Ahad, 31 Disember 2017

ISTIMEWANYA ORANG YANG MENJAGA ISTIGHFAR.


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
‎بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم


Apabila dilihat makna di sebalik ungkapan ISTIGHFAR, ; dapat dilihat bahawa ungkapan ini adalah suatu lafaz bertaubat dari dosa-dosa dan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh seorang hamba kepada Tuhannya.

Jelas sekali bahawa lafaz yang sangat pendek ini amat besar nilainya di sisi Allah SWT iaitu sama besarnya dengan taubat.

Allah SWT berfirma Surah An-Nasr, ayat 3:

*فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا*

"Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Dia Maha penerima taubat". (QS. An-Nasr: 3).

Istighfar yang diperintahkan Allah SWT di dalam kitabNya ini memiliki banyak rahsia dan kelebihannya.

Berikut adalah antara sebahagian kelebihan-kelebihan mengamalkan istighfar di dalam kehidupan seharian kita.

1. Diampunkan Dosa-Dosanya oleh Allah SWT.
Manusia adalah hamba yang tidak dapat lari dari melakukan kesalahan dan jauh sekali dari kesempurnaan. Kelemahan diri dalam melawan hawa nafsu menyebabkan kita sering jatuh tersungkur di lembah maksiat.

Kerana Allah SWT telah berjanji seperti di dalam sabda baginda Rasulullah SAW dalam hadith qudsi: Allah telah berfirman, “Wahai hamba-hambaKu, setiap kalian pasti berdosa kecuali yang Aku jaga. Maka beristighfarlah kalian kepadaKu, nescaya kalian Aku ampuni. Dan barangsiapa yang meyakini bahawa Aku punya kemampuan untuk mengampuni dosa-dosanya, maka Aku akan mengampuninya dan Aku tidak peduli (beberapa banyak dosanya).” (HR. Ibnu Majah & Tirmidzi).

2. Dimakbulkan Segala Permintaan & Hajat Kita.
Doa akan dimakbulkan jika kita yakin dan rajin beristighfar kepada Allah SWT. Orang yang sentiasa ikhlas memohon keampunan daripada Allah SWT pasti sentiasa dibersihkan dari dosa-dosanya.

Apabila seseorang hamba itu bersih dari dosa, maka munajatnya mudah diperkenankan oleh Allah SWT kerana dekatnya dia di sisi Allah SWT. Adalah tidak mustahil bagi Allah SWT untuk memakbulkan segala permintaannya dengan sifat Allah Yang Maha Pemurah itu.

Imam Ahmad Ibnu Hambal mengisahkan kelebihan istighfar yang diamalkan oleh seorang pembuat roti. Sepanjang malam si pembuat roti akan membuat roti sambil beristighfar tanpa henti dan ini telah didengari oleh Imam Ahmad yang menumpang tidur di rumahnya.

Lalu ditanyakan kepadanya apakah kelebihan yang diperolehinya melalui amalan istighfar yang bersungguh-sungguh itu. Dijawab si pembuat roti bahawa Allah SWT telah mengkabulkan segala permintaannya selama ini setiap kali dia berdoa kecuali permintaannya untuk bertemu dengan Imam Ahmad Ibnu Hambal. (Si pembuat roti tidak mengenali Imam Ahmad yang dipelawanya untuk menumpang tidur di rumahnya sendiri ketika itu). Imam Ahmad sangat terkejut bagaimana Allah SWT telah merencanakan perjalanannya sehingga dia berteduh di rumah si pembuat roti. Ternyata juga ini semua untuk memperkenankan hajat si pembuat roti iaitu ingin bertemu dengannya.

Melalui kisah ini dapat dikongsikan bahawa antara kelebihan amalan istighfar ialah diperkenankan segala permintaan dan dimakbulkan hajat oleh Allah SWT pada hamba-hambaNya yang sentiasa memohon keampunan dariNya.

3. Diberi Kekuatan Oleh Allah SWT.
“Tiada daya dan kudrat melainkan hanya dengan Allah SWT,” itulah fitrah kejadian manusia. Segala kekuatan hanya milik Pencipta. Betapa setiap ujian dan cabaran dalam hidup yang ada pasang surutnya membuatkan kita lelah dalam menghadapinya.

Firman Allah SWT dalam Surah Hud, ayat 52:
*وَيَا قَوْمِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا وَيَزِدْكُمْ قُوَّةً إِلَىٰ قُوَّتِكُمْ وَلَا تَتَوَلَّوْا مُجْرِمِينَ*


Dan (dia berkata): "Hai kaumku, mohonlah ampun kepada Tuhanmu lalu bertaubatlah kepadaNya, nescaya Dia menurunkan hujan yang sangat deras atasmu, dan Dia akan menambahkan kekuatan kepada kekuatanmu, dan janganlah kamu berpaling dengan berbuat dosa". (QS. Hud: 52).

4. Mudah Mendapatkan Zuriat.
Para ulama’ menyarankan kepada setiap pasangan yang berhajat pada zuriat untuk memperbanyakkan amalan istighfar.

Antara kisah yang boleh dikongsi di sini adalah dari Imam al Qurtubi yang diriwayatkan oleh Ibnu Shabih tentang seorang lelaki yang tidak mempunyai zuriat telah menemui Hasan al-Basri kerana hal ini.

Lelaki itu kemudiannya telah dinasihatkan oleh Hasan al-Basri untuk mengamalkan istighfar. Setelah beberapa ketika mengamalkan istighfar, lelaki itu kembali kepada Hasan untuk memaklumkan kehamilan isterinya.

Syeikh Aidh al Qarni menceritakan bagaimana seorang wanita yang disahkan mandul oleh doktor dan pakar perubatan telah dikurniakan dengan anak setelah mengamalkan saranan seorang ulama’ untuk memperbanyakkan istighfar.

5. Dapat Menyembuhkan Penyakit.
Bahawa istighfar merupakan salah satu jalan kepada kesembuhan penyakit. Semua yang menemuinya untuk mendapatkan nasihat tentang bagaimana untuk menghadapi ujian penyakit yang dialami akan diusulkan agar memperbanyakkan istighfar. Imam Qatadah pernah berkata: “Al-Qur’an telah menunjukkan penyakit dan ubat kalian, adapun penyakit kalian adalah dosa, dan ubat kalian adalah istighfar.” (Kitab Ihya’ Ulumuddin: 1/410)

6. Menyejukkan Hati Pasangan yang Sedang Marah.
Kesilapan, dosa dan maksiat yang kita lakukan secara sedar atau tidak kepada Allah SWT sehingga kita diuji dengan pasangan dan keluarga kita. Anak-anak jadi degil dan liar, entah ke mana perginya.

Kembalilah kepada Allah SWT atas teguran ini, berhentilah dengan dosa dan banyakkan memohon ampun. In shaa Allah akan dikembalikan keamanan di dalam keluarga kita yang sakinah mawaddah warrahmah.

7. Dijauhkan dari Azab & Bala.
Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Anfal, ayat 33:

*وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنتَ فِيهِمْ وَمَا كَانَ اللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ*

"Dan Allah sekali-kali tidak akan mengazab mereka, sedang kamu berada di antara mereka. Dan tidaklah (pula) Allah akan mengazab mereka, sedang mereka meminta ampun". (QS Al-Anfal: 33).

Mintalah ampun pada setiap masa kerana sungguh kita tidak tahu ketika bila Allah SWT mengurniakan keampunan kepada kita. Jangan berhenti mengharapkan keampunan Allah SWT kerana kita tidak tahu lafaz yang mana diangkat Allah SWT sebagai asbab menyelamatkan kita dan keluarga kita dari azab dan bala di dunia dan di akhirat.

8. Ditambahkan Nikmat & Kekayaan Oleh Allah SWT.
Nasihat ini ada benarnya dan terbukti kerana antara janji Allah SWT ganjaran buat mereka yang memohon keampunan kepadaNya adalah kekayaan dalam bentuk harta, rezeki dan anak-anak.

Allah SWT berfirman dalam Surah Nuh, ayat 12:

*وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا*

“Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya). (QS. Nuh: 12).

Selain itu, Allah SWT juga berjanji bahawa mereka yang beristighfar akan diberi nikmat yang tidak putus-putus.

Allah SWT berfirman dalam Surah Hud, ayat 3:

وَأَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُمَتِّعْكُم مَّتَاعًا حَسَنًا إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى وَيُؤْتِ كُلَّ ذِي فَضْلٍ فَضْلَهُ وَإِن تَوَلَّوْا فَإِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ كَبِيرٍ

"Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling (membelakangkan tiga perkara itu), maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang besar (huru-haranya)". (QS. Hud: 3)

9. Memberatkan Timbangan Akhirat & Diangkat Darjat Di dalam Syurga.
Rasulullah SAW, bersabda yang bermaksud: “Beruntunglah orang-orang yang menemukan istighfar yang banyak pada setiap lembar catatan harian amal mereka.” (HR. Bukhari).

Firman Allah dalam Surah Al-Furqan, ayat 70:

*إِلَّا مَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ عَمَلًا صَالِحًا فَأُولَٰئِكَ يُبَدِّلُ اللَّهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا*

"Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani". (QS. Al-Furqan: 70).

10. Penyelesaian Setiap Permasalahan, Jalan Keluar dari Kesusahan & Kesedihan.
Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang sentiasa beristighfar, maka Allah akan memberikan kegembiraan dari setiap kesedihannya, dan kelapangan bagi setiap kesempitannya, dan memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.” (HR. Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad).

11. Diredhai & Dicintai Allah SWT.
Matlamat utama istighfar adalah untuk mendapatkan redha daripada Allah SWT. Mudahan redha Allah SWT membuatkan kita beroleh ehsan dariNya ketika hari Kiamat tiba dan ketika kita dalam perhitungan antara Neraka dan Syurga.

Redha Allah SWT akan diperolehi apabila kita mengikut perintah Allah SWT dan istighfar adalah salah jalannya.

Rasulullah saw bersabda: “Sungguh Allah SWT lebih gembira dengan taubat hambaNya daripada kegembiraan salah seorang dari kalian yang menemukan untanya yang hilang di padang pasir.” (HR. Bukhari dan Muslim).

Rasulullah saw juga bersabda: “Orang yang bertaubat adalah kekasih Allah. Orang yang bertaubat atas dosanya bagaikan orang yang tidak berdosa.” (HR. Ibnu Majah).

Kemanisan apakah yang lebih hebat dari kemanisan bercinta?
Kekasih manakah yang lebih hebat dalam bercinta jika bukan Allah SWT? Maka beruntunglah orang-orang yang dicintai Allah SWT.

Wahai saudaraku, berhentilah untuk berdolak-dalih dengan pelbagai alasan untuk kita kembali kepada Allah SWT, sedangkan istighfar boleh dilakukan di mana sahaja dengan lafaz yang paling mudah. Lazimi istighfar ketika senang, mudah-mudahan istighfar menjadi asbab bantuan Allah turun kepada kita ketika susah.

Ya Allah terimalah taubat kami dan ampunilah kami di atas silap salah kami yang kami sedar dan yang kami tak sedar. Engkau Zat yang Maha Pengampun kepada hamba-hamba yang bertaubat kepadaMu. Aamiinn Yaa Robbal 'Aalamiin !!!!!

Wallahu A'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan