Sering kali aku mendengar alasan orang yang tidak ingin membuat dakwah. Ada yang kata “saya ni tiada ilmu, macamana nak buat dakwah?” Lagi “saya ni bukanlah ustaz, takkan saya nak wat dakwah?” lagi dan lagi “boleh ke saya dakwahkan kepada orang lain sedangkan saya sendiri tidak mengamalkannya?” Emmm macam-macamlah lagi soalan yang biasa diajukan oleh kengkawan yang tidak mahu lakukan kerja dakwah.
Sebenarnya, apabila sebut je perkataan dakwah, yang terlintas di kotak pemikiran kita bagi perkataan ini adalah seorang yang mempunyai ilmu agama atau dipanggil ustaz memberikan ucapan atau memperkatakan serta mengajarkan kepada khalayaknya berkenaan dengan Islam.
Bentuk gambaran macam ni telah membuatkan kerja dakwah seolah-olah hanya dimiliki oleh golongan yang mempunyai ilmu agama semata-mata. Hakikatnya, pemikiran dan tanggapan ini amat jauh sekali dan langsung tidak menepati roh dan semangat dakwah itu sendiri.
Sebenarnya kerja dakwah yang mulia ini merupakan tugas yang sepatutnya bukan dipikul oleh golongan ustaz sahaja bahkan terpikul di atas bahu kesemua umat Islam yang mesyahadahkan bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad itu utusan Allah.
Jika kita membuka dan menyorot isi kandungan al-Quran, terdapat banyak sekali nas yang menyentuh persoalan dakwah serta tanggungjawab umat Islam dalam menjayakannya.
Firman Allah s.w.t kepada Rasul s.a.w :
“Katakanlah, inilah jalanku iaitu aku menyeru kepada Allah s.w.t dengan penuh kebijaksanaan dan orang-orang yang mengikutiku, mereka juga (menyeru kepada Allah s.w.t)” (Yusuf: 108)
Jelaslah bahawa jika kita ini pengikut nabi Muhammad s.a.w maka hendaklah kita semua orang Islam untuk melaksanakan kerja dakwah.
Antaranya lagi firman Allah yang mafhumnya:
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (Ali-Imran: 104)
Daripada ayat ini, amat jelas kepada kita satu perintah Allah supaya umat Islam membentuk diri mereka dan menjadi umat atau kelompok manusia yang sentiasa menyeru kepada kebaikan iaitu Islam, menyuruh melakukan yang makruf dan mencegah dari berlakunya kemungkaran.
Satu persoalan yang patut diambik dengan teliti oleh umat Islam bahwa penglibatan dalam dakwah sebenarnya mempunyai hubungkait yang rapat dengan menifestasi kepada keunggulan iman kepada Allah dan ketinggian kedudukannya disisi Allah.
Dakwah yang dirintis oleh seorang Muslim bukan sahaja satu usaha untuk menyampaikan risalah Islam kepada khalayak bahkan merupakan satu terjemahan yang jelas terhadap ketinggian keimanan seseorang itu kepada Allah s.w.t.
Persoalan inilah yang pernah dititipkan oleh Rasul pembawa risalah dalam sebuah hadisnya yang sahih lagi masyhur. Sabda Nabi s.a.w yang mafhumnya:
“Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran maka ubahlah ia dengan tangannya (kuasa yang ada pada seseorang) jika dia tidak mampu maka ubahlah ia dengan lidahmu, jika dia tidak mampu maka gunakanlah hatinya (dalam membenci dan tidak meredai berlakunya kemungkaran itu) dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis secara literalnya mengungkapkan persoalan tentang langkah-langkah yang patut diambil seorang muslim itu dalam usahanya mencegah kemungkaran. Tetapi di sebalik mafhumnya yang mendasar diungkapkan persoalan Iman yang mempunyai konotasi yang rapat dengan dakwah.
Kita patut risau, hari ni ramai umat Islam yang tidak gelisah dan tidak membenci apabila perkara kemungkaran berlaku di depan mata atau tempat lain. Benci pun tidak, malah orang sekarang tiada rasa malu bila lakukan atau tengok perkara mungkar. Bukan setakat nak benci dan malu tetapi amat malang sekali jika aku katakan orang hari ni amat berbangga-bangga melakukan kemungkaran. Ya Allah, ampunkan dosa umat ini. Uhukkk..
Hari demi hari, keadaan umat dilihat tidak menampakkan kemajuan dari segi penghayatan agamanya yang mengundang kekhuatiran dan kebimbangan kepada mereka yang sentiasa mengambil berat nasib umat ini.
Gejala-gejala yang entah dari mana datangnya menjadi amalan harian para remaja kita. Budaya hedonisme yang melampau seolah-olah umat ini tidak memikirkan kematian selepas kehidupannya.
Gaya hidup manusia yang mendaulatkan materialistik dan bertuhankan hawa nafsu semata-mata telah mencampak jauh prinsip ketauhidan kepada Tuhan yang satu. Apa yang paling membimbangkan rosaknya akidah umat yang membawa kepada kemurtadan yang merupakan jenayah yang paling besar terhadap agama. Ya Allah, ampun dosa umat ini…
Melihat kepada senarai yang panjang ini, membuatkan aku berfikir sendirian, apakah yang telah terjadi kepada umat ini? Di manakah pegangan agama sehingga terjerumus ke dalam kerosakan yang hebat ini dan banyak lagi persoalan-persoalan yang menuntut kita berfikir dan bermuhasabah kembali nasib yang menimpa umat di akhir zaman ini.
Kunci kepada segala permasalahan ini adalah kegagalan SEMUA lapisan umat untuk menghayati ajaran Islam yang sebenar serta kecuaian umat dalam menggalas tugas sebagai daie ilallahpenyeru kepada agama Allah s.w.t.
Kegagalan institusi agama dalam melaksanakan tugasnya serta menyampaikan ajaran Islam yang tulen, kegagalan institusi keluarga dalam mendidik anak-anak dengan acuan Islam.
Kegagalan institusi masyarakat dalam membimbing masyarakat berpandukan ajaran Islam serta kecuaian pihak-pihak yang berwajib menyediakan persekitaran yang membenihkan rasa keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t.
Maka kegagalan dan kecuaian yang berpunca dari kelesuan dalam menghayati dakwah inilah yang membawa kepada kesan negative kepada umat keseluruhannya.
Oleh yang demikian setiap umat (aku dan korang semua) perlu bangkit dari kelesuan ini. Seterusnya menyusun usaha dalam menghayati dan melaksanakan tugas dakwah berpaksikan kepada kekuatan, kapasiti dan dimensi kemampuan masing-masing.
Apa yang penting, setiap muslim walau apa kedudukan dan gelarannya menjadikan dakwah sebagai agenda hidupnya yang paling penting. Kita bukanlah seorang pelajar, kita bukanlah pensyarah, kita bukanlah penjawat jawatan kerajaan atau swasta, kita bukanlah seorang blogger, kita bukanlah orang melayu, kita bukan juga orang Indonesia, kita bukan orang arab, kita bukan orang india dan bukan dan bukan. Tetapi kita ni umat Nabi s.a.w yang satu telah dipertanggungjawabkan untuk menjadi Daei ilallah.
Semangat dan roh dakwah seperti inilah yang telah menyerap dalam urat nadi dan hembusan nafas generasi awal Islam hasil didikan langsung yang diterima dari Rasulullah s.a.w. Mereka menjadi umat yang terbaik dalam sejarah umat manusia di atas keimanan yang teguh berserta ketinggian penghayatan mereka terhadap dakwah dan risalah nabawi.
Akhirnya marilah kita merenungi firman Allah yang bermaksud:
“Telah dilaknat orang-orang kafir dari bani Israil di atas lidah Daud dan Isa bin Maryam yang disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas. Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat, sesungguhnya amat buruk apa yang selalu mereka perbuat.” (Al-Maidah: 78-79)
Cukuplah ayat Allah ini menjadi satu ancaman kepada lantas mengingatkan kita akan peri pentingnya menjalankan usaha dakwah dan tidak mencuaikannya agar kita sentiasa berada di bawah rahmat Allah yang amat luas dan kita terhindar dari laknat Allah yang amat berat seksanya.
P/s: Kunci kepada segala permasalahan ini adalah kegagalan SEMUA lapisan umat untuk menghayati dan mengamalkan ajaran Islam yang sebenar serta kecuaian umat dalam menggalas tugas sebagai daie ilallah penyeru kepada agama Allah s.w.t.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan