rasakan keikhlasan dan aura positif yang
terpancar dari dalam diri kita.
5) Orang suka datang rumah dan menziarahi kita. Rumah
kita bagikan magnet. Ada sahaja saudara, kenalan atau jiran yang
mengunjungi kita. Mereka yang datang itu akan bawa pahala dan pukangnya
mereka akan menghapuskan dosa kita. Malah, rezeki pula bertambah murah
dan ada sahaja yang kita perolehi tanpa disangka-sangka.
6) Anak-anak cemerlang dalam pelajarannya.
Apabila rezeki itu berkat, jiwa dan minda anak-anak juga bersih. Jiwa
dan minda yang bersih membolehkan mereka tumpu pada pelajaran dan apa
yang dipelajari itu pula mudah difahami dan lekat dalam kepala.
Hasilnya, keputusan peperiksaan anak-anak cemerlang. Malah anak kita
juga menjadi contoh dalam banyak perkara dan aktiviti disekolah. Dia
dilantik untuk memegang jawatan dan menjadi kesayang guru dan rakan.
7) Doa yang makbul. Keberkatan
rezeki membuatkan permohonan dan doa kita dimakbulkan oleh. Sebab Nabi
SAW memang ada menegaskan bahawa antara faktor yang menghalang
makbulnya doa itu adalah makanan dari sumber yang haram.
Begitulah
antara kesan positif yang diperoleh daripada rezeki yang berkat. Kita
perlu faham rezeki yang berkat bukan sahaja bermakna bebas dari rasuah
atau wang diperolehi daripada aktiviti yang haram. Ada ketikanya, sikap
curi tulang, tidak amanah dalam kerja, tidak mencapai kualiti kerja,
malas dan sebagainya sewaktu menjalankan pekerjaan boleh menyumbang
kepada tiada keberkatan rezeki. Sebab itulah, dalam apa juga yang kita
lakukan dalam mencari rezeki maka lakukanlah dengan ikhlas,
bersungguh-sungguh dan amanah. Insya Allah, apabila rezeki berkat kita
dinaikkan pangkat dan satu hari mendapat anugerah pekerja cemerlang.
Isnin, 18 Januari 2021
KEBERKATAN REZEKI
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan