Jumaat, 23 November 2012

Hukum bekerjasama melakukan penipuan dalam pilihan raya



Soalan:
Saya bekerja sebagai pegawai di pejabat daerah di sebuah wilayah di Mesir dan sentiasa dilantik untuk menjadi pemantau kepada perjalanan pilihan raya. Sedia maklum bahawa dalam proses pilihan raya selalu berlaku penipuan tanpa persetujuan saya, malah saya tidak ada kuasa untuk membantahnya. Apakah hukum syarak mengenai perkara ini? Sekarang hari mengundi hampir tiba. Saya jadi serba salah, bimbang gaji yang saya terima tidak halal untuk diberi makan kepada ahli keluarga saya.
Soalan di atas telah dijawab oleh Syeikh Dr Abdul Rahman al-Birr, Profesor dalam bidang Hadis dan Ulum Hadis di Fakulti Usulud-Din, Universiti al-Azhar, al-Mansurah.
Jawapan:

Sesungguhnya segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.

Sesungguhnya antara bentuk penipuan yang paling besar dan kejahatan yang paling keji adalah memalsukan kehendak umat, iaitu apa yang dilakukan oleh mereka yang bersekongkol dalam memalsukan kad-kad pilihan raya, yang memerintah supaya melakukan perkara tersebut, yang redha dengannya dan yang tidak mencegahnya. Sesungguhnya Allah Ta’ala mencela mereka yang cenderung kepada kezaliman orang-orang yang zalim dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain daripada Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.”
(Hud: 113)
Maka sesiapa yang tidak berkuasa untuk menghalang kemungkaran ini, dia hendaklah sekurang-kurangnya membenci dan jangan redha terhadapnya. Itu merupakan selemah-lemah iman sebagaimana dinyatakan dalam maksud hadis sahih riwayat Muslim daripada Abi Sa’eid al-Khudri radiallahuanhu katanya,
“Aku mendengar Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda: ‘Sesiapa antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubah dengan tangannya. Jika dia tidak berkuasa, maka dengan lisannya. Jika dia tidak berkuasa, maka dengan hatinya. Dan itu adalah selemah-lemah iman.’”

Kejahatan itu menjadi lebih buruk lagi jika orang yang melaksanakan penipuan atau yang redha dengannya mengambil sejumlah harta untuk melaksanakannya atau untuk bersetuju dengan kemungkaran serta jenayah tersebut. Maka anggota badan pilihan raya (SPR) seperti ketua atau penolongnya, jika dia yang melakukan penipuan atau dia redha dengan penipuan itu, sudah tentu dia berdosa, makan harta yang haram, pengamal rasuah yang dilaknat. Pengamal rasuah adalah terlaknat, sama ada yang makan, yang memberi dan yang menjadi perantara di antara keduanya (pemberi dan penerima).

Dalam sepotong hadis yang dikeluarkan oleh Muslim daripada Abu Hurairah radiallahuanhu, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya):
“Sesiapa yang memikul senjata untuk memerangi kami, maka dia bukan daripada kalangan kami. Dan sesiapa yang menipu kami, maka dia bukan daripada kalangan kami.”

Perhatikan di dalam hadis tersebut, baginda sallallahu alaihi wasallam telah menghimpunkan orang yang mengangkat senjata dengan orang yang menipu. Ini dengan jelas menunjukkan betapa besarnya jenayah menipu yang dilakukan oleh seseorang untuk menipu umat ini atau menolong orang lain melakukan penipuan terhadap umat ini.

Adapun orang yang dipaksa, dan dia tidak dapat melepaskan diri atau tidak mampu untuk mengelak daripada melakukannya, atau dia mendapat ugutan yang tidak tertanggung oleh dirinya, keluarganya atau lain-lain, maka dalam situasi sebegitu, dia dimaafkan kerana dia melakukannya dalam keadaan dipaksa. Daripada Abu Dzar al-Ghifari radiallahuanhu, bahawa Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya):
“Sesungguhnya Allah tidak meletakkan dosa ke atas umatku yang tersalah, terlupa atau terpaksa.”
(Riwayat Ibn Majah)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan