Rabu, 12 Jun 2013

KERTAS UNDI BERTUKAR TEMPAT JADI SEBAB PETISYEN DI JOHOR

 JOHOR BAHRU: PAS Johor meminta satu pengisytiharan dari mahkamah bahawa pilihan raya di satu parlimen dan tiga Dun pada 5 Mei lalu sebagai tidak sah dan terbatal.

Permohonan itu dibuat dalam empat petisyen yang difailkan di Mahkamah Tinggi Johor Baharu kelmarin melalui Tetuan Haida Mohd Fikah & Partners.

Petisyen membabitkan kerusi Parlimen Pulai dan tiga untuk kerusi Dun iaitu Gambir, Mahkota dan Nusajaya.

Menurut peguam, Mohd Fikah Sanusi (gambar), penemuan beberapa kertas undi dari kawasan Dun Nusa Jaya dalam peti undi kawasan Dun Mahkota antara isu yang dikemukakan PAS dalam empat petisyen tersebut.

"Peti undi yang disediakan SPR tercemar iaitu kertas undi di Nusajaya yang dalam parlimen Gelang Patah ditemui di Dun Mahkota yang dalam parlimen Kluang," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Selain itu katanya, terdapat penjamuan yang dilakukan ketika tempoh berkempen yang disifatkan sebagai sogokan kepada pengundi.

"Kita juga meminta satu pengisytiharan bahawa kemenangan calon BN di empat kerusi telah tidak dipilih dengan sewajarnya atau sepatutnya tidak dilapor pilih," katanya lagi.

Pada PRU13 lalu, kerusi parlimen Pulai dimenangi BN menerusi calonnya Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau menang dengan majoriti majoriti 3,226 undi menewaskan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.

Bagi Dun Nusajaya, Salahudin tewas kepada calon BN Dr Zaini Abu Bakar dengan majoriti 2,201 undi.

Di Dun Gambir, calon PAS Dr Mahfodz tewas kepada calon BN, M Asojan dengan majoriti 310 undi, manakala di Mahkota calon PAS Khairul Faizi tewas kepada calon BN Md Jais Sarday dengan majoriti 1,108 undi.

Sebelum ini, Khairul Faizi telah membuat laporan polis bagaimana kertas undi dari Dun yang ditandingi Salahudin di temui dalam kotak undi yang beliau tandingi.

Sumber ~ Harakahdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan