Jumaat, 16 Julai 2021

Akidah asas perjuangan PAS

Seluruh perjuangan para Rasul adalah berasaskan akidah seperti yang dinyatakan dalam firman Allah dalam surah An-Nahlu ayat 36 yang bermaksud – ‘Dan sesungguhnya Kami telah utus pada setiap umat, seorang rasul untuk menyeru mereka supaya kamu mengabdikan diri kepada Allah dan jauhkan diri dari ‘thoghut’. 

Ibnu Abbas mentakrifkan ‘Atthoghut‘ ialah selain daripada Allah, maka segala isme-isme yang ada seperti sekularisme, pragmatisme, liberalisme yang tidak bertunjangkan akidah Islamiah maka ia adalah ‘Thoqhut‘.

“Hari ini manusia menyembah ideologi yang dihasilkan oleh pemikiran mereka sendiri untuk memimpin manusia. “Selama 13 tahun Nabi berdakwah di Makkah untuk memulihkan akidah masyarakat ketika itu daripada menyembah ‘thoqhut‘ kepada menyembah Allah yang Esa.

“Sesungguhnya ada satu mahkamah yang akan mengadili akidah yang betul iaitu mahkamah akhirat.” ujar beliau.

Kebenaran perjuangan PAS pada hari ini adalah kerana PAS adalah parti yang bertunjangkan akidah yang berpandukan kepada Al Quran dan Assunnah yang membawa agenda dakwah, tarbiah dan siasah (politik). 

Perjuangan ini perlu dilandasi dengan keikhlasan agar sesuai untuk menerima kemenangan yang dijanjikan oleh Allah S.W.T.

Al Quran surah An-Nur ayat 55 yang bermaksud : ‘Allah telah menjanjikan kepada orang-orang di antara kamu yang beriman dan yang membuat kebaikan, bahawa Dia sesungguhnya akan menjadikan mereka berkuasa di bumi sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan mereka dengan agama yang telah Dia redai. Dan Dia benar-benar mengubah keadaan mereka daripada ketakutan menjadi aman sentosa.Mereka telah menyembahKu dengan tidak menyekutukanKu dengan sesuatu pun.’

“Para amilin Islam jangan rasa hebat dengan diri sendiri kerana kita hanya amilin di jalan Allah yang mencari reda Allah.

“Kita perlu ‘solehkan’ diri kita agar keberkatannya mengalir dalam keluarga seterusnya masyarakat kita. Dosa-dosa dalam kehidupan seharian akan menjadikan kita suram dan tidak tenang.

“Apabila kita mengejar akhirat, dunia akan ikut di belakang kita dan jadilah orang-orang yang takut kepada Allah dengan memiliki ilmu (kenal Allah) sebagaimana firman Allah surah Faatir ayat 28 yang bermaksud ‘Di antara hamba-hamba Allah yang takut kepadaNya, hanyalah para ulama”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan