Rabu, 4 April 2018

Berhenti burukkan PAS!

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Timbalan Ketua Pemuda PAN, Faiz Fadzil yang menyatakan bahawa PAS bersekongkol dengan kerajaan dalam menyokong Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar yang dikatakan zalim. Bagi DPPM, ia satu tindakan yang tidak beretika dan berniat jahat dengan menimbulkan persepsi yang salah terhadap PAS kepada umum.

Tindakan Faiz Fadzil seolah-olah ingin menimbulkan persepsi buruk kepada umum tentang wujudnya kerjasama di antara PAS dan Umno seperti yang dicanangkan oleh PH. Namun jika diteliti secara terperinci oleh semua pihak, RUU tersebut ternyata bermanfaat dan melindungi kepentingan segenap lapisan masyarakat di setiap peringkat.

PAS menyokong RUU tersebut dan berpendapat bahawa ia menjamin hak semua lapisan masyarakat untuk mendapatkan akses berita yang sahih dan benar di samping dapat menyekat penyebaran berita-berita palsu dan fitnah yang berleluasa tanpa menghalang hak kebebasan bersuara seperti yang didakwa oleh beberapa pihak yang membantah pelaksanaan RUU tersebut.

Namun yang menjadi kemusykilan mengapa kesemua Ahli Parlimen PH menolak RUU tersebut sedangkan jika dikuatkuasakan kelak, semua pihak akan mendapat manfaat daripadanya terutamanya di saat pilihan raya semakin hampir di mana banyak berita palsu dan fitnah bertebaran di media sosial yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

EDPPM berharap dengan lulusnya RUU Anti Berita Tidak Benar ini, ia tidak disalahgunakan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu terutamanya ketika hampir musim pilihan raya. Biarlah ia memberi manfaat kepada semua pihak dalam mendidik masyarakat supaya menjadi lebih bertanggungjawab dan beretika dalam membuat dan menyebarkan sesuatu berita serta menjauhi fitnah yang merosakkan masyarakat dan negara.

"Mara Menuju Cita"

"Sejahtera Bersama Islam"

IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.
4 April 2018 | 18 Rejab 1439 - HARAKAHDAILY 4/4/2018

_AC_

Tiada ulasan:

Catat Ulasan