WASPADA PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL
Khutbah Pertama
الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا أُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُهِينٌ ﴿٦﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ، أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ
Ayat dibacakan tadi dipetik dari Surah Luqman Ayat 6 yang bermaksud: "Dan ada di antara manusia orang yang memilih serta membelanjakan harta kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan untuk menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan dan menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan, merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan".
Sidang Jumaat yang dirahmati ِAllah sekalian,
Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar Jumaat pada hari ini akan membicarakan tentang; "Waspada Penggunaan Media Sosial".
Kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Di tengah-tengah perkembangan media yang pesat membangun semua lapisan masyarakat di negara kita tidak kira kecil atau besar, tua atau muda, lelaki atau wanita seorang pun tidak mahu ketinggalan dalam menggunakan aplikasi media sosial seperti facebook, twitter, whatsapp, instagram dan sebagainya.
Statistik penggunaan internet di Malaysia menunjukkan peningkatan yang sangat memberangsangkan. Seramai 20.1 juta pengguna internet atau 67% daripada 30 juta rakyat Malaysia ada menggunakan internet sekaligus merupakan satu perkembangan yang cukup positif dari segi celiknya rakyat Malaysia mengenai IT. Pada masa ini, whatsapp merupakan aplikasi yang memiliki paling ramai pengguna iaitu 800 juta pengguna aktif setiap bulan. Di bulan Februari, twitter mengumumkan bahawa mereka memiliki 288 juta pengguna aktif. Manakala pada bulan Disember, instagram melaporkan mereka memiliki 300 juta pengguna aktif. Sementara facebook yang memiliki instagram dan whatsapp melaporkan jumlah pengguna aktif rata-rata per bulan sebanyak 1.39 juta di bulan Disember tahun lalu.
Sidang jamaah yang dikasihi sekalian,
Islam adalah agama yang sama sekali tidak menghalang kemajuan atau pemodenan. Namun, sejak akhir-akhir ini kita dihantui dengan pelbagai penyalahgunaan nikmat kemodenan iaitu melalui media sosial di luar batasan dan keterlaluan di kalangan penggunanya yang melampaui batas. Sekaligus menjadikan media sosial adalah satu fenomena yang sangat membimbangkan jika tidak dibendung mulai dari hari ini. Banyak insur kemungkaran telah timbul, membesar, membiak dan mewabak dalam masyarakat kita melalui media sosial ini. Bukan sahaja pendedahan aurat di sana sini, membuka keaiban orang lain juga sudah tidak menjadi asing lagi. Melemparkan tuduhan, saling salah menyalahkan antara satu sama lain, menyebarkan cerita dan berita tidak pasti, menjadi punca pergaduhan suami isteri dan komuniti, seterusnya penggunaan bahasa caci mencaci, seolah-olah menjadi suatu yang sebati.
Umat Islam hari ini pula menghabiskan masa yang sangat banyak melayari media sosial, jika dibandingkan melayari Ayat-Ayat Allah yang suci. Persoalannya, berapa keratkah daripada kita melayari bahan-bahan yang berunsurkan kerohanian, keagamaan dan akhlak yang baik? Berapa banyakkah pula bahan berunsur dakwah, nasihat atau akhlak murni dihidangkan kepada kita melalui media sosial? Setiap kali kita kita melakukan klik atau melayari laman media sosial, adakah pelayaran atau klik pada laman itu membawa kebaikan atau kemungkaran? Adakah semua itu membentuk saham akhirat yang benar-benar bermanfaat atau menambah bebanan dosa yang sedia berat dan sarat?
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Umat Islam diingatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak lalai serta leka terhadap bahaya yang timbul daripada media sosial seperti penyebaran ideologi yang merosakkan dan bertentangan dengan syariat Islam. Ia juga berbahaya jika tiada kawalan dan sekatan terhadap rangkaian yang menyebarkan kandungan negatif seperti laman lucah yang akan membawa kepada masalah sosial yang lebih besar.
Hadis yang telah diriwayatkan oleh Anas r.a, bahawa Nabi s.a.w sering berdoa: "Ya Allah, aku berlindung kepada Mu dari kelemahan, kemalasan, kebakhilan, kenyanyukkan, kekerasan hati, kelalaian, kehinaan dan kemiskinan". (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Ketahuilah, rosaknya jiwa disebabkan hawa nafsu dan syahwat yang menguasai dan rosaknya hati disebabkan kelalaian dan kekerasan hati. Sebagaimana firman Allah s.w.t:
وَاذْكُر رَّبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ وَلَا تَكُن مِّنَ الْغَافِلِينَ
Muslimin yang dirahmati Allah,
Media sosial kini menjadi landasan media yang penting dan pencapaiannya merentas sempadan geografi kerana orang ramai boleh mendapat kenalan dari seluruh pelusuk dunia, merentasi jarak dan ruang serta masa. Peranannya adalah besar dalam kehidupan individu, keluarga dan negara.
Sehubungan itu, mimbar menyeru umat Islam supaya menggunakan media sosial untuk menanam dan menggalakkan nilai-nilai kebaikan dan memupuk kasih sayang sesama insan selain berkerjasama untuk meningkatkan lagi ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. Penggunaan media sosial telah terlalu banyak membawa pelbagai perubahan sosial sama ada yang positif atau negatif di seluruh dunia dan boleh digunakan untuk menyemai kebaikan dan menunjukkan jalan kebenaran hingga seseorang itu boleh mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Selain itu, media sosial juga boleh mengekalkan hubungan baik antara individu, komuniti, saudara mara, rakan-rakan dan antara pekerja professional selain pertukaran maklumat yang berguna. Daripada situ, akan wujudnya komuniti Islam yang saling mengasihi dan melakukan kerja-kerja yang mulia. Media sosial juga berkesan digunakan untuk mengajar, belajar dan menyeru manusia ke jalan Allah.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita sama-sama menghayati firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Hujurat Ayat 6 yang berbunyi:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
(Surah Al-Hujurat Ayat 6)
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Khutbah Kedua
الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ
يَوْمَئِذٍ يَصْدُرُ النَّاسُ أَشْتَاتًا لِيُرَوْا أَعْمَالَهُمْ ﴿٦﴾ فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ ﴿٧﴾ وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ ﴿٨
Bermaksud: "Pada hari itu, manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka.Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)". (Al-Zalzalah Ayat 6 hingga 8)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ، فَيَاعِبَادَ الله، اللهَ اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
Sebagai penutup khutbah pada hari yang mulia ini, marilah kita pastikan bahawa diri, anak-anak dan isteri, saudara-mara, rakan taulan dan sahabat-sahabat kita adalah pengguna maklumat media sosial yang patuh syariat Allah s.w.t. Umpama barang dagangan hendak dibeli di pasar, barang itu dipilih, diteliti, dipersoal harganya dan dibanding-bandingkan kualitinya agar tidak rugi. Justeru:
Pertama: Mari kita jadikan setiap detik masa yang diluangkan pada halaman media sosial sebagai jambatan kebaikan dan saham menuju ke akhirat.
Kedua: Ayuh kita bentuk jari jemari kita menjadi pena yang menulis tentang apa sahaja perkara maaruf atau kebaikan supaya timbangan mizan kita menjadi berat dengan pahala di hadapan Allah nanti.
Ketiga: Segera kita bentuk iman dan hati kita supaya menjauhi fitnah, caci hina dan permusuhan sesama manusia serta takut membawa segala keburukan yang tersembunyi di media sosial apabila menghadap Allah s.w.t.
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦
Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita merebut peluang yang ada bagi memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah serta mendidik hati kita berasa risau dan resah apabila berjauhan dengan masjid. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang mendapat perlindungan Allah s.w.t di hari kiamat kelak seperti mana sabda Rasulullah s.a.w:
وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ
Bermaksud: "Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid". (Hadits Muttafaqun 'alaih)
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ
Ya Allah, ampunilah seluruh kaum muslimin dan muslimat serta berilah rasa tanggungjawab dalam diri kami ini untuk melaksanakan perintah-Mu dan berikanlah kebencian kepada kami terhadap larangan-Mu. Ya Allah, didikkanlah diri kami ini untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah, mengeluarkan zakat dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah yang lain. Kurniakanlah kepada kami nikmat yang berpanjangan , kesihatan yang berkekalan, hati yang khusyuk serta penuh keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan.
Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurnikanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, kurniakanlah kekuatan dan kebijaksanaan serta keadilan kepada para pentadbir zakat, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ
Posted by Dewan Ulamak PAS Perak
Labels: Khutbah
http://dewanulamakpasperak.blogspot.my/2017/10/khutbah-jumaat-30-muharam-1439-20.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan