Selasa, 5 Disember 2017

PAS Menjadikan Al Quran dan Al Sunnah sebagai sumber hukum yang utama. Semoga Diberkati Allah

firman Allah bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah al Rasul dan pemimpin daripada kalangan kamu. Dan jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikannya kepada Allah dan al Rasul jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat.. " - al Nisa':59

Taati Allah.
Taati al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam.
Taati pemimpin daripada kalangan kamu (orang-orang yang beriman).

Kesemua ketaatan terhadap Allah, rasulnya dan pemimpin daripada kalangan orang yang beriman adalah dikira IBADAH dan dibalasi dengan pahala dan redha-Nya.

Mari melihat kepada perlaksanaan ibadah solat;

Allah mewajibkan solat lima waktu sebagaimana di dalam al Quran. Maka kita taati Allah dengan mendirikan solat lima waktu.

Rasulullah mentafsirkan cara solat lima waktu melalui sunnah baginda. Maka kita taati al Rasul dengan meniru solat baginda.

Imam solat adalah pemimpin solat kita. Maka kita taatinya dengan mengikuti solatnya sehingga selesai.

Dalam ibadah solat, kita telah melaksanakan tiga kewajiban yang dinyatakan dalam nas ayat di atas.

Imam solat diberi keluasan untuk memimpin solat. Dia berhak memanjang atau memendekkan solatnya sama ada dengan bacaan al Quran yang panjang atau pendek, atau pun doa dan zikir yang panjang atau pendek. Dia juga berhak memimpin solat mengikut mazhabnya walaupun berbeza daripada mazhab para makmumnya.

Justeru sesiapa yang mengingkari imam solat, maka dia berdosa bahkan boleh terkeluar daripada solat jamaahnya itu walaupun mendakwa masih solat sebagaimana arahan Allah dan masih menepati cara solat al Rasul. Contohnya, dia sujud lebih awal daripada imamnya atau memberi salam lebih awal daripada salam imam.

Itulah contoh ketaatan berdasarkan amalan harian orang-orang yang beriman iaitu solat di dalam melaksanakan nas ayat di atas.

Demikianlah juga di dalam kehidupan seluruhnya. Kehidupan ini mestilah dipimpin oleh al Quran, al Sunnah dan para pemimpin daripada kalangan orang yang beriman. Ketaatan adalah jalan hidup Islam.

Mentaati pemimpin yang beriman adalah al haq. Ia termaktub di dalam al Quran.

Arahan keempat di dalam nas ayat di atas adalah kewajiban mengembalikan penyelesaian terhadap perselisihan di antara sesama orang-orang yang beriman kepada Allah dan al Rasul.

Ertinya, semua orang yang beriman termasuk imam atau pemimpin mestilah merujuk kepada sumber hukum agama yang utama iaitu Allah (al Quran) dan al Rasul (al Sunnah), kemudian sumber hukum sekunder seterusnya iaitu ijmak dan qias.

Adalah jelas larangan merujuk kepada otak sendiri atau otak manusia di dalam menyelesaikan perselisihan sesama umat Islam sebelum merujuk dahulu kepada al Quran dan al Sunnah. Jika berlaku sebaliknya, ia adalah dosa besar dan boleh membawa kepada syirik yang nyata.

Apabila Allah dan al Rasul melepaskan sesuatu urusan kepada manusia sendiri untuk mencari penyelesaian dengan tidak menyatakan hukumnya secara nyata di dalam al Quran atau al Sunnah, maka mereka mestilah merujuk kepada keputusan pemimpin mengikut kuasa-kuasa yang diagihkan kepada sesama mereka.

Qadi dengan kuasanya. Mufti dengan kuasanya. Pemimpin utama (kerajaan) dengan kuasanya. Kesemua mestilah ditaati dalam skop masing-masing.

Berdasarkan nas ayat di atas bahawa pemimpin itu hendaklah daripada kalangan orang-orang yang beriman, maka adalah nyata bahawa pemimpin yang melanggar arahan Allah dan al Rasul adalah tidak wajib ditaati. Ini kerana mereka telah terlebih dahulu melakukan perlanggaran terhadap arahan mentaati Allah dan al Rasul. Tiada ketaatan kepada orang yang tidak mentaati Allah dan al Rasul. Ia sebenarnya adalah mentaati kemaksiatan.

Oleh kerana orang yang menjaga hukum dan menentukan sama ada seseorang itu dalam taat atau maksiat adalah para ulamak yang memahiri hukum-hakam agama, maka pada ketika pemimpin politik (kerajaan) telah melanggar hukum Allah, hukum ketaatan kepada pemimpin adalah kembali kepada para ulamak. Para ulamak juga adalah para pemimpin orang-orang yang beriman.

Selama mana pemimpin politik tidak melanggar arahan Allah dan al Rasul, maka para ulamak mestilah mentaati mereka. Tetapi jika pemimpin politik melanggar hukum ugama, maka ketaatan adalah kembali kepada para ulamak Islam dan panduan mereka.

Adalah nyata di sini bahawa kehidupan orang-orang yang beriman mestilah ditundukkan kepada arahan agama. Semua sama ada pemimpin atau rakyat tidak akan terlepas daripada kewajiban taat kepada agama.

PAS adalah sebuah parti politik Islam di dalam negara. Ia bertujuan memastikan politik negara tunduk kepada kehendak Allah dan al Rasul. Ia juga bermaksud menjaga pemimpin dan rakyat daripada melanggar arahan Allah dan al Rasul.

Justeru dalam perjalanan politiknya, PAS bertindak selari dengan undang-undang negara yang tidak melanggari dasar-dasar dan hukum-hukum agama. PAS menjunjung undang-undang negara sebagai satu ibadah mentaati pemerintahan agar matlamat agama (maqasid syariah) dalam negara tercapai.

Oleh kerana perlembagaan negara Malaysia masih membenarkan perlanggaran terhadap Allah dan al Rasul di dalam pembinaan undang-undang negara, maka PAS berjuang menentang undang-undang dan amalan-amalan yang bercanggah dengan Allah dan Rasul-Nya. Bahkan PAS menyeru agar kerajaan meletakkan al Quran dan al Sunnah sebagai sumber hukum utama yang tidak boleh dilanggari.

Ketaatan ahli PAS kepada Majlis Syura Ulamak atau kepada presiden PAS adalah dalam kerangka perlembagaan negara yang membenarkan parti-parti politik ditubuhkan dengan kepimpinan masing-masing. Ia selari dengan perlembagaan negara dan itulah amalan yang sama oleh parti-parti politik yang lain.

Apa yang membezakan PAS daripada parti-parti lain ialah al Quran dan al Sunnah sebagai sumber hukum yang utama pada ketika parti-parti lain bergerak sebaliknya. Itulah keistimewaan PAS yang penuh keberkatan. – HARAKAHDAILY 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan