Oleh: Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
Pada kesempatan ini saya ingin berkongsi dan mengupas dua kumpulan ayat bersama para pembaca sekalian. Pertama ialah ayat 68 hingga 70 surah al-An’aam yang diturunkan di Mekah, di mana Allah Subhanahu waTa'ala berfirman:
Dan apabila kamu melihat orang-orang memperolok-olokkan ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka membicarakan pembicaraan yang lain. Dan jika syaitan menjadikan kamu lupa (akan larangan ini), maka janganlah kamu duduk bersama orang-orang yang zalim itu sesudah teringat (akan larangan itu).
Dan tidak ada tanggungjawab sedikitpun atas orang-orang yang bertakwa terhadap dosa mereka; akan tetapi (kewajiban mereka ialah) mengingatkan agar mereka bertakwa.
Dan tinggalkanlah orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai main-main dan senda-gurau, dan mereka telah ditipu oleh kehidupan dunia. Peringatkanlah (mereka) dengan al-Qur'an itu agar masing-masing diri tidak dijerumuskan ke dalam neraka kerana perbuatannya sendiri. [al-An’aam 6:68-70]
Kedua ialah ayat 140 surah al-Nisa’, di mana Allah Subhanahu waTa'ala berfirman:
Dan sungguh Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam al-Qur'an bahwa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan, maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu tetap bersama mereka), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam Jahannam. [al-Nisa’ 4:140]
Kedua-dua ayat di atas, meskipun memiliki sedikit perbezaan dalam susunannya, memiliki satu kesamaan yang penting. Kesamaan itu ialah, Allah Subhanahu waTa'ala melarang kita umat Islam daripada bersama beberapa kategori orang. Maksud “bersama” di sini ialah satu keadaan di mana dua atau lebih orang hadir bersama. Ia boleh jadi seorang yang mendengar ucapan DJ di siaran radio, tiga orang yang duduk bersembang di kedai kopi, lima orang yang berforum di internet dan dua puluh orang yang mendengar kuliah di masjid.
Apakah kategori orang-orang yang Allah larang kita umat Islam daripada bersama dengan mereka? Marilah kita mengupas dengan lebih lanjut.
Orang Yang Mengingkari Ayat-Ayat Allah
Kategori pertama ialah orang yang mengingkari ayat-ayat Allah, yakni al-Qur’an. Kategori ini merujuk kepada orang-orang kafir kerana mereka sememangnya mengingkari al-Qur’an. Kategori ini boleh juga merujuk kepada segelintir orang Islam yang beriman kepada sebahagian ayat-ayat al-Qur’an namun mengingkari sebahagian yang lain. Misalnya mereka beriman kepada ayat yang memerintahkan solat lima kali sehari tetapi mengingkari ayat yang memerintahkan menutup aurat. Mereka beriman kepada ayat yang memerintahkan puasa namun mengingkari ayat yang memerintahkan hukum hudud.
Apabila orang-orang dalam kategori ini menonjolkan pengingkaran mereka sehingga kita dapat melihat dan mendengarnya, maka Allah melarang kita untuk bersama mereka. Satu contoh ialah makan di restoran yang menghidangkan arak dan para pelanggan juga meminum arak. Meskipun kita ke restoran tersebut untuk makan makanan yang halal dan minum jus buah-buahan, kita tetap dilarang untuk hadir dalam restoran tersebut.
Berbeza jika kita ke sebuah restoran yang tidak menghidangkan minuman keras. Para pelanggannya makan dan minum seperti biasa. Meskipun mungkin ada di antara pelanggan yang minum arak di rumah, mereka tidak menonjolkannya di restoran tersebut sehingga kita tidak melihat atau mendengarnya. Justeru kita boleh hadir dalam restoran seperti ini.
Orang Yang Memperolok-olokkan Ayat-Ayat Allah.
Perkataan olok-olok dalam ayat-ayat di atas berasal daripada perkataan asal “khaudh”. Secara bahasa ia bermaksud orang yang berjalan di dalam air yang banyak lagi dalam sehingga dia tidak tahu di mana dia berpijak. Boleh jadi dia berpijak atas dasar yang kukuh, boleh jadi dia berpijak atas lubang atau tanah lembut sehingga tergelincir dan jatuh. Berbeza jika dia berjalan di atas tanah, maka dia mengetahui di mana kakinya akan berpijak. [Tafsir al-Sya’rawi, jld. 4, ms. 313 (tafsir ayat 68 surah al-An’aam)]
Justeru ayat-ayat di atas merujuk kepada orang-orang yang membicarakan ayat-ayat al-Qur’an tanpa ilmu, dalil, hujah dan sandaran yang pasti. Dia membicarakan ayat-ayat al-Qur’an berdasarkan tekaan semata-mata, boleh jadi betul dan boleh jadi salah. Orang seperti inilah yang dimaksudkan sebagai memperolok-olokkan al-Qur’an.
Para ahli tafsir, seperti Imam al-Qurtubi dan Imam al-Syaukani ketika menafsirkan ayat-ayat di atas, menyatakan bahawa antara yang dimaksudkan sebagai orang-orang yang memperolok-olokkan al-Qur’an ialah para ahli bid’ah. Mereka membuat pelbagai pemikiran dan amalan yang baru dalam Islam, lalu mereka mencari-cari dan meneka bahawa sekian-sekian ayat al-Qur’an dan hadis Nabi shallallahu 'alaihi wasallam adalah hujah bagi rekaan mereka.
Imam al-Syaukani melanjutkan bahawa termasuk memperolok-olokkan al-Qur’an ialah orang-orang yang hanya merujuk kepada pendapat ulama’ dalam mazhab mereka dan mengabaikan al-Qur’an dan hadis. Apabila ada orang lain yang berhujah kepada mereka berdasarkan dalil al-Qur’an dan hadis, mereka meremehkan dalil-dalil tersebut dan tetap mengutamakan pendapat ulama’ pilihan mereka. Pendapat ulama’ boleh jadi betul dan boleh jadi salah sementara dalil al-Qur’an dan hadis adalah betul sentiasa.
Pada masa kini, satu contoh orang yang memperolok-olokkan al-Qur’an ialah orang-orang yang mengajar petua-petua daripada al-Qur’an. Mereka menjadikan sekian-sekian ayat al-Qur’an sebagai tiupan dan jampian bagi mencapai matlamat tertentu. Misalnya ayat 36 surah Ali Imran sebagai ayat pengasih bagi mengeratkan kasih sayang suami isteri dan ayat 1 hingga 11 surah al-Mu’minin bagi menjadi orang yang berjaya. Padahal semua ini adalah tekaan mereka semata-mata, tidak pernah diajar oleh Allah mahupun Rasulullah.
Contoh lain ialah orang-orang yang menyampaikan hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tanpa rujukan dan darjatnya. Mereka menyampaikan hadis-hadis secara teka-teki, boleh jadi berasal daripada Rasulullah, boleh jadi tidak. Boleh jadi darjatnya sahih, hasan, dha’if atau dha’if jiddan,bahkan mungkin palsu. Hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, secara langsung atau tidak langsung, merupakan penjelas kepada al-Qur’an. Memperolok-olokkan hadis bererti memperolok-olokkan al-Qur’an.
Perlu diingatkan bahawa orang-orang yang memperolok-olokkan al-Qur’an tidaklah terhad kepada orang-orang awam sahaja, tetapi merangkumi juga para agamawan yang biasa memberi kuliah di TV dan radio, berceramah-ceramah di masjid dan surau serta menulis buku dan novel agama. Oleh itu para pembaca sekalian hendaklah sentiasa berwaspada kepada kategori ini. Janganlah terpedaya dengan sijil kelulusan, fesyen keagamaan dan kemasyhuran, sebaliknya nilailah berdasarkan nilai ilmiah, dalil dan hujah yang mereka sampaikan.
Orang Yang Menjadikan Agama Sebagai Mainan dan Senda Gurau
Kategori ketiga yang Allah Subhanahu waTa'ala perintahkan untuk kita tinggalkan ialah orang-orang yang menjadikan agama Islam ini sebagai mainan dan senda gurau. Mereka melakukan semua itu kerana telah ditipu oleh kehidupan dunia. Ertinya mereka menjadikan agama Islam sebagai mainan dan senda gurau kerana menginginkan pulangan kebendaan dan kemasyhuran di dunia ini.
Contoh masa kini ialah tingkah-laku sebahagian agamawan yang apabila berceramah, mereka asyik bermain-main dan bersenda-gurau. Melalui cara ini, mereka akan berjaya menarik minat ramai hadirin. Ramai hadirin bersamaan dengan banyak jemputan ceramah. Banyak jemputan ceramah bersamaan dengan banyak bayaran daripada penganjur ceramah.
Bezakan bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sekali-sekala pernah juga berjenaka kepada umat Islam pada zamannya. Namun apa yang lazim lagi menjadi kebiasaan ialah baginda menyampaikan agama secara ilmiah.
Tinggalkan Tiga Kategori Ini
Terhadap tiga kategori orang di atas, baik muslim atau bukan Muslim, baik tokoh agama atau orang awam, Allah Subhanahu waTa'ala memerintahkan kita untuk meninggalkan mereka. Dalam konteks yang lebih luas, jangan hadiri ceramah mereka, jangan menonton siaran TV mereka, jangan mendengar siaran radio mereka, jangan membaca hasil tulisan mereka dan jangan berforum dengan mereka di internet melalui rangkaian-rangkaian sosial.
Perintah ini seterusnya dihalusi kepada beberapa keadaan:
1.Jika terlupa, maka apabila ingat hendaklah segera meninggalkan mereka. Firman Allah:Dan jika syaitan menjadikan kamu lupa (akan larangan ini), maka janganlah kamu duduk bersama orang-orang yang zalim itu sesudah teringat (akan larangan itu).
2.Jika benar-benar tidak mampu untuk meninggalkan mereka, maka tidak mengapa. Orang yang terpaksa hadir, tidak ikut sama menanggung dosa. Misalnya apabila pihak majikan mewajibkan staf muslim untuk hadir ke majlis yang di dalamnya dihidangkan arak, maka tidak mengapa dan tidak berdosa jika terpaksa hadir. Inilah maksud firman Allah: Dan tidak ada tanggungjawab sedikitpun atas orang-orang yang bertakwa terhadap dosa mereka…
3.Jika mampu meninggalkan mereka namun sengaja kekal di dalamnya, maka orang yang hadir dihukum sama seperti orang yang mengingkari atau memperolok-olokkan al-Qur’an. Kehadiran bersama mereka bererti meredhai, mengiktiraf dan membenarkan kesalahan mereka. Firman Allah:Sesungguhnya (kalau kamu tetap bersama mereka), tentulah kamu serupa dengan mereka.
Di sini terdapat hujah yang kukuh ke atas orang yang sengaja tetap bersama mereka atas alasan “saya mendengar tetapi tidak mengikutinya” atau “saya membaca tetapi mampu menapis antara benar dan salah”. Ini kerana kerap bersama mereka lambat-laun akan menjadi hati dan pemikiran kita cenderung kepada kesalahan mereka sehingga akhirnya menjadi seperti mereka.
4.Pengecualian diberikan kepada orang yang benar-benar mampu menegur, maka tidak mengapa untuk terus hadir bersama mereka. Melalui kehadirannya, bukti-bukti pengingkaran, perolokkan dan mainan mereka terhadap al-Qur’an dan Islam dapat dikumpul dan dijadikan hujah ketika menegurnya. Firman Allah: Peringatkanlah (mereka) dengan al-Qur'an itu agar masing-masing diri tidak dijerumuskan ke dalam neraka kerana perbuatannya sendiri.
Berapa Lama Ditinggalkan?
Di sini timbul persoalan, berapa lamakah sepatutnya kita tinggalkan orang-orang yang mengingkari, memperolok-olok atau mempermainkan al-Qur’an dan Islam?
Jawapannya, selagi mana mereka bertindak sedemikian, selagi itulah kita meninggalkan mereka. Apabila mereka berhenti, maka boleh bersama mereka. Namun hendaklah sentiasa berwaspada seandainya mereka secara halus dan tidak langsung meneruskan tindakan mengingkari, memperolok-olok atau mempermainkan al-Qur’an dan Islam. Firman Allah: …maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka membicarakan pembicaraan yang lain.Firman Allah lagi: …sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain.
Oleh itu apabila surau atau jiran di kawasan perumahan menganjurkan majlis bid’ah seperti tahlilan, qasidah, selawatan, marhaban dan lain-lain, dilarang menghadirinya. Namun sebelum atau selepas majlis bid’ah itu, boleh saja bersama ahli surau dan jiran-jiran dalam urusan yang selari dengan syari‘at Islam.
Apabila seseorang itu menjadi kebiasaan baginya untuk mengingkari, memperolok-olok atau mempermainkan al-Qur’an dan Islam, maka hendaklah kita secara berterusan meninggalkannya sehinggalah dia bertaubat sepenuhnya.
Kadangkala timbul suasana yang agak rumit. Contohnya apabila ada rakan muslimat yang tidak memakai tudung bagi menutup aurat rambut, leher dan dadanya duduk semeja dengan kita, timbul persoalan apakah dia tidak memakai tudung kerana jahil, menghadapi halangan tertentu, dilarang oleh suami atau memang mengingkari ayat 31 surah al-Nur? Dalam suasana sebegini, kita berbaik sangka bahawa muslimat tersebut jahil atau memiliki sesuatu halangan, lalu kita mendampinginya agar dapat mendekatkannya kepada cara berpakaian yang selari dengan syari‘at Islam. Akan tetapi hendaklah sentiasa berwaspada, dibimbangi muslimat tersebut pula yang menarik kita ke arah cara berpakaian yang mengingkari ayat 31 surah al-Nur.
Kepentingan Memelihara Agama
Sekali imbas, kelihatan perintah meninggalkan orang-orang yang mengingkari al-Qur’an, memperolok-olokkan al-Qur’an dan menjadikan agama ini sebagai mainan dan senda gurau agak berat dan menyelisihi perpaduan umat Islam. Akan tetapi jika direnung lebih jauh, perintah ini memiliki hikmah menjaga ketulenan agama Islam.
Ia juga berperanan menjaga aqidah, pemikiran dan amalan kita agar terpelihara daripada anasir-anasir asing, meskipun yang mempelopori dan menyebarkan anasir tersebut ialah seorang tokoh yang masyhur. Ini kerana perpaduan umat Islam berpaksi kepada pemikiran dan amalan Islam yang tulen, bukan kepada kepelbagaian pemikiran dan amalan manusia, siapapun manusia tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan