TUAN GURU HASHIM JASIN
17 JANUARY 2018
HAKIKAT bahawa seluruh manusia hidup dalam kerugian adalah tidak dapat ditolak, apabila mereka tidak mencapai tujuan penciptaannya. Sememangnya, manusia adalah dijadikan oleh Allah dengan tujuan dan sebab, bukannya secara sia-sia sahaja.
Al-Quran telah menggariskan lima tujuan kejadian manusia iaitu sebagai hamba yang beribadat kepada Allah, khalifah yang menegak hukum Allah, penanggung amanah dalam menjalankan perintah Allah, pemakmur dunia dengan agama Allah dan penerima ujian terhadap perintah, larangan dan takdir Allah.
Al-Quran menjelaskan kepada kita bahawa seluruh kemuliaan manusia sebagai makhluk terbaik akan menggelungsur jatuh ke tempat yang sehina-hinanya apabila mereka tidak mentaati perintah Allah. Allah berfirman yang bermaksud, "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah" (Surah at-Tiin: 4-5).
Dalam Surah al- Asr ayat 1-2, Allah menjelaskan "Demi masa, sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian."
Kehidupan dan perjuangan manusia yang tidak berteraskan keimanan kepada Allah dan tidak beramal dengan Islam akan menjadi sia-sia, bahkan merugikan seluruh masa, tenaga dan harta benda yang dihabiskan sepanjang hidupnya. Pada hari ini, begitu banyak kelompok dan kumpulan yang bergerak atas nama bangsa, ideologi dan agenda-agenda yang tidak menuju kepada keredhaan Allah, pasti perjuangan mereka berakhir dengan kerugian dan penyesalan.
Kerana Allah sekali-kali tidak akan menerima amal yang dibangunkan selain atas nama Islam. Apabila Allah tidak mempertimbangkan seluruh amal sepanjang hidup kita di akhirat kelak, ertinya kita telah mengalami kerugian yang sangat disesalkan.
Bagaimanakah kita mengelakkan kerugian dan penyesalan ini? Hanya satu pilihan sahaja! Iaitu dengan beriman dan beramal dengan amal yang soleh. Apabila kita telah percaya terhadap ketuhanan Allah sebagai Tuhan yang selayaknya disembah oleh makhluk-Nya, ertinya kita telah membina keimanan yang benar. Tetapi ia tidak memadai sehingga kita beramal dengan Islam.
Beramal dengan Islam ertinya kita melaksanakan seluruh perintah dan meninggalkan larangan yang terdapat dalam hukum syariat yang diturunkan oleh Allah. Bahkan, apabila kita hanya menerima Islam sahaja sebagai sistem hidup, sewajarnya kita menolak apa sahaja yang selain daripada Islam, barulah kita boleh dianggap telah beramal dengan Islam secara sempurna.
Amal yang dibina dalam setiap aspek kehidupan setelah seseorang itu beriman kepada Allah belum juga boleh dianggap sebagai telah mencapai darjat amal soleh sekiranya ia tidak memenuhi syarat-syarat sesuatu amal soleh.
Apa jua amal kebaikan yang dilakukan oleh manusia hanya dikirakan sebagai amal soleh apabila memenuhi tiga syarat iaitu pertama, amal yang dibina di atas keimanan kepada Allah. Amal yang dibuat tanpa iman, adalah amal yang sia-sia dan tidak membawa manfaat di hari akhirat.
Kedua, semua amal yang dilakukan mestilah mengikuti apa yang diajar atau ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W. Mengadakan sesuatu yang baharu dalam aqidah dan ibadat adalah menyesatkan. Begitu juga dalam soal kehidupan seharian, Islam telah menggariskan prinsip yang jelas untuk memandu manusia. Para ulama berijtihad mengeluarkan hukum, termasuk hukum-hukum semasa berdasarkan al-Quran dan Sunnah. Kehidupan yang tidak berpandukan apa yang ditunjukan oleh Nabi S.A.W akan menyebabkan manusia mengikuti hawa nafsu, lalu menyia-nyiakan amalnya.
Ketiga, amal yang dibuat di atas iman dan mengikuti petunjuk Nabi S.A.W mestilah dibuat semata-mata kerana Allah. Dalam kata lain, amal yang tidak diikhlaskan kepada Allah tidak boleh dikatakan sebagai amal soleh. Kebaikan yang dibuat dengan tujuan mencari nama, mendapat habuan dunia, mengharapkan puji-pujian dan seumpamanya akan menghancurkan nilai kebaikan tersebut. Gejala-gejala seperti riak, takabbur, sum'ah, ujub dan lain-lain yang menjadi penyakit hati ini, berperanan merosakkan keikhlasan amal kita.
Gabungan tiga aspek inilah yang melahirkan amal soleh dalam hidup manusia. Lalu ia menjadi bekalan bagi kehidupan kita di akhirat. Inilah yang disebut oleh Allah yang bermaksud, "(Manusia menjadi hina) kecuali orang-orang yang beriman dan beramal dengan amal yang soleh" (Surah at-Tiin: 6)
Apabila kita telah dapat memandu hidup kita berdasarkan keimanan dan beramal dengan amal yang soleh ini, barulah dapat membina kehidupan yang beruntung dan berjaya di dunia dan akhirat. Seluruh keyakinan, ibadat, kehidupan dan perjuangan yang tidak dilandaskan di atas dasar ini adalah sia-sia dan merugikan.
Tidak ada seorang pun dapat mencapai kemenangan di akhirat sekiranya mereka tidak menutupi ruang-ruang kerugian ini dengan amal yang soleh sesudah mereka beriman. Apalah ertinya kita berpenat lelah dalam perjuangan atau dapat mencapai tujuan perjuangan di dunia yang sementara tanpa iman dan kesolehan amal, kerana ia adalah penyesalan di hari akhirat. Inilah hakikat sebenar perjuangan PAS.
HAJI HASHIM JASIN
Mursyidul Am PAS
#HARAKAHDAILY 17/1/2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan