Isnin, 4 Januari 2016

PERNIAGAAN DALAM ISLAM



Perniagaan dalam dunia perdagangan merupakan satu perkara yang amat penting dalam kehidupan manusia. Maka tidak hairan, al-Quran telah memberi perhatian yang cukup banyak meliputi bidang tersebut. Dari sisi lain pula, Nabi Muhammad s.a.w menggambarkan misi beliau sebagai “menyempurnakan akhlak“.

Jika demikian, pastilah dapat ditemui etika berniaga dari perspektif al-Quran dan al-sunnah. Ini dapat dilihat apabila Rasulullah s.a.w sendiri pada usia mudanya merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya.

Kita seringkali menemui istilah-istilah yang dikenali dalam dunia perniagaan seperti “jual-beli“, “untung rugi“, “kredit“, dan sebagainya. Demikian juga dalam al-Quran mengungkapkan istilah ini saperti mana firman-Nya yang bermaksud:

“Siapakah yang ingin memberi “qardh” (kredit) kepada Allah dengan kredit yang baik, maka Allah akan melipat gandakan (qardh itu) untuknya, dan dia akan memperoleh ganjaran yang banyak.”
(al-Hadid: 11)

Al-Quran sebenarnya tidak meletakkan syarat yang banyak terhadap orang yang melakukan perniagaan kecuali etika yang diajarkan al-Quran bertumpu kepada prinsip “mengorbankan kepentingan peribadi demi orang lain.” (lihat Surah al-Hasyr: 9). Justeru dalam setiap perkara yang berkaitan dengan dunia perniagaan perkara yang dituntut adalah ”tidak menganiayai”.

Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 279 yang bermaksud:

“Bagimu modal kamu. Kamu tidak teraniaya dan tidak pula teraniaya.”

Rasulullah s.a.w juga memberi sebahagian petunjuk bagi mendokong terciptanya etika di dalam perniagaan tersebut, iaitu pertama adalah kejujuran.

Dalam konteks ini Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Tidak dibenarkan seseorang Muslim menjual satu jualan yang mempunyai aib kecuali dia mejelaskan aibnya.” (Riwayat al-Quzwaini).

Manakala dalam sabda baginda yang lain:

“Siapa yang menipu kami bukan daripada golongan kami.”
(Riwayat Muslim, Tirmidzi dan Abu Daud)

Selain itu Rasulullah s.a.w juga pernah menasihati seorang ahli perniagaan wanita dengan sabdanya yang bermaksud:

“Wahai ummu qilat, jika engkau ingin membeli sesuatu, tawarlah dengan harga yang engkau inginkan, diberikan atau tidak. Dan apabila engkau ingin menjual, tawarkanlah dengan harga yang engkau inginkan, diterima atau ditolak.”
(Riwayat Quzwaimi)

Islam tidak pernah menentukan sebarang had atau sakatan tertentu dalam mengambil keuntungan. Menurut Syeikh Qardhawi, tidak ada sebarang nas dalam al-Quran atau hadis yang menyatakan keadaan tersebut, malah diserahkannya kepada dhamir (jiwa) dan pertimbangan umat Islam sendiri.

Walau bagaimanapun, Islam telah menggariskan panduannya yang jelas dalam perhubungan muamalat umatnya.

Antara panduan tersebut yang perlu diambil kira oleh setiap Muslim itu ialah batasan akhlak, ajaran agama, juga adab sopan, atau ’uruf (etika) masyarakat serta undang-undang pemerintah. Sekiranya terdapat urusan yang dilakukan di luar batasan akhlak dan bertentangan dengan ajaran agama atau bercanggah dengan ’uruf masyarakat atau menyalahi undang-undang, maka tindakan atau pengurusan tersebut dikira haram dan salah.

Apa yang disebutkan Allah s.w.t suatu perniagaan itu hendaklah berjalan secara (taradhin) persetujuan dan kerelaan bersama antara penjual dan pembeli.

Dalam hal ini Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud:

“Wahai mereka yang beriman janganah kamu makan harta antara kamu secara batil melainkan melalu perniagaan yang berlaku secara rela hati dikalangan kamu.”
(an-Nisaa: 29)

Jadi sekiranya jual beli tersebut diakukan tanpa persetujuan atau melalui penipuan maka urusan itu perlu dibatalkan.Apatah lagi jika keuntungan yang diambil secara gelap (tadlis) yang dilarang oleh agama,sekalipun pembelian tersebut telah diluluskan.

Allah s.w.t juga menekankan perlunya mengindahkan peraturan-peraturan yang ditetapkan dan tidak melakukan apa yang di istilahkannya dengan al-bathil (baca surah An-Nisa ayat 29), iaitu pelanggaran terhadap ketentuan agama atau persyaratan yang disepakati.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:

”Kaum Muslim sesuai dengan (harus menepati)syarat-syarat yang mereka sepakati, selama tidak menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal.”

Perniagaan adalah satu bentuk muamalat.Oleh kerana itu dalam urusan perniagaan kita harus melihat hubungan timbal-balik itu agar ia berlansung secara harmonis.

Nabi s.a.w juga ada menyebut agama adalah muamalah. Ini bermakna bahawa semakin baik hubungan timbal balik maka semakin baik pula kualiti keberagamaan seseorang.

Bukan sahaja dalam perkara berkaitan urusan perniagaan, malah apa-apa perkara sekalipun jika dilakukan secara berlebihan atau melampaui batas itu amatlah dilarang oleh Alllah s.w.t.

Ini ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:

”Jangan sekali-kali kamu bertindak melampaui batas kerana Allah tidak suka kepada mereka yang melampau.”
(al-A’raf: 31)

Berniaga bukan semata-mata dengan tujuan mencari untung, kerana di dalam perniagaan tidak sentiasa mendapat untung. Di dalam perniagaan sering sahaja mendapat kerugian.

Tujuan perniagaan mengikut Islam sebenarnya ialah hendak memperbesar, memperpanjang dan memperluaskan aktiviti syariat atau bertujuan ibadah dan mendapat pahala yang banyak. Justeru itulah di dalam perniagaan, hendaklah sentiasa mencari keredhaan Allah Taala dengan niat yang betul serta perlaksanaan yang betul.

Firman Allah SWT :

Maksudnya :
Orang-orang lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan jual beli dari mengingati Allah dan mendirikan sembahyang serta menunaikan zakat;mereka takut akan hari yang bergoncang segala hati dan pemandangan di waktu itu. (An Nur: 37)

Mari kita lihat betapa di dalam perniagaan itu luas sekali syariatnya atau luas ibadahnya itu berlaku yang mana kebaikannya pula dan pahalanya pula amat banyak sekali di antaranya:

1. Kita banyak mendapat kawan,di dalam Islam berkawan itu disuruh. Di Akhirat kelak, kawan itu boleh memberi syafaat.

2. Boleh memberi khidmat sama ada secara langsung mahupun tidak secara langsung. Mengikut Hadis:

Maksudnya:
Sebaik-baik manusia ialah orang yang banyak memberi manfaat kepada orang lain.

3. Di dalam perniagaan ada unsur-unsur kerjasama.Bekerjasama, Islam sangat menggalakkan.

Al Quran ada memberitahu yang maksudnya:

Bertolong bantulah di atas kebaikan dan ketaqwaan. (Al Maidah: 2)

4. Di dalam perniagaan ada tolak ansur.Tidak ada tolak ansur, tidak boleh berniaga .Di dalam Islam,bertolak ansur adalah salah satu sifat yang terpuji.

5. Perniagaan boleh memudahkan masyarakat mengurus keperluan hidupnya, terutama di bidang makan minum.Di sini Islam memandang satu kebaikan kerana ada unsur mengutamakan orang lain atau memudahkan orang lain.

6. Di dalam berniaga dapat menyelamatkan barangan keluaran masyarakat Islam. Kalau tidak, barangan itu akan terbuang dan akan timbul pembaziran. Di dalam Islam, pembaziran sangat dilarang,menjauhi pembaziran satu kewajipan.

Firman Allah SWT :

Maksudnya:
Sesungguhnya orang yang membazir saudara-saudara syaitan.(Al Isra: 27)

7. Di dalam perniagaan banyak pengalaman akan diperolehi sama ada di segi pengurusan, mengenal tempat, mengenal barang dan lain-lain lagi.Di dalam Islam mencari ilmu dan pengalaman sangat dituntut.

8. Di dalam mengendalikan perniagaan ada latihan kesabaran.Sifat sabar salah satu daripada sifat mahmudah,bahkan ia sangat diperlukan di dalam kehidupan.Orang yang sabar, pahala yang diberikan kepadanya tanpa hisab.

Firman Allah dalam Al Quran:

Maksudnya:
Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja akan disempurnakan pahala dengan tidak terkira. (Az Zumar:10)

9. Berniaga merupakan salah satu cara memajukan agama, bangsa dan negara. Ia merupakan tanggungjawab khalifah Tuhan(manusia) di muka bumi supaya dapat dilihat kebesaran Allah serta dapat menikmati nikmat-nikmatNya agar manusia boleh bersyukur hingga mereka mendapat pahala syukur.

10. Di dalam perniagaan,boleh dapat peluang mengeluarkan zakat, salah satu dari rukun Islam dapat ditunaikan. Dengan itu salah satu sumber saluran untuk membantu fakir miskin dan asnaf-asnaf yang lain dapat diwujudkan.Maka di sini banyak pula golongan terbantu

Allah SWT telah berfirman di dalam Al Quran:

Maksudnya:
Berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin dan katakanlah kepada sesame manusia kata-kata yang baik dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat. (Al Baqarah: 83)

11. Di dalam perniagaan kita dapat membuat latihan berlapang dada berhadapan dengan perintah manusia.Ia sentiasa mencabar emosi kita.Maka kita selalu sahaja menyembunyikan kemarahan kita.Meyembunyikan kemarahan itu adalah disuruh dalam Al Quran.Dalam Al Quran ada menyebutkan meyembunyikan sifat marah itu,ia adalah salah satu sifat orang yang bertaqwa.

Firman Allah SWT:
Maksudnya:
” Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang.Dan Allah mengasihi orang-orang yang berbuat pekara-pekara yang baik. (Ali Imran: 134)

12.Di dalam perniagaan memerlukan sifat berlapang dada,bertolak ansur,memberi maaf, berlebih kurang,bersimpati. Sifat ini adalah dipuji dan sangat diperlukan dalam pergaulan. Di dalan Hadis ada disebutkan Islam itu adalah as-samahah,agama berlapang dada dan pemaaf.

13. Di dalam perniagaan ada peluang kerja untuk manusia sebagai sumber pencarian. Disini dapat mengelakkan manusia daripada menganggur yang dilarang oleh syariat. Maka dengan sekaligus tenaganya dapat dimanfaatkan oleh orang lain sama, ertinya, adanya perniagaan, menjadikan tenaga manusia produktif mengeluarkan hasil untuk faedah manusia yang lain.

Apa yang kita sebutkan di atas tadi jelaslah begitu banyak sekali di dalam perniagaan, syariat Islam itu dapat kita tegakkan. Ertinya beberapa banyak aspek di dalam Islam itu telah dapat kita bangunkan di dalam perniagaan. Apabila banyak aspek syariat dibangunkan maka banyaklah pahals yang kita dapat.

Oleh itu tidak hairanlah Islam menganggap orang yang berniaga secara jujur itu dianggap al jihad fisabilillah dan juga munasabahlah kerja mereka itu dianggap kerja yang paling baik dalam Islam kerana kebaikannya terlalu banyak diperolehi oleh masyarakat dari hasil perniagaannya itu.

Tujuan Berniaga

Terdapat sekurang-kurangnya 12 tujuan berniaga :-

1. Menegakkan syariat atau hukum Allah.

2. Dalam Perniagaan,kita akan dapat kawan yang akan memberi syafaat yang akan membantu kita di Siratul Mustaqim.

3. Mengajar kita bertolak ansur.

4. Mengajar kita melariskan barang – pandai bercakap,pandai menyampaikan.

5. melahirkan orang yang sabar dalam memendam rasa hendak marah.Sabar bila orang marah dengan kita.

6. Boleh melahirkan orang yang cerdik,pandai bertindak dan berfikir dan merancang dalam apa jua keadaan.

7. Melahirkan orang yang berakhlak tinggi dan berbudi pekerti.

8. Dapat menambah ilmu,wawasan atau general knowledge.

9. Jujur dan amanah.

10. Boleh kita berzakat.

11. Melahirkan orang yang samahah (pemaaf )

12. Memenuhi keperluan umat Islam dan menyediakan barang-barang Islam. Sifat Yang Perlu Pada Seorang Peniaga.

Sifat-sifat yang perlu ada pada seorang peniaga ialah:

1. Peramah dan mesra dengan orang.

2. Bertolak ansur di dalam berjual beli.

3. Berlapang dada dengan karenah manusia.

4. Bersifat sabar.

5. Menunaikan janji.

6. Cepat melayan orang.

7. Jangan menekan dan memaksa meminta hutang.

8. Jujur dan amanah.

9. Pemurah dan menolong orang.

10. Bersifat benar.

11. Rajin dan cergas.

12. Cermat berbelanja.

13. Berhati-hati membuat sebarang janji atau memberi hutang kepada orang.

14. Menyusun dan meletak barang dengan baik supaya nampak teratur dan tidak mudah rosak.

15. Menjaga barang dan kebersihan.

16. Sentiasa peka dan prihatin dengan keperluan semasa.

17. Menjual barang dengan harga yang sederhana.

18. Memilih barang-barang jualan yang masih baik.

19. Membiasakan menyimpan wang untuk keperluan yang mendadak dan mendesak.

20. Memperbanyak aset untuk jangka panjang.

21. Merancang projek-projek atau dagangan di masa depan supaya perniagaan sentiasa berkembang dan membesar.

22. Cukup setahun hendaklah mengeluarkan zakat perniagaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan