Sabtu, 17 Julai 2021

Peranan Akidah Dalam Kidup Muslim

Akidah (العقيدة) dari segi bahasa (etimologis) berasal dari Bahasa Arab (عَقَدَ) yang bermakna 'ikatan' atau 'sangkutan' atau menyimpulkan sesuatu. Menurut istilah (terminologis) 'aqidah' bererti 'kepercayaan', 'keyakinan' atau 'keimanan' yang mantap dan tidak mudah terurai oleh pengaruh mana pun sama ada dari dalam atau dari luar diri seseorang. Akidah Islamiyah menjelaskan konsep Rukun Iman iaitu beriman kepada Allah SWT, Malaikat-MalaikatNya, Kitab-KitabNya, Rasul-RasulNya, Hari Kiamat, Qada' dan Qadar (takdir baik atau buruk) daripada Allah s.w.t.

Akidah merupakan perkara asas dalam Islam. Jika akidah terpesong, maka runtuhlah pegangan Islam seseorang itu. Sesungguhnya Allah s.w.t. menurunkan wahyu kepada RasulNya dengan memberi fokus dan penumpuan yang serius terhadap persoalan akidah supaya setiap orang Islam selamat akidahnya dan sejahtera kehidupannya di dunia dan akhirat. Sejarah membuktikan bahawa selama lebih kurang tiga belas tahun Nabi Muhammad s.a.w semasa di Mekah, telah membentuk dan menanam akidah yang benar di kalangan sahabatnya. Kesannya sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. memiliki akidah yang teguh, keyakinan yang tinggi terhadap Islam dan sentiasa bersedia menerima arahan dan perintah daripada Rasulullah s.a.w untuk dilaksanakan.

Akidah memainkan peranan yang amat penting dalam menentukan perjalanan hidup seseorang. Akidah adalah penggerak dalam mencorakkan kehidupan seseorang muslim. Akidah yang Iemah mengakibatkan seseorang itu mudah dipengaruhi dengan gaya hidup negatif dan merosakkan. Berdasarkan penelitian secara kasar, mereka yang tidak memiliki akidah yang jelas dan terpesong akan menghadapi pelbagai masalah dalam kehidupan dan terdedah kepada berbagai-bagai kemungkaran, seperti melakukan jenayah, terlibat dalam gejala keruntuhan moral dan lain-lain.

Dalam membicarakan perkara ini, orang yang mempunyai akidah yang benar biasanya disebut sebagai orang yang beriman. Oleh yang demikian, mereka yang beriman ini amat peka dalam menjaga hubungan dengan Allah s.w.t. Mereka sentiasa mengingati Allah dalam setiap gerak kerjanya. Justeru, itulah yang dinamakan golongan ahli khawas iaitu golongan yang tinggi martabat keimanannya, bertaubat kepada Allah s.w.t. bukan kerana dosanya, tetapi kerana mungkin berlaku detik-detik kelainannya dalam mengingati Allah. Mereka juga bertaubat sebagai tanda bersyukur di atas nikmat Allah yang tidak terhingga banyaknya. Ini berbeza dengan orang awam, mereka bertaubat kerana melakukan dosa. Bahkan kadang-kadang sudah melakukan dosa pun tidak terfikir untuk bertaubat, sebaliknya terus mengulangi dosa dan kadang-kadang ada berbangga-bangga dengan perbuatan dosanya.

Pandangan orang beriman juga amat berbeza dengan pandangan orang yang tidak beriman. Pandangan orang beriman dipandu oleh cahaya hidayah. Oleh itu mereka berasa kasihan melihat keadaan orang yang tidak beriman, yang tertipu oleh dirinya sendiri dan jauh daripada hidayah Allah s.w.t. Pandangan mereka banyak didorong oleh runtunan nafsu amarah serta bisikan dan tipu daya syaitan. Mata hatinya buta, anggota dan pancainderanya menjadi alat bagi memuaskan segala keinginannya. Bagi orang yang tidak beriman pula, pandangannya terbalik, mereka berasa pelik dan hairan melihat sikap orang yang beriman serta menyifatkan sebagai jahil dan rugi. Sedang pada hakikatnya, merekalah yang jahil dan merekalah yang rugi. Ini dijelaskan oleh Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-An'am ayat 122 yang bermaksud:

Adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami menghidupkannya semula (dengan hidayah), lalu Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapat membezakan antara yang benar dengan yang salah) dia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap dalam gelap gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah Kami jadikan orang yang kafir itu memandang baik apa yang mereka kerjakan".

Memandangkan iman itu boleh bertambah dan boleh berkurang, maka hendaklah kita berusaha menambah dan menyuburkan keimanan kita melalui amal soleh yang merangkumi ibadat umum dan ibadat khusus. Secara ringkasnya antara lain, kita hendaklah berusaha untuk;

i. Memahami dan menyedari bahawa menuntut ilmu adalah wajib, Ilmu yang paling asas ialah ilmu agama (untuk mengenal Allah s.w.t, para Rasul, syariat Islam dan lain-lain).

ii. Cuba menghubungkan diri bersama orang-orang mukmin yang ikhlas.

iii. Mengelakkan diri dari suasana dosa dan maksiat.

iv. Bermujahadah melawan nafsu (Al-Nafs) dan jihad melawan pujuk rayu syaitan perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan berterusan. Sebagaimana dijelaskan dalam firman Allah s.w.t dalam Surah Asy-Syams ayat 9 - 10 yang bermaksud: "Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)".

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Orang yang berhijrah ialah sesiapa yang meninggalkan kejahatan dan orang yang berjihad ialah yang berjuang melawan hawa nafsunya". (Riwayat lbn Majah)

 v. Berusaha bersungguh-sungguh meninggalkan perkara-perkara haram. Orang yang melanggar larangan Allah, sebenarnya dia telah menzalimi dirinya sendiri.

Bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah-ibadah asas seperti solat berjemaah, bertadabbur Al-Quran dan mengamalkan Sunnah serta melatih diri untuk sentiasa mengingati Allah s.w.t.

Sentiasa berfikir ke arah memperbaiki diri (muhasabah diri). Saidina Umar al-Khattab R.A pernah berkata: "Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab, dan timbanglah sebelum amalan kamu ditimbang".

viii. Sentiasa bertaubat dan beristighfar. Firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nur ayat 31 yang bermaksud: "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya".

 ix. Sentiasa berdoa. Rasulullah sendiri berdoa seperti berikut: "Ya Allah! Kurniakanlah pada jiwaku rasa takwa". (Riwayat Muslim dan An-Nasai) 

 x. Bertawakkal kepada Allah s.w.t. Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam Surah At-Talaaq ayat 3 yang bermaksud: "Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu". 

 Disamping itu juga, kita hendaklah sentiasa berwaspada supaya akidah kita sentiasa benar. Ini kerana akidah boleh menyeleweng dan rosak melalui beberapa bentuk di antaranya; 

 a) Melalui percakapan; seperti seseorang yang mengeluarkan kata-kata yang bertentangan dengan konsep akidah Islam, sebagai contoh ucapan yang mengatakan bahawa Islam tidak sesuai untuk dilaksanakan di sepanjang zaman dan sebagainya. 

 b) Akidah boleh rosak melalui perbuatan; seperti melakukan upacara-upacara ibadah sama dengan apa yang dilakukan oleh orang bukan Islam sama ada di lempat-tempat ibadah mereka atau di mana-mana sahaja yang menunjukkan amalan yang bertentangan dengan akidah Islam. 

 c) Melalui iktikad di dalam hati. Umpamanya hati tidak yakin dengan Islam atau ragu terhadap sebahagian dari ajaran Islam yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah. Secara kesimpulannya, mempelajari Ilmu Akidah ini amatlah penting iaitu supaya terhindar daripada ajaran-ajaran sesat yang akan merosakan akidah seseorang terhadap Allah s.w.t, meneguhkan keimanan dan keyakinan kepada sifat-sifat kesempurnaanNya, memantapkan akidah seseorang supaya tidak terikut dan terpengaruh dengan amalan-amalan yang boleh merosakan akidah, agar audit dan timbangan amalan pada tahap cemerlang, diberi ganjaran syurga kerana amalan baiknya serta dapat mengeluarkan hujah-hujah yang boleh mematahkan hujah daripada pihak lawan yang cuba memesongkan akidah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan