Rabu, 29 November 2017

Apabila Yang Keliru Kian Celaru

Catatan Parlimen: Apabila Yang Keliru Kian Celaru

1. Parlimen bakal melabuhkan tirainya pada esok Khamis, 30 November 2017. Banyak pihak menjangkakan sidang ini adalah yang terakhir sebelum Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke 14.
Mandat PRU 13 yang digalas oleh kesemua 222 orang Ahli Parlimen akan tamat setelah hampir 5 tahun amanah diberikan oleh rakyat.

2. Namun, ada juga Ahli Parlimen yang mengalami masalah kekeliruan identiti perjuangan sehingga menyebabkan mereka melompat keluar dari parti yang mereka wakili ketika menang dalam PRU 13 dulu.

Sebelum bertanding, mereka melafazkan Baiah (Sumpah) berjanji setia dan tidak akan mengkhianati perjuangan.
Namun, apakan daya apabila sudah menang, bergelar YB, menikmati elaun puluhan ribu ringgit, sudah terlupa pula asal usul diri sendiri sambil mendabik dada seolah mereka menang atas kapasiti peribadi. Mereka sewenangnya menghina dan mengkeji parti yang menaikkan nama mereka menjadi calon untuk bertanding dulu.
Adakah ini sifat seorang yang beramanah dan berintegriti.?

3. Apa yang lebih menyedihkan, mereka yang melompat parti ini bukan sahaja sudah lupa asal usul diri tetapi kian tersasar dari landasan perjuangan. Jikalau dahulu, merekalah jaguh berpidato dan wira mempertahankan hak ummat Islam, kini apa sudah jadi.?
Prinsip, dasar, dan jati diri perjuangan Islam sudah dileburkan hanya semata demi merebut kuasa ke mercu Putrajaya bersama Pakatan Harapan.
Mereka mengeluarkan 1001 alasan dan dalih bagi menafikan hak ummat Islam untuk beramal dengan agama.
Ironinya, mereka boleh pula menjadi hero untuk mempertahankan golongan atheist, Muslim Liberal dan Kristian Evangelis.

4. Pada minggu awal sidang terakhir ini, DAP tidak perlu bersusah payah bersuara mengenai isu Pesta Arak kerana sudah ada jurubicara mereka yang menjalankan tugas tersebut iaitu para YB PAN. Gelagat YB Sepang dan Shah Alam yang bersungguh mempertahankan penganjuran Pesta Arak tidak terhenti di situ.

5. Pada Khamis lepas, ketika sesi soal jawab lisan Dewan kecoh apabila YB PAN Shah Alam menyatakan antara punca berlakunya masalah fahaman Atheist ini adalah kerana kesilapan Kerajaan lalu dikaitkan dengan hal 1 MDB.
Pada asalnya, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr. Asyraf Wajdi menjawab soalan yang dikemukakan oleh YB PAN Kota Raja, " sejauh mana gejala ateis berkembang dalam negara ini dan langkah menyeluruh
kerajaan bagi menyekat perkembangan kumpulan seperti ‘Atheist Republic Consulate of Kuala Lumpur’.?"

Dato’ Dr. Asyraf Wajdi menjawab dengan menyatakan kerajaan
menyedari dan berpandangan bahawa ideologi ini bercanggah dengan prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan dan perlu disekat daripada menyerang akidah umat Islam. Ideologi ini amat berbahaya dan bercanggah dengan Artikel 11 (1) Perlembagaan Malaysia yang menyatakan bahawa kebebasan agama itu bukan bermakna kebebasan untuk tidak beragama (freedom of religion is not freedom from religion).

6. Jawapan Timbalan Menteri JPM ini disanggah pula oleh YB PAN Sepang yang menerbitkan sebuah artikel bertajuk "A Muslim’s Defence of Atheists".
Bukan itu sahaja, ketika perbahasan Bajet Kementerian Komunikasi dan Multimedia, YB PAN Sepang dan Shah Alam berganding sekali lagi membela hak golongan atheist ini.
Atas nama kebebasan hak asasi manusia, mereka mendakwa golongan Atheist ini dilindungi oleh Perlembagaan.

7. Pemikiran yang terlalu mengagungkan kebebasan hak asasi manusia ini amatlah berbahaya kerana tidaklah mustahil suatu hari nanti kelompok LGBT pula menuntut hak mereka. Atas nama toleransi dan slogan 'Islam Rahmatan Lil Alamin' yang sering dicanang oleh mereka, adakah kita ummat Islam boleh percaya seperti fahaman pluralisme iaitu semua agama sama sahaja, tidak ada Ad Din yang benar-benar tulen di sisi Tuhan.?

8. YB PAN Sepang berpandangan Artikel 11 (1) mengenai Kebebasan Beragama itu turut menjamin hak golongan Atheist. Persoalan mudah yang patut ditanya kembali;
a) Adakah pemikiran golongan Atheist yang tidak mempercayai akan kewujudan Tuhan ini diiktiraf sebuah agama.?
b) Masalah yang berlaku sekarang, fahaman Atheist ini sedang disebar dan menular dalam kalangan remaja Melayu-Islam. Bukankah perbuatan cubaan memurtadkan orang Islam adalah  salah di sisi undang-undang.?

Mungkin YB PAN Sepang terlupa Artikel 11 (4) yang menyebut;
Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

9. Semalam, ketika perbahasan Bajet Kementerian Dalam Negeri, YB PAN Parit Buntar pula bangkit membela DAP yang dikaitkan dengan tuduhan menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian dan gerakan evangelism.
Punyalah ramai Ahli Parlimen DAP, tidak ada seorangkah daripada mereka sendiri mampu berbahas untuk menafikan tuduhan tersebut.?
Mereka hanya menjadi tukang sorak dan tukang sampuk di belakang ketika YB PAN ini gigih membela DAP yang dituduh. 
YB PAN Parit Buntar juga bersungguh membela tokoh Muslim Liberal, Dato' Dr Ahmad Farouk Musa yang merupakan Pengerusi Islamic Renaissance Front (IRF). Pertubuhan inilah yang sering mengimport tokoh Muslim Liberal antarabangsa datang ke Malaysia seperti Mustafa Akyol dari Turki.
Adakah mereka mahu ummat Islam di Malaysia mengikut acuan Islam seperti di Turki dan Tunisia.?
Adakah sama realiti dan konteks suasana Islam di sana hingga mahu dibawa ke sini.?

10. Mereka yang keliru ini sedang kian celaru. Mereka mahukan Islam tanpa Syariat. Mereka mahu menyembunyikan identiti Islam kerana ia dilihat menjadi penghalang kepada kemenangan Putrajaya. Atas sebab itu, mereka sering menjaja nama Maqasid Syariah yang dijadikan alasan dan dalih untuk tidak melaksanakan syariat.
Semoga mereka yang sedang keliru lagi celaru ini tidak lagi dipilih oleh rakyat pada PRU 14 nanti kerana tidak ada jaminan mereka tidak akan melompat ke sana sini lagi.

Catatan oleh;
Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS
29 November 2017

#UP
#Pas4all
#Istiqomah_hingga_kemenangan
#Sejahtera_bersama_islam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan