Isnin, 15 Oktober 2012

Mengundang Kemurkaan Allah ... Mempermain-mainkan hukum Allah

_______________________________________________________________

Aurat Wanita Di Khalayak Ramai & Tabarruj

Sejak diutusnya Rasulullah SAW, kedudukan wanita telah dimuliakan oleh Islam yang selama ini terhina di bawah sistem Jahiliyyah. Islam memandang bahawa wanita adalah aurat yang perlu dijaga dan Islam telah merincikan hukum berhubung hal ini. Islam telah membezakan perbincangan aurat wanita di dalam dua keadaan:-

(i) di dalam hayatul khasas (kehidupan khas yakni di rumah)

(ii) di dalam hayatul am (kehidupan umum yakni di luar rumah atau di khalayak ramai).

Untuk tujuan penulisan ini, kami hanya akan menyentuh kedudukan aurat wanita di dalam hayatul am. Aurat wanita adalah seluruh anggota tubuhnya kecuali wajah dan dua telapak tangannya. Leher dan rambutnya adalah aurat di hadapan lelaki ajnabi (bukan mahram) walaupun sehelai. Pendek kata, dari hujung rambut sampai hujung kaki kecuali wajah dan dua telapak tangan adalah aurat yang wajib ditutup. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT,

“Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa tampak daripadanya” [TMQ an-Nur (24):31].

Ibn Abbas menafsirkan kalimat “yang biasa tampak daripadanya” sebagai wajah dan kedua telapak tangan. Menurut Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani di dalam kitabnya Nizam al-Ijtima’ei Fi al-Islam, yang dimaksud dengan “yang biasa tampak daripadanya” adalah ‘wajah dan kedua telapak tangan’, kerana kedua anggota tubuh wanita inilah yang biasa tampak dari para Muslimah di hadapan Nabi SAW dan baginda membiarkannya. Kedua anggota tubuh wanita ini pula yang biasa tampak dalam pelaksanaan ibadah-ibadah tertentu seperti haji dan solat.

Di samping itu, dalil lain yang menunjukkan bahawa seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali wajah dan kedua telapak tangannya adalah sabda Rasulullah SAW

“Sesungguhnya seorang anak perempuan jika telah haid (baligh), tidak boleh terlihat dari dirinya kecuali wajah dan kedua tangannya hingga pergelangan tangan” [HR Abu Daud].

Dalil-dalil ini dengan jelas menunjukkan bahawa seluruh tubuh wanita adalah aurat, kecuali wajah dan kedua telapak tangannya. Juga dengan jelas menunjukkan bahawa wanita wajib menutupi auratnya, yakni ia wajib menutupi seluruh tubuhnya, kecuali wajah dan kedua telapak tangannya. Larangan atas kaum wanita untuk menampakkan perhiasannya adalah larangan untuk menampakkan auratnya. Adanya larangan untuk menampakkan aurat, secara dalalatul iltizam menunjukkan atas larangan (terhadap lelaki) melihat bahagian tubuh wanita yang dilarang untuk ditampakkan.

Seperkara lagi, Asy-Syari’ telah mewajibkan penutup aurat itu harus berupa sesuatu (pakaian) yang boleh menutupi warna kulit, ertinya kain penutup (pakaian) wanita itu wajib menutupi kulit sehingga tidak boleh diketahui (dibezakan) bahagian yang berwarna putih dari yang merah atau coklat. Jika tidak demikian, maka pakaian tersebut tidak dinilai sebagai menutup aurat. Oleh kerana itu, jika kain penutup (pakaian) itu adalah tipis (transparan) yang tetap menampakkan warna kulit yang ada di baliknya, maka kain penutup seperti itu tidak boleh dijadikan penutup aurat. Sabda Nabi SAW, “Tidak boleh terlihat dari dirinya” merupakan dalil yang jelas bahawa Asy-Syari’ telah mensyaratkan di dalam sesuatu yang digunakan menutupi aurat agar tidak terlihat aurat yang ada di baliknya. Ertinya, harus menutupi kulit, tidak menampakkan apa yang ada di baliknya. Inilah hukum tentang menutup aurat. Hukum ini perlu dibezakan dengan hukum pakaian wanita dalam hayatul am dan juga hukum tabarruj (dibincangkan di bawah). Menutup aurat sahaja tidak mencukupi apabila seseorang wanita itu berjalan di jalan umum, sebab As-Syari’ telah menetapkan pakaian tertentu bagi wanita apabila ia berada di dalam hayatul am dan ia juga tidak boleh ber-tabarruj. Pakaian wanita dalam hayatul am terdiri dari dua jenis iaitu:-

(i) libas asfal (baju bawah) yang disebut dengan jilbab, dan

(ii) libas ‘ala (baju atas) iaitu khimar (tudung).

Mengenai kewajipan pakaian bawah (libas asfal), Allah SWT berfirman,

“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, ‘Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka” [TMQ al-Ahzab (33):59].

Dalam kitab Al-Mu’jam Al-Wasith karya Dr. Ibrahim Anis [Kaherah: Darul Maarif ms 128], jilbab diertikan sebagai ats-tsaubul musytamil ala al-jasadi kullihi (pakaian yang menutupi seluruh tubuh), atau ma fauqa ats-tsiyab kal milhafah (pakaian luar yang dikenakan di atas pakaian rumah seperti milhafah (semacam jubah), atau al-mula’ah asy-tamilu biha al-mar’ah (pakaian luar yang digunakan untuk menutupi seluruh tubuh wanita). Berdasarkan pengertian ini, jelaslah bahawa yang diwajibkan ke atas wanita adalah mengenakan pakaian yang satu (sekeping) umpama jubah yang lurus dari atas hinggalah ke bawah. Maksud milhafah/mula’ah adalah pakaian yang dikenakan sebagai pakaian luar [di dalamnya masih ada pakaian dalam (pakaian rumah) atau pakaian sehari-hari] lalu diulurkan ke bawah hingga menutupi kedua mata kakinya.

Jika ia tidak memiliki mula’ah atau milhafah, hendaklah ia meminjamnya dari saudaranya, jirannya atau kerabatnya. Jika ia tidak dapat meminjamnya atau tidak ada yang mahu memberinya pinjam, maka ia tidak boleh keluar rumah tanpa mengenakan pakaian tersebut. Diriwayatkan dari Ummu ‘Athiyah yang berkata,

“Rasulullah SAW memerintahkan agar kami mengeluarkan para wanita yakni hamba-hamba sahaya perempuan, wanita-wanita yang sedang haid, dan para gadis pingitan, pada hari Raya Idul Fitri dan Idul Adha. Wanita-wanita yang sedang haid, mereka memisahkan diri tidak ikut menunaikan solat, tetapi tetap ikut menyaksikan kebaikan dan (mendengarkan) seruan kepada kaum Muslimin. Aku lantas berkata, ‘Ya Rasulullah, salah seorang di antara kami tidak memiliki jilbab’. Rasulullah lalu menjawab, ‘Hendaklah saudaranya memakaikan (meminjamkan) jilbabnya kepada wanita itu” [HR Muslim].

Dalil-dalil di atas menunjukkan dengan jelas tentang pakaian wanita di kehidupan umum. Allah SWT di dalam kedua ayat di atas, telah mendeskripsikan pakaian tersebut yang telah diwajibkan kepada wanita untuk dikenakan dalam kehidupan umum, dengan deskripsi rinci, lengkap dan menyeluruh.

Untuk pakaian atas (libas ‘ala), wanita disyariatkan/diwajibkan memakai khimar iaitu tudung atau apa sahaja bahan/kain yang serupa dengannya yang berfungsi menutupi seluruh kepala, leher, dan lubang leher baju di dada. Allah SWT berfirman,

“Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya” [TMQ an-Nur (24):31].

Maksudnya, hendaklah para wanita mengulurkan kain penutup kepalanya ke leher dan dadanya, untuk menyembunyikan apa yang tampak dari belahan baju dan belahan pakaian, berupa leher dan dada. Dan hendaknya tudung itu telah siap atau tersedia untuk dikenakan apabila wanita keluar ke pasar-pasar atau berjalan di jalanan atau berada di khalayak ramai. Maka jika seorang wanita telah mengenakan libas asfal dan libas ‘ala ini, barulah boleh ia keluar dari rumahnya menuju kehidupan umum. Jika ia tidak mengenakan kedua jenis pakaian ini, maka haram baginya berada dalam hayatul am.

Mengenai tabarruj, Islam mengharamkan kaum wanita untuk ber-tabarruj. Allah SWT berfirman,

“Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti (dari haid) yang tiada ingin kahwin (lagi), tiadalah atas mereka dosa menanggalkan pakaian mereka dengan tidak (bermaksud) menampakkan perhiasan” [TMQ an-Nur (24):60].

Ayat ini melarang wanita yang sudah tua untuk ber-tabarruj iaitu tatkala ayat ini meletakkan syarat terhadap wanita tua itu dalam menanggalkan atau melepaskan pakaian yang boleh untuk ditanggalkan, hendaklah ia tidak ber-tabarruj. Mafhumnya, ayat ini merupakan larangan tabarruj. Mafhum muwafaqah dari ayat ini adalah, jika kaum wanita yang sudah tua dilarang melakukan tabarruj, maka apatah lagi wanita selain mereka (wanita yang lebih muda). Firman Allah yang lain,

“Dan hendaklah kamu tetap di rumah kamu, dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang jahiliah” [TMQ Al-Ahzab (33):33].

Allah SWT juga berfirman,

“Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan” [TMQ an-Nur (24):31].

Apa jua perbuatan lain yang menyerupai apa yang disebutkan di dalam ayat ini dinilai sebagai tabarruj. Tabarruj maknanya adalah, ‘menampakkan perhiasan dan kecantikan kepada lelaki asing (bukan mahram)’. Dikatakan di dalam bahasa Arab, tabarrajat al-mar’ah (seorang wanita bertabarruj) ertinya az-harat zinataha wa mahasinaha li al-ajanib (wanita itu telah menampakkan perhiasan dan kecantikannya kepada lelaki ajnabi -bukan mahramnya-).

Terdapat sejumlah hadis tentang larangan atas setiap perbuatan yang dinilai sebagai tabarruj. Abu Musa al-Asy‘ari menuturkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda,

“Wanita mana sahaja yang memakai wangian kemudian melewati suatu kaum agar mereka mencium aromanya, maka ia (seperti) wanita yang berzina (pelacur)” [HR Ibn Hibban & al-Hakim].

Maksudnya, seperti wanita yang berzina dalam hal dosanya. Rasulullah SAW juga bersabda,

“Ada dua golongan di antara penghuni neraka yang belum pernah aku lihat keduanya, suatu kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk memukul orang dan perempuan yang berpakaian tetapi telanjang yang cenderung dan mencenderungkan orang lain (kepadanya), (hiasan) kepala mereka seperti ponok unta yang miring. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium aroma syurga. Walhal sesungguhnya aroma syurga itu boleh tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian” [HR Muslim].

Kesemua dalil di atas secara jelas menunjukkan larangan (keharaman) tabarruj. Oleh itu, apa jua perhiasan atau make-up yang dapat menarik pandangan lelaki dan dapat menampakkan kecantikan wanita, maka ia termasuk tindakan tabarruj jika seorang wanita muncul di dalam kehidupan umum dengan perhiasan seperti itu dan ia telah berdosa.

Khatimah

Sesungguhnya Islam telah memuliakan wanita dan meletakkan beberapa hukum khusus untuk kaum hawa ini agar ia tidak menjadi bahan atau objek yang boleh dipergunakan sewenang-wenangnya. Tidak sebagaimana sistem Kapitalis hari ini yang telah menjadikan wanita sebagai bahan komoditi, alat dan objek seks semata-mata, Islam telah memberikan satu kehidupan yang unik dan tenteram untuk kaum wanita. Islam telah melarang wanita untuk melakukan segala bentuk perbuatan yang mengandungi bahaya terhadap akhlak atau yang dapat merosakkan masyarakat. Kerana itu, seorang wanita dilarang untuk bekerja dengan pekerjaan yang dimaksudkan untuk memanfaatkan ‘aspek kewanitaan’ mereka. Diriwayatkan dari Rafi’ ibn Rifa’ah, ia menuturkan bahawa,

“Nabi SAW telah melarang kami (mendapat hasil) dari pekerjaan seorang pelayan wanita kecuali yang dikerjakan dengan kedua tangannya. Beliau bersabda (sambil menunjukkan), ‘begini’ dengan jari-jemarinya seperti membuat roti, memintal, atau menenun” [HR Ahmad].

Maksudnya, seorang wanita dilarang untuk bekerja sebagai pelayan di tempat-tempat penjualan untuk menarik pelanggan. Juga, wanita di larang bekerja di pejabat-pejabat atau di kaunter-kaunter apa sekalipun dengan maksud untuk memanfaatkan unsur kewanitaannya dalam rangka mencapai tujuan-tujuan tertentu. Wanita dilarang sama sekali (haram) bekerja sebagai pelayan bagi lelaki, sebagai model, pramugari dan pekerjaan-pekerjaan lainnya yang bertujuan ‘memanfatkan’ unsur kewanitaannya. Di sinilah Islam telah meletakkan satu kemuliaan kepada kaum hawa sebagai seorang yang bergelar wanita, isteri dan ibu di mana Islam telah menetapkan bahawa wanita adalah aurat yang perlu dijaga, bukan dieksploitasi. Namun sayangnya di sebalik semua kemuliaan yang diberikan oleh Islam, terdapat segelintir wanita yang sengaja memilih jalan untuk menjerumuskan diri mereka ke jurang neraka. Na’uzubillah min zalik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan