Kacang Kelisa
Kacang ini, didaerah utara semenanjung Malaysia, lebih mengenalinya sebagai Kacang Kelisa. Ia juga rata-rata dikenali sebagai Kacang Botol.
Nama botani Kacang Kelisa @ Kacang Botol ialah Psophocarpus tetragonolobus, dari kerabat Psophocarpus, yang terdiri dari 6-9 jenis spesis, masing-masing memiliki sedikit berbeza.
Indonesia mengenalinya dengan berbagai nama; kacang botor, kacang belimbing, kacang embing, jaat (Sunda), cipir, cicipir, kěcipir (Jawa), kacang sirek atau kalkang, kelongkang, biraro dan banyak lagi. Inggeris menyebutnya winged bean, winged pea, four-angled bean (merujuk pada 4 cuping buahnya), manila bean, mauritius bean, goa bean dan asparagus pea.
Kacang kelisa ialah tumbuhan kekacang tropika yang dipercayai berasal dari Papua New Guinea. Pokok ini tumbuh dengan subur dalam iklim tropika hujan panas dan lembab; di negara-negara khatulistiwa Asia Tenggara sehingga ke Asia Selatan seperti India dan Sri Lanka, dan Jepun yang menyebutnya ryukyuan atau shikaku-mame, Africa dan Latin Amerika.
Pohon kacang kelisa tumbuh secara menjalar merembat. Buahnya memanjang, mempunyai 4 cuping. Sepanjang setiap tepi cuping bergerigi kecil lembut, mengandungi banyak biji benih tersusun didalamnya. Bijiannya berbentuk bulat membujur mirip kacang soya.
Kacang kelisa berwarna hijau muda ketika masih muda, hijau gelap ketika matang, dan bertukar berwarna perang coklat apabila tua.
Permakanan Kacang Kelisa
Sebenarnya, hampir semua bahagian pohon kacang kelisa berguna dan menjadi bahan makanan oleh masyarakat dibeberapa negara:
- Kacang kelisa muda: sedap dan rangup dimakan, dan tidak liat. Lazim dijadikan ulam/lalap, digoreng, dibuat kerabu, sayuran atau dimasak dalam berbagai resepi makanan oleh masyarakat Malaysia dan Indonesia.
- Sebahagian masyarakat menjadikan bunga dan daun muda sebagai ulam/lalap. Daun muda boleh dimasak sebagai sayur daun dan rasanya hampir serupa dengan daun bayam. Bunganya sering digunakan untuk mewarnakan beras dan pastri. Bunga dan daun muda mengandungi protein yang agak tinggi.
- Terdapat spesis kacang kelisa yang akarnya berubi. Ubi-ubinya
berperisa seperti kacang tanah. Boleh digoreng, atau dimasak sebagai
sayur berubi, hampir serupa dengan ubi kentang, tetapi lebih kaya
protein berbanding ubi kentang. Ia amat digemari oleh penduduk Papua New
Guinea, amat popular diMyanmar sebagai juadah makanan.
- Biji-bijian dari kacang kelisa yang tua telah diiktiraf sebagai makanan yang berkhasiat kerana mengandungi banyak protein sepertimana kacang soya. Biji-bijiannya juga boleh digoreng sepertimana kacang tanah, atau diproses seperti kacang soya iaitu dijadikan pelbagai produk yang boleh dimakan atau diminum; perlu dimasak dahulu selama 2–3 jam bagi memusnahkan 'trypsin inhibitor' dan 'hemagglutinin', anasir yang mencegah penghadaman.
- Kacang kelisa mengandungi protein yang tinggi, bukan sahaja sebagai makanan untuk manusia, bahkan sesuai dan berpotensi digunakan sebagai makanan kepada binatang ternakan, seperti ikan keli Afrika.
Nutrien Kacang Kelisa
Kacang kelisa mengandungi banyak nutrien yang menyihatkan tubuh.
Kacang Kelisa Muda. Kacang kelisa muda rendah kalorinya; 100 g hanya mengandungi 49 kalori, manakala yang agak matang mengandungi 409 kalori.
Kacang kelisa muda mengandungi 1-3% protein dan kaya dengan zat galian besi, kalsium dan vitamin A, manakala yang matang lebih tinggi protein dan zat-zat lain.
Kacang Kelisa Matang. Kacang kelisa matang mengandungi thiamin/B1, rivoflavin/B2 yang tinggi. Sederhana baik kandungan pyridoxine/B6, niasin/B3, folate/B9 dan asid pantothenik/B5 iaitu jenis-jenis vitamin B-kompleks yang penting.
Kacang kelisa merupakan sumber folate/B9 yang baik; 100 g membekalkan 45 µg atau 11% dari kadar saranan harian. Folate bersama dengan kobalamin/B12 adalah komponen penting dalam penghasilan DNA dan percambahan sel-sel. Folate yang mencukupi dalam permakanan sewaktu kehamilan boleh membantu mencegah dari kemerosotan atau kerosakan neural-tube pada janin.
Ada analisa mendapati kacang kelisa mentah segar mengandungi vitamin C yang mencukupi; 100 g membekalkan 18.3 mg atau 31% vitamin C dari kadar saranan harian. Vitamin C adalah anti-oksidan yang berkesan membantu membina sistem kekebalan tubuh yang utuh dari jangkitan, memelihara keanjalan saluran darah, dan melindungi tubuh dari kanser.
Disamping itu, kacang kelisa membekalkan kadar yang mencukupi zat-zat gizi seperti kalsium, besi, magnesium, manganese, fosforus, zinc, dan potassium.
Daun Muda. Daun muda pohon kacang kelisa adalah sumber serat yang baik, vitamin C, vitamin A dan zat-zat gizi.
100 g daun muda segar membekalkan 45 mg vitamin C (75% dari kadar saranan harian) dan 8090 IU vitamin A (270 % dari kadar saranan harian). Daunnya mengandungi 5-7% protein dan banyak mineral, vitamin A dan C.
Ubi Pohon Kelisa. Ubi pohon kelisa juga kaya dengan kanji (kira-kira 30% karbohidrat), dan protein. 100 g ubi kelisa membekalkan 11.6 g protein, berbanding 2.02 g/100 g dalam ubi kentang dan 1.36 g/100 g protein dalam ubi kayu/singkong, lebih tinggi dari kebanyakan ubi-ubi lain. Banyak kandungan vitamin B-kompleks, fosforus dan kalsium.
Biji. Purata mengandungi 11% air, 33% protein, 32% karbohidrat, 16% lemak dan 5% serat.
Minyak. Minyak kacang kelisa seakan-akan minyak kacang tanah, 67% minyak adalah asid linoleik dan asid oleik. Kandungan tokoferol dalam minyak kacang kelisa juga adalah tinggi.
Khasiat Kacang Kelisa
Menurut salah satu analisa bersumber dari USDA Nutrient Database, kacang kelisa adalah sumber terbaik zat-zat makanan iaitu: 1) serat makanan, 2) protein, 3) thiamin (B1), 4) riboflavin (B2), 5) kalsium, 6) besi, 7) magnesium, 8) manganese, 9) fosforus, dan 10) zinc.
Thiamin (B1). Thiamin berperanan utama dalam:
penghasilan tenaga dari karbohaidrat.
pembinaan RNA (asid ribonucleic, rangkaian molekeul yang bekerjasama dengan DNA) dan DNA (asid deoxyribonucleic, sejenis asid yang diwarisi).
Kekurangan thiamin yang kronik akan menyebabkan Sindrom Korsakoff dan penyakit Biri-Biri. Sindrom Korsakoff merupakan ragam kekacauan yang berkait rapat dengan penyakit biri-biri; otak lembab, hilang daya ingatan, hilang kepekaan dan lemah daya fikir.
Riboflavin (B2). Riboflavin terlibat dalam:
penghasilan tenaga untuk dibekalkan kepada rangkaian penghantaran elektron, dan jaringan asid sitrik.
pemecahan asid lemak beta (oksidasi beta).
Kekurangan akan menyebabkan ariboflavinosis. Gejala penyakit ini termasuk cheilosis (bibir rekah dan pecah-pecah), sensitif pada sinaran matahari, glossitis (radang lidah), seborrheic dermatitis (sejenis eczema, gatal-gatal pada kulit), pseudo-syphilis (jangkitan terutamanya pada buah zakar, atau labia majora alat kelamin wanita), pharyngitis (sakit kerongkong), hyperemia (darah bergumpal disesuatu bahagian tubuh), dan radang dan bengkak pada rongga mulut dan kerongkong.
Kalsium. Kalsium merupakan zat gizi paling utama, berperanan:
membina, mengukuh, menumpat seluruh tulang dan gigi. Kekurangan boleh menyebabkan tulang dan gigi menipis, mudah retak, kurang tumpat, tidak kukuh, mudah rosak; punca utama ‘osteoporosis.’
diperlukan oleh semua otot untuk menguncup, dan magnesium untuk otot mengendur. Kalsium bergandingan dengan magnesium, mengawal kuncup-kendur semua otot, termasuk otot jantung.
Kalsium membantu penghantaran isyarat saraf, memacu pengeluaran bahan kimia 'neurotransmitter' dari sel neuron memberi isyarat kepada sel-sel untuk menguncup.
Aktiviti kalsium dan hormon saling berkaitan. Kurang kalsium, aktiviti hormon tidak aktif. Banyak kalsium, hormon-kalsium menjadi aktif, aktiviti kalsium didalam tubuh pada keseluruhannya menjadi semakin rancak.
Besi. Besi berperanan dalam:
penghasilan hemoglobin dan sel-sel darah merah. Hemoglobin adalah pembawa oxygen utama, dari satu sel ke sel yang lain, hingga keseluruh tubuh. Otak sendiri menggunakan kira-kira 20% oxygen dari darah. Kekurangan zat besi bererti kekurangan oxygen. Kekurangan oxygen bererti banyak masalah kesihatan pada tubuh, seperti anemia dan Sindrom Kegelisahan Kaki/Restless Leg Syndrome (RLS). Tanda-tanda anemia: tubuh letih lesu, daya pemusatan fikiran singkat, perkembangan pemikiran bengap pada bayi dan kanak-kanak, emosi mudah marah, prestasi kerja merosot, pembelajaran lembab dan kurang cerdas, fungsi sistem kekebalan lemah dan sering berpenyakit, lidah merah dan bengkak (glossitis), dan suhu tubuh tidak menentu. Tanda-tanda RLS: kegelisahan berpanjangan yang mendorong pergerakan kaki dan juga anggota tubuh yang lain disebabkan kekacauan pada fungsi saraf dan otak. Sindrom ini lansung mempengaruhi tabii tidur penderita RLS.
metabolisma protein, bagi memelihara kesihatan otot. Besi banyak terdapat dalam 'myoglobin' (protein otot). Myoglobin mendapatkan oxygen dari hemoglobin dan memberi makan kepada otot.
Magnesium. Magnesium penting untuk urusan:
metabolisma tenaga, sebagai faktor gandingan kepada lebih dari 100 jenis enzim yang terlibat dalam pengawalan gula dan metabolisma glukos. Magnesium membantu mengurus tindak-balas insulin terhadap kadar gula dalam darah, dan memelihara tekanan darah, mengurangkan risiko penyakit Kencing Manis Jenis 2.
metabolisma tulang. Kira-kira 50 - 60% magnesium dalam tubuh berada dipermukaan tulang. Bersama dengan vitamin D, tembaga dan zinc, magnesium mengurus kadar kalsium dalam tubuh. Kurang magnesium, maka kalsium kurang diserap oleh usus. Tubuh terpaksa mengguna simpanan kalsium, mengakibatkan hakisan tulang. Kekurangan kalsium dan magnesium akan membawa ke arah osteoporosis.
aktiviti reseptor NMDA (N-methyl-d-aspartate), iaitu reseptor saraf yang terdapat dalam selaput sel-sel otak. Reseptor adalah molekeul khusus yang mengawal keluar-masuk maklumat dari sel-sel sistem saraf. Jika magnesium berkurangan, tekanan jiwa dan kecelaruan fikiran akan meningkat.
bergandingan dengan magnesium, mengawal kuncup-kendur semua otot, termasuk otot jantung. Kekurangan magnesium merupakan salah satu penyebab kepada serangan jantung dan tekanan darah tinggi. Gejala awal: kekejangan otot (juga otot jantung dan saluran pernafasan yang menyebabkan asma), sakit kepala dan migraine, sengal-sengal dan kelesuan.
Manganese. Manganese penting untuk urusan:
mengutuh sistem kekebalan; menghasilkan “sel-sel pembunuh” penyirna sel-sel berpenyakit, memperteguh dinding-dinding sel.
faktor gandingan yang perlu bagi mengaktifkan tindak-tanduk aneka jenis enzim bagi menguruskan berbagai metabolisma dalam tubuh. Merupakan sebahagian dari enzim superoxide dismutase (SOD), iaitu anti-oksidan penggempur berkesan membasmi radikal bebas dalam tubuh.
mempertingkat fungsi saraf, dan aktiviti sistem saraf seluruh tubuh terpelihara dengan baik; memelihara otak agar kekal berfungsi secara normal.
membantu menghasilkan enzim untuk pembinaan dan pembentukan tulang yang normal, tisu-tisu penghubung pada otot, kollagen, tendon, kartilej dan cecair sendi, membantu memampatkan tulang kerangka, terutama tulang belakang.
kelenjar 'pituitary' perlu manganese untuk menghasilkan hormon seks, agar organ seks berfungsi sempurna, membantu pencernaan asid lemak dan kolesterol untuk memproses glycogen (bahan penting untuk tenaga dan pergerakan).
metabolisma glutamine, sejenis asid amino yang paling banyak terdapat di dalam tubuh dan menjadi bahagian utama kepada DNA polymerase.
metabolisma karbohaidrat, menghasilkan tenaga; mengawal paras gula dalam darah dengan cara menstabilkan penghasilan dan pengeluaran insulin, membantu penyerapan kalsium, pengunaan vitamn B1/thiamin, E dan magnesium yang lebih baik.
Fosforus. Fosforus penting untuk urusan:
proses tumbesaran. Fosforus, bersebati dengan kalsium, berfungsi membina dan membentuk tulang dan gigi yang sihat dan kukuh. Tanpa fosforus, kalsium sendiri tidak mampu membina tulang dan gigi yang kukuh.
semua aktiviti metabolisma sel-sel, menyumbang kepada proses baik-pulih sel-sel tubuh, memastikan sel-sel tubuh terpelihara baik dan kekal aktif untuk kesihatan keseluruhannya.
fosforus berada dalam setiap anggota tubuh, termasuk otak. Ia menjadi unsur yang aktif di dalam dan dipersekitaran sel-sel otak, mempunyai fungsi dan pengaruh penting pada otak; seperti daya pemusatan, daya ingatan yang baik dsbnya.
pembinaan protein, membantu protein dalam fungsinya membina, menghasil dan membaik-pulih sel, tisu, otot dan juga faktor genetik iaitu asid nukleik (DNA dan RNA). Fosforus dalam bentuk fosfat merupakan bahagian terpenting kepada DNA dan RNA.
penghasilan tenaga dengan cara meransang proses metabolisma berbagai zat makanan termasuk karbohaidart dan lemak. Fosforus penting kepada penghasilan ATP (Adenosine Tri Phosphate), iaitu sejenis molekeul yang digunakan oleh tubuh untuk menyimpan dan membawa tenaga. ATP merupakan sumber tenaga kepada berbagai aktiviti metabolisma dan enzim, terutama kepada penguncupan otot, penghantaran yang berkesan, dan penghasilan DNA.
sebahagian dari struktur phospholipid. Phospholipid adalah komponen utama struktur pada semua selaput sel. Phospholipid bertanggungjawab mengawal kadar penyerapan sel-sel, membantu menyerap lemak-lemak yang tidak mudah di serap dan juga kolesterol.
menghasil dan mengawal kesaimbangan hormon dalam tubuh, meransang kelenjar-kelenjar mengeluarkan hormon, memelihara otot dan jantung menguncup dengan baik dan teratur, membantu memastikan hormon peranakan hadir dalam kadar yang mencukupi bagi memelihara kesuburan peranakan. Gejala menopaus dapat dikurangkan dengan kehadiran hormon peranakan yang dihasilkan melalui fosforus.
menyihatkan ginjal dengan cara memastikan perkumuhan bahan sisa makanan dan sisa toksin dalam bentuk cecair dikeluarkan melalui ginjal.
mempercepat proses penghadaman. Ia mengaktifkan vitamin B-kompleks seperti B2 (riboflavin) dan B3 (niasin), menjadikan vitamin-vitamin tersebut sebagai enzim gandingan untuk melancar penghadaman. Berkaitan dengan vitamin B, fosforus membantu penguncupan otot, memelihara denyut jantung yang normal, dan juga sebagai perantara kepada sistem saraf.
faktor gandingan dalam beberapa tindak-balas kimia yang berlaku di dalam tubuh. Ia juga melancarkan penggunaan berbagai nutrien seperti iodine, vitamin D, zinc dan magnesium yang memasuki tubuh.
Zinc. Zinc penting untuk urusan:
hanya zinc yang berada dalam semua jenis enzim. Ia menjadi komponen utama kepada lebih dari 100 jenis enzim (ada sumber mengatakan 300 jenis). Ia juga menjadi penggalak kepada aktiviti enzim-enzim. Semua enzim-enzim bergantung pada zinc untuk mampu memberi bertindak-balas kimia untuk menyihatkan tubuh.
dibandingkan dengan nutrien lain, zinc paling berkesan pada sistem kekebalan tubuh; membantu penghasilan dan keberkesanan sel-T, dan kesembuhan dari luka dan penyakit.
pembinaan dan kembang-biak sel dan gene, penghasilan protein dan DNA yang sempurna. Berperanan besar membantu proses tumbesaran normal, sejak perkembangan janin, kanak-kanak, dan keremajaan.
kesuburan lelaki dan perempuan; mencegah kelenjar prostat membesar, menambah kadar air mani dan hormon testosterone, ketangkasan sperma, mengurangi sindrom putus haid bagi wanita, juga berpengaruh kepada syahwat lelaki dan perempuan.
meransang selera makan dan citarasa; zinc mengaktifkan otak menerima dan memproses deria bau dan rasa yang dihantar oleh saraf.
Khasiat Pucuk Kacang Botol
Kacang botol buat ulam ketika makan nasi memang best kan? Cicah dengan sambal belacan ataupun juga dengan budu. Tapi ramai yang tak tahu bahawa pucuk kacang botol juga banyak khasiat dan kegunaannya dalam perubatan.
Pokok kacang botol adalah sejenis tumbuhan sayuran yang tumbuh secara memanjat. Tak susahpun nak tanam pokok kacang botol ni. Ambil je biji benih dan timbus dalam tanah. Rajin-rajinlah siram dengan air. Memang mudah tumbuh dan membesar pokok kacang botol ni.
Berbalik kepada khasiat daun atau pucuk kacang botol yang diperkatakan tadi. Antara kegunaannya dalam perubatan tradisional:
1. Bagi orang yang diserang demam campak, daun kacang botol yang direbus dengan bahan campuran lain boleh disapukan ke seluruh badan bagi melegakan penyakit.
2. Manakala air bancuhan daun kacang botol pula boleh digunakan untuk mencuci mata yang bengkak dan bisul yang bernanah. Daunnya yang ditumbuk lumat juga boleh disapukan pada bahagian bengkak dan bisul.
3. Daunnya juga boleh dimakan untuk mengubati ulser kulit.
4. Pucuk kacang botol yang digumpal lumat bersama sedikit air boleh disapukan pada bahagian dada serta belakang kanak-kanak yang mengidap penyakit lelah atau semput.
Ya. Itulah serba sedikit khasiat daun dan pucuk kacang botol dalam perubatan alternative. Semoga dapat menjadi panduan bagi mereka yang memerlukan. Kita cuma berikhtiar dan berdoa selagi terdaya. Ketentuan adalah hanya daripada Allah S.W.T.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan