Ulama dan Politik Tanahair
Oleh : Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat : Ustaz Haji Harun Taib
Kedudukan Ulama Dalam Islam Ulama itu ialah mereka yang takut hanya kepada Allah dari kalangan mereka yang diberi pengetahuan dan kefahaman oleh Allah ‘Azzawajal tentang Islam yang lengkap dan syumul itu. Untuk menjelaskan perkara ini Allah berfirman yang bermaksud:
"Hanya semata-mata
    yang takut kepada Allah daripada kalangan hambanya ialah Ulama." Al Fathir: 28
Untuk menentukan kedudukan
    mereka di dalam Islam, Allah berfirman yang bermaksud: 
"Katakan ( wahai
    Muhammad ) apakah sama golongan yang berilmu dengan golongan tidak berilmu, sesungguhnya
    yang mempunyai akal fikiran yang waras sahaja yang selalu ingatkan perintah Allah."
    Al Zumar : 9
Firman Allah lagi yang
    bermaksud: 
" Allah mengangkat
    darjat orang yang beriman dan golongan yang berilmu pengetahuan dan Allah amat mengetahui
    apa yang kamu kerjakan" Al Mujadalah : 11
Untuk menjelaskan perkara
    yang sama Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud : 
" Sesiapa yang
    melalui sesuatu jalan untul mencari ilmu pengetahun, Allah memudahkan baginya jalan ke
    syurga. Sesungguhnya para malaikat meletakkan sayapnya untuk menuntut ilmu kerana berpuas
    hati dengan perbuatannya. Sesungguhnya orang-orang Alim itu meminta ampun baginya oleh
    sekelian yang ada di langit dan di bumi sehingga ikan-ikan di air turut meminta ampun
    baginya. Dan kelebihan orang alim berbanding dengan orang yang beribadat seperti kelebihan
    bulan berbanding dengan sekelian bintang. Para ulama itu adalah pewaris kepada para nabi
    dan sesungguhnya para nabi itu tidak meninggalkan emas dan perak malahan mereka
    meninggalkan ilmu pengetahuan. Sesiapa yang menerimanya maka ia mendapat bahagian yang
    cukup sempurna.
Seterusnya Rasulullah S.W.T.
    bersabda lagi yang bermaksud :
" Perumpamaan para
    ulama di muka bumi seperti bintang-bintang di langit yang memberi petunjuk kepada musafir
    dan pelayar di waktu malam, apabila terlindungnya bintang tersebut mereka akan
    terpinga-pinga kehilangan petunjuk." Hadith Riwayat Imam Ahmad
Ternyata daripada
    pembentangan di atas bahawa ulama itu mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah.
    Rasulullah S.A.W. meletakkan mereka sebagai pewaris para nabi. Pewaris para nabi bermaksud
    "menggalang ganti di dalam menjaga agama dan mentadbir dunia dengannya."
Islam menghendaki supaya para
    ulama menjadi pengganti nabi dalam urusan mentadbir dunia dan menjaga agama. Ityulah yang
    difahami oleh para sahabat dan para cerdik pandai Islam.
Saidina Abu Bakar As-Siddiq,
    Umar Al-Khattab, Uthman Ibnu Affan, Ali Ibnu Abi Talib dan lain-lain daripada para
    khulafa' mengambil tempat baginda Rasulullah S.A.W. dalam urusan yang kita sebutkan di
    atas.
Justeru itu, para cerdik
    pandai Islam yang menulis buku di bidang siasah dan pentadbiran negara menyatakan bahawa
    jawatan-jawatan penting di dalam negara seperti khalifah, perdana menteri dan para hakim
    hendaklah disandang oleh para ulama mujtahidin dari kalangan ulama Islam. Hal ini saudara
    akan dapati bila saudara-saudara membaca buku-buku yang ditulis oleh Al-Imam As-Syafie,
    Al-Mawardi, Abu Ya'la, Ibnu Khaldun, Imam Al-Haramain Al-Juwaini, Al-Imam Al-Ghazali dan
    lain-lain.
Bertolak dari kajian-kajian
    dan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh para alim ulama yang mentadbir di zaman silam,
    maka para penulis dan penganalisa zaman sekarang ini membuat beberapa rumusan di antara
    lainnya :
1. Bahawa pemerintahan Islam
    itu adalah pemerintahan yang berasaskan agama. Hal ini antara lainnya diasaskan kepada
    kata-kata Al-Imam Al-Ghazali yang bermaksud :
" Agama itu asas dan
    kerajaan itu pengawal. Maka sesuatu yang tidak mempunyai asas akan tumbang dan sesuatu
    yang tidak ada pengawal akan hilang."
2. Ia merupakan kerajaan yang
    dipandu oleh para ulama. Hal ini adalah didapati daripada beberapa rumusan yang dibuat
    oleh cendikiawan Islam yang mengatakan bahawa mengetahui syariat Islam sampai kepada
    peringkat ijtihad adalah salah satu daripada syarat-syarat kelayakan untuk menjadi ketua
    negara, perdana menteri dan hakin di dalam negara Islam.
3. Hal ini terlalu jelas
    apabila kita merenung firman Allah yang bermaksud : 
" Dan hendaklah kamu
    menjalankan hukum ( pemerintahan ) di kalangan mereka berdasarkan kepada apa yang
    diturunkan oleh Allah."
Siapakah yang lebih arif
    tentang apa yang diturunkan oleh Allah kalau tidak para ulama. Piagam Madinah jelas
    menyatakan bahawa rujukan kepada kerajaan Islam itu ialah kitab Allah dan Sunnah RasulNya.
" Dan sesungguhnya apa
    jua yang berlaku di kalangan mereka yang menandatangan piagam ini , yang khuatir berlaku
    kerosakan atau kehuruharaan maka kitab Allah dan sunnah Rasul menjadi rujukan."
Mengimbas kembali kepada apa
    yang dibentang dan apa yang berlaku di zaman Rasulullah S.A.W. dan zaman para khulafa'
    Al-Rasyidin mengajak kita berfikir dan membuat rumusan tentang kedudukan ulama' dalam
    politik sesebuah negara. Ia bukan sekadar melibatkan diri di dalam politik malahan menjadi
    tonggak kepada kepimpinan negara. Hal ini jelas apabila Al-Imam Al-Mawardi mengatakan
    antara lain : " Apabila berlaku kekosongan jawatan ketua
    negara, maka dua golongan masyarakat haruslah tampil ke hadapan untuk mengisi kekosongan
    itu. Golongan pertama ialah golongan yang mempunyai kelayakan menjadi calon ( ketua negara
    ) manakala golongan kedua pula ialah golongan yang layak menjadi penapis calon. Golongan
    yang layak menjadi calon sudah barang tentu dari kalangan ulama kerana salah satu daripada
    syarat-syarat kelayakan itu ialah memahami syariat sampai kepada peringkat ijtihad."
Golongan ulama bukan sekadar
    menjadi penasihat kepada negara atau kerajaan tetapi mereka adalah pemegang polisi dan
    pelaksana ke pada dasar negara.
Perbahasan mengenai kedudukan
    ulama dan keterlibatan mereka dalam politik tanahair berlaku apabila negara-negara umat
    Islam disekularismakan oleh penjajah. Merekalah yang memisahkan agama dan politik. Mereka
    mendualismakan cara hidup umat Islam. Satu cara hidup perseorangan dan kekeluargaan dan
    satu lagi cara hidup bernegara. Mereka mengekalkan cara hidup kekeluargaan mengikut
    hukum-hukum Islam, manakala cara hidup bernegara mereka pisahkan daripada Islam.
Hal ini menjadikan sistem
    politik, pentadbiran, perundangan, pendidikan, kemasyarakatan, perekonomian dan lain-lain
    di negara umat Islam dipisahkan daripada sistem Islam. Justery itu dalam sesebuah negara
    umat Islam hari ini diwujudkan dua penasihat : penasihat agama yang dinamakan mufti dan
    satu lagi penasihat undang-undang.Namun demikian para mufti tidak diberi apa-apa
    kuasa/peranan yang setahap di dalam sesebuah negara. Mereka yidak dianggap orang penting.
    Pandangan mereka tidaklah wajib ditaati oleh kerajaan berbeza demngan penasihat
    undang-undang peguam negara.
Ekoran daripada itu,
    institusi ulama tidak diberi penghargaan dan penghormatan yang sewajarnya. Dalam keadaan
    begini ulama pula berpecah kepada beberapa golongan. Hal ini bolehlah kita dapati di dalam
    perbincangan yang selanjutnya.
ULAMA ISLAM DI ZAMAN SEKARANG
Ulama kita di zaman sekarang
    bolehlah dibahagikan kepada lima bahagian :
1. Ulama yang baik, bertaqwa,
    ikhlas, amalan dan ibadat mereka semata-mata kepada Allah. Namun demikian mereka
    mengasingkan diri daripada dunia. Mereka tidak mengambil tahu tentang permasaalahan orang
    Islam walaupun sedikit. Mereka saling tak tumpah seperti ahli-ahli tasauf di zaman
    mutaakhir Islam iaitu tasauf yang negatif yang mengasingkan diri daripada dunia. Mereka
    melihat bahawa menjauhi diri daripada dunia adalah satu jalan selamat untuk mereka dan
    suatu amalan bertaqarrub kepada Allah Azza Wa Jalla . Oleh keranaitu terdapat terlalu
    ramai daripada kalangan orang-orang Islam dewasa ini yang menjadi mangsa kepada segala
    taghut dan si zalim.
Ulama tidak mengambil
    tanggungjawab dalam mempertahankan orang-orang Islam sama ada pada hak-haknya, aqidahnya,
    kemuliaanya, kehormatannya dan lain-lain lagi. Taghut terus bermaharajalela tanpa
    mendengar sebarang peringatan dan nasihat untuk berbuat kebaikan. Sepatutnya para alim
    ulama memberitahu betapa si zalim akhirnya pasti akan mendapat tentangan yang hebat
    daripada rakyatnya. Kumpulan ulama seperti ini terus menyambung amalan yang dilakukan oleh
    orang yang terdahulu daripada mereka. Walau apa pun yang terjadi mereka tidak bersedia
    untuk turun ke medan untuk menghayati firman Allah yang maksudnya : 
" Dan hendaklah kamu
    menjadi umat yang menyeru manusia kepada kebaikan dan menyuruh mereka melakukan amal
    ma'ruf dan mencegah mereka dari melakukan kemungkaran dan merekalah orang-orang yang
    berjaya."
Dan untuk menghayati sabda
    junjunganNya ynag bermaksud :
" Sesiapa di antara kamu
    yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya dengan tangan ( kuasa ) . Sekiranya
    kamu tidak mampu hendaklah diubah dengan lidah dan sekiranya kamu tidak mampu hendaklah
    kamu membencinya di dalam hati kamu, itulah selemah-lemah iman."
Atau sabdanya lagi: 
"Sebaik-baik jihad ialah
    perkataan yang benar di hadapan pemerintahan yang zalim"
2. Golongan yang sangat setia
    kepada Islam, cemburu kepadanya namun begitu mereka terlalu baik hati, niat mereka terlalu
    lkhlas. Mereka memberikan penilaian bahawa setiap orang yang mencium tangannya, menghadiri
    diri didalam majlis zikir serta menghadiri jemputan mereka sebagai orang yang cintakan
    agamanya. Justeru itu ramai di kalangan penipu yang brejaya menipu ulamak yang seperti
    ini. Mereka dibenarkan berkhutbah di masjid-masjid, di majlis-majlis kempen pilihanraya
    untuk memberi sokongan kepada "figure" ( individu ) tertentu. Tulisan-tilsan
    mereka memihak dan memuja orang-orang tertentu pada hal orang yang dipuji adalah orang
    yang paling ketat premusuhannya dengan Islam, kalau mereka mempunyai sedikit sifat hazar
    sudah barang tentu mereka tidak dapat diperalatkan oleh golongan itu.
3. Mereka yang sangat
    cintakan agama, cemburu kepadanya. Mereka menjalankan kegiatan amar ma'ruf dan nahi
    mungkar, akan tetapi mereka lupa kepada " ruuhu syari'ah " dan risalahnya
    dibidang kemasyarakatan dan sosial. Mereka terlalu mengambil berat tentang sembahyang,
    puasa dan lain-lain syiar agama namun begitu mereka tidak mengambil "cakna"
    tentang "maqasidi syari'ah". Mereka tidak begitu mengambil peduli bahawa
    sembahyang, puasa dan lain-lain syiar Islam sebagai pusat latihan untuk manusia, latihan
    moral, hati dan lain-lain. Oleh kerana itu kita dapati mereka ini berlumba-lumba
    menunaikan solat bila mendengar azan namun demikian mereka masih memakan riba, mereka
    masih menjadi si zalim, pengkhianat bangsa dan negara. Mereka bermusuh dengan lelaki yang
    memakai emas tetapi terus membisu terhadap pemerintah yang tidak melaksanakan hukum-hukum
    syariah dan terlibat dengan rasuah.Jika mereka ditanya siapa yang lebih besar dosanya di
    sisi Allah, yang memakai cincin emas atau pemimpin yang tidak menjalankan hukum Allah?
    Mereka sudah tentu akan menjawab bahawa pemerintah yang tidak menjalankan hukum Allah itu
    lebih besar dosanya, tetapi mereka terus membisu.
4. Ulama jahat
Mereka mencari makan dengan
    menggunakan agama dan memperniagakan syariat. Mereka menghampiri semua taghut, bersahabat
    dengan semua yang jahat dan zalim, mereka terus menyokong golongan tersebut. Islam
    tercabar oleh mereka. Mereka tidak merasa malu untuk mengatakan bahawa perjuangan untuk
    menegakkan Islam adalah perjuangan sesat, pecah belah masyarakat, keterlaluan, tidak
    sederhana dan sebagainya.
Pada mereka dikata orang : si
    fasik yang melakukan segala maksiat kerana untuk mendapat harta dan kelazatan hidup dunia
    lebih bertaqarrub kepada Allah berbanding dengan si alim yang menjadi pengampu kepada
    segala yang taghut. Mereka mengkhianati amanah ummah dengan memberi sokongan kepada si
    penjenayah.
5. Ulama "muslihun
    harakiyyun"
Mereka memahami bahawa Islam
    satu cara hidup yang membawa kesejahteraan kepada manusia. Islam pembebas ummah daripada
    memperhambakan diri kepada yang lain daripada Allah. Mereka ini berhempas pulas berusaha
    untuk mengajak ummah kembali menghayati syariatnya di samping mengajak ummah manusia
    seluruhnya menganut agama islam.
Keterlibatan mereka di dalam
    kerja-kerja Islam sangat kelihatan. Begitu juga dalam kancah politik tanahair tidak dapat
    dinafikan lagi. Mereka memberi kesedaran betapa perlunya ummah Islam membebaskan diri dari
    belenggu penjajahan politik, ekonomi, pemikiran dan lain-lain lagi.Hampir keseluruhan
    negara ummah Islam mencapai kemerdekaan melalui usaha-usaha mereka yang gigih itu, namun
    demikian usaha mereka untuk menjadikan ummah Islam menghayati syariatnya dalam semua aspek
    belum mendapat kejayaan. Ini adalah disebabkan kerana negara-negara ummah Islam
    meminggirkan para ulama daripada pentadbiran dan pemerintahan negara selepas mencapai
    kemerdekaan. Akhirnya mereka menjadi musuh buruan oleh pemerintah yang juga mengaku ianya
    Islam. Atas nama Islam mereka ditangkap, dipenjara dan berbagai-bagai lagi.
Mereka bukan sahaja dikecam
    oleh pemerintah tetapi juga oleh golongan ulama yang boleh dipergunakan oleh pemerintah.
    Kalau golongan ulama yang pernah digunakan oleh para pemerintah sedar, lebih-lebih lagi
    jika dikaitkan dengan situasi yang ada sekarang ini, maka sudah tentu mereka dapat
    mengerti yang sebenarnya menjadi musuh kepada kerajaan warisan penjajah itu ialah Islam.
    
Siapa sahaja yang ingin melaksanakan Islam - yang hendak menerangkan Islam seperti mana yang dilaksana dan diterangkan oleh Al-Quran dan As-Sunnah - pasti akan mendapat tentangan daripada kerajaan warisan itu.
Siapa sahaja yang ingin melaksanakan Islam - yang hendak menerangkan Islam seperti mana yang dilaksana dan diterangkan oleh Al-Quran dan As-Sunnah - pasti akan mendapat tentangan daripada kerajaan warisan itu.
Justeru itu para alim ulama
    hari ini haruslah memahami betul-betul sabda junjungan kita S.A.W. yang maksudnya : 
"Bandingan orang yang
    tegak lurus di atas landasan syariat dengan orang yang melanggarnya, saling tak tumpah
    seperti suatu kumpulan yang sama-sama memberi saham di dalam membeli/menaiki sebuah
    bahtera. Satu golongan mendapat dibahagian bawah dan satu golongan lagi mendapat
    dibahagian atas. Kumpulan yang berada dibahagian bawah apabila menghendaki air terpaksa
    menaiki tingkat atas dan menyusahkan kawan-kawan mereka. Lalu mereka berfikir sekiranya
    bahagian mereka disebelah bawahdite,mbuskan senanglah mereka mendapat air (tidak payah
    naik ketingkat atas lagi) kalau sekiranya kehendak mereka dibiarkan terlaksana nanti semua
    mereka akan mati, tetapi sebaliknya kalau kehendak mereka itu disekat semua orang akan
    selamat."
Betapa jelasnya hadith ini
    menerangkan kepada kita kalau sekiranya golongan perosak itu dibiarkan berkuasa sudah
    barang tentu agama kita dimusnahkan dan negara kita akan dihancurkan. Jalan selamat ialah
    para alim ulama haruslah bersatu menggenbelingkan tenaga dan fikiran untuk menangani
    masalah politik tanahair.
Mungkin orang akan
    mempersoalkan apakah yang boleh dilakukan oleh para ulama? Banyak sekali kerja yang boleh
    dilakukan oleh para ulama di dalam menangani keadaan yang ada sekarang ini. Antara lain :
1. Bertindak menjelaskan
    Islam dari semua sudut dan aspek kepada semua lapisan masyarakat.
2. Mengadakan perbandingan
    yang rapi dan terperinci antara Islam dan bukan Islam dalam semua aspek seperti ekonomi,
    undang-undang ,politik, pentadbiran pemerintahan dan sebagainya.
3. Menghapuskan segala
    kekeliruan yang diperlakukan kepada Islam.
4. Mentarbiah dan mendidik
    orang-orang Islam supaya benar-benar mengerti Islam dan perjuangan untuk menegakkan Islam.
5. Menyusun rapi segala
    tenaga yang telah dididik supaya semuanya berfungsi dan berperanan.
6. Menjadi bintang kepada
    islam untuk menghadapi segala cabaran golongan taghut dan seterusnya mengundurkan golongan
    tersebut dari kerusi masing-masing melalui cara-cara yang dihalalkan oleh undang-undang.
7. Melibatkan diri dalam
    semua kegiatan kemasyarakatan dan politik tanahair.
Wallahu A'lam.



Tiada ulasan:
Catat Ulasan