Khamis, 6 April 2017

MENGAPA ISLAM DIMUSUHI


PERTEMBUNGAN antara tauhid dan syirik adalah pertembungan yang sangat tradisi cuma ia berbeza watak-watak kem tauhid dan kem syirik serta situasi pertembungan yang agak berlainan mengikut zaman.

Apabila kita memerhatikan pertembungan ini di zaman moden, kita mendapati pertembungan sebenarnya atas nama agama tetapi sering dialihkan isunya kepada kepada isu-isu yang direka-reka agar umat Islam tidak melihat ia adalah isu agama tetapi lebih melihat kepada isu sejagat.

Menteri Agama Turki, Mehmet Gormez membuat satu penilitian yang baik untuk kita fikirkan ketika membandingkan isu pejabat Majalah Charlie Hebdo diserang dan menyebabkan kematian seramai 12 orang akibat keceluparan majalah berkenaan terhadap Junjungan Besar Nabi SAW atas nama hak kebebasan berkarya.

Seluruh dunia diajak bersimpati dan ramai pemimpin dunia termasuk pemimpin dunia Islam bergandingan tangan sebagai tanda simpati namun dunia terus menjadi penonton kepada kekejaman berterus-terusan kepada umat Islam di seluruh dunia.

Kita meratap dengan terkorbannya 12 orang berkenaan tetapi dunia hanya simpati melihat jutaan umat Islam dibunuh dengan alasan yang direka-reka. Umat Islam terus dibunuh di Palestin, Syria, Iraq, berlaku tekanan demi tekanan di sesetengah negara Barat bahkan yang sedang berlaku siang dan malam adalah umat Islam Rohingya negeri Rakhine di Wilayah Arakan, Myanmar.

Isu umat Islam Rohingya sangat menjarah umat Islam. Mereka dimusuhi semata-mata mereka beragama Islam. Mengakui Allah hanyalah Tuhan yang Tunggal adalah dianggap satu jenayah yang boleh diusir bahkan dirogol wanita muslimahnya dan dibakar hidup-hidup.

Inilah salah satu contoh pertembungan tauhid dan syirik versi moden. Benarlah firman Allah di dalam surah Al Buruj ketika menceritakan orang-orang yang beriman dengan Allah SWT Yang Esa dianggap penjenayah dan dibakar hidup-hidup: Celakalah kaum yang menggali parit, (Parit) api yang penuh dengan bahan bakaran, (Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya, Sambil mereka melihat apa yang mereka lakukan kepada orang-orang yang beriman. Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji! (QS Al Buruj ayat 4 hingga 8)

Pertubuhan Hak Asasi Manusia melaporkan, dari tempoh 22 Oktober sehingga 10 November sahaja sebanyak 430 buah kampung telah dibakar melibatkan kawasan-kawasan Pyaung Pyit, Kyet Yoe Pyin, and Wa Peik.

Ia dikesan daripada imej setelit bahkan mereka ada yang dikumpulkan di tengah sawah sama ada ditembak mahupun dibakar hidup-hidup. Kitab suci Al Quran dikumpul dan dimusnahkan!

Umat Islam di Malaysia ketika itu sibuk hendak memilih baju kuning ataupun merah sedangkan darah-darah merah saudara seaqidah dengan kita mengalir membasahi bumi.

Mereka menjadi mangsa penolakan dua buah negara iaitu Mynmar dan Bangladesh . Kerajaan Mynmar mendakwa orang Ronghiya adalah pendatang dari Bangladesh manakala Kerajaan Bangladesh menafikannya.

Ini disebabkan mereka tiada dokumen dan bukti bahawa mereka adalah penduduk asal negeri Rakhinedi Wilayah Arakan .

Ini pengajaran besar kepada umat Melayu Islam di negara ini untuk menjaga identiti dan sejarah serta segala dokumen-dokumen sejarah yang amat bernilai.

Kajian-kajian genetik dan DNA, mendokumentasi sejarah Melayu, kajian asal usul bangsa Melayu sangat relevan walaupun sering dibayangi dengan slogan-slogan yang mengujakan seperti “Kita orang Islam, semua muslim bersaudara, kita tiada sempadan” , “ Tinggalkan sejarah sebagai sejarah”, “Semua bangsa sudah menerima hakikat Malaysia sebagai tanah air mereka”.

Belajarlah sejarah kerana sejarah sangat bernilai untuk mengekalkan jatiri dan mempertegaskan hak kepunyaan kita.

Pergolakan dunia moden hari ini memperkukuhkan bahawa umat Islamlah yang mampu menolong saudara seaqidahnya disebabkan isu saudara seaqidah kita di Wilayah Rakhine ini sangat terpinggir termasuklah dari Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) iaitu satu pertubuhan antarabangsa di kalangan negara-negara Islam yang mempunyai delegasi tetap ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Organisasi ini terdiri daripada gabungan 57 negara-negara Islam seluruh dunia yang kebanyakannya dari negara-negara Timur Tengah dan utara Afrika, Caucasus, Asia Tenggara, Asia Tengah, Balkan dan Asia Selatan.

Sepatutnya mereka bersama-sama bergabung bersatu tenaga dan suara untuk melindungi kepentingan dan memastikan kemajuan dan kebajikan umat Islam di seluruh dunia.

Terlebih malang apabila Pemegang Hadiah Nobel Keamanan Dunia Aung San Suu Kyi sebagai pemerintah utama negara berkenaan gagal memberi keamanan kepada rakyatnya sendiri.

Ustaz Haji Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Isma, sebuah pertubuhan Islam sederhana dan Ismaweb.net

Tiada ulasan:

Catat Ulasan