Senario hari ini, gerakan Islam semakin mendapat tempat manakala gerakan sekular semakin dipandang jijik terutamanya oleh masyarakat muslim. Maka Barat melalui anak-anak muridnya mula menjenamakan semula ajaran sekular agar terus diterima oleh masyarakat muslim.
⚫ AGENDA BARAT.
Bahkan proksi sekular di medan politik pun dilihat turut mengalami perubahan penstrukturan semula terutamanya sejak akhir-akhir 90an dan menjelma meraih perhatian ramai di pertengahan millennium.
Antara tulisan popular kritikan Barat terhadap Islam adalah ‘The Failure Of Political Islam’ tulisan Olivier Roy. Buku tersebut sekaligus menjadi signal arahan polisi perubahan Islam tajaan Barat yang disambut oleh agen-agen mereka. Roy membidas golongan Islamis yang beliau labelkan sebagai neo-fundamentalis yang dilihat konsisten membawa agenda perlaksanaan undang-undang Islam.
Secara berterus terang Olivier Roy mengungkapkan tentang golongan Islamis yang diwujudkan untuk menentang golongan neo-fundamentalis. Islamis yang Barat maksudkan perlu mengamalkan Islamisasi bermodelkan Barat;
“Yang lain, mereka boleh berkompromi mereka kemodenan Barat. Membawa ulama menerima kemodenan di mana pada asalnya Islam menolaknya, termasuklah menerima konsep pemisahan agama dan politik, yang semestinya membawa kepada sekularisasi”
Kini ancaman umat Islam berhadapan dengan proksi-proksi Barat di kalangan umat Islam sendiri. Mereka menjalankan tugas Barat menentang agenda perlaksanaan Islam secara syumul. Pada masa yang sama mendabik dada kononnya menjadi pejuang kepada nilai-nilai baik Islam yang dakwa mereka, mempunyai titik temu antara anutan-anutan lain. Akhirnya dinobatkan perjuangan nilai, ditinggalkan perjuangan perlaksanaan Islam.
⚫ SEKULAR YANG ‘BAIK’?
Pemuka Liberal Indonesia, Nurcholis Madjid telah memperkenalkan bid’ah kononnya ajaran sekular merupakan akar kepada ajaran Islam. Di dalam ucapannya pada 2hb Januari 1970 yang bertajuk ‘Keharusan Pembaharuan Pemikiran Islam dan Masalah Integrasi Umat’, begitu juga dalam artikelnya yang lain bertajuk ‘Sekali Lagi Tentang Sekularisasi’, beliau telah memperkenalkan istilah ‘sekularisasi’ kepada masyarakat Islam Indonesia dengan mendakwa bahawa sekularisasi tidaklah dimaksudkan penerapan sekularisme.
Bahkan menurutnya proses sekularisasi itu merupakan proses Islami seperti tertuang dalam permulaan kalimah syahadah (La Ilaha..) itu sendiri. Beliau secara terang-terangan mengatakan bahawa;
“Agama Islam bila diteliti benar-benar dimulai dengan proses sekularisasi lebih dahulu. Justeru ajaran tauhid itu pangkal tolak proses sekularisasi besar-besaran” (Dr. Ugi Suharto, Pemikiran Islam Liberal, m/s 7-8)
Apa yang telah berlaku di Indonesia pada era 70an, kini melanda Malaysia. Jika diamati kebelakangan ini, sudah ada ucapan-ucapan yang bersahaja mengatakan bahawa sekular merupakan ajaran yang baik bahkan ada kaitan dengan konsep syahadah.
⚫ NEO-MU'TAZILAH
Dalam menyentuh soal sekular generasi baharu, penulis suka melampirkan beberapa pendedahan dan ingatan dari Syeikh Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitab-kitabnya.
Walaupun beliau tidak menggunakan istilah ‘sekular generasi baharu’, penerangan beliau jelas menyingkap pemikiran bahaya yang semakin menular di kalangan umat Islam yang dibahasakannya sebagai golongan ‘al-Mu’attilah al-Judud’.
“Mereka menyangka bahawa mereka berpegang dengan Maqasid al-Syariah dan ruh (nilai) agama. Sehingga melupakan nas al-Quran dan Hadith Sahih. Mereka mendakwa bahawa agama itu hanyalah pada nilai isinya bukan pada luarannya. Apabila kamu berhadapan dengan mereka berbekalkan nas-nas yang muhkamat, pasti mereka berdolak-dalih dan menyeleweng dari konteks sebenar. Mereka gemar berpegang dengan perkara mutasyabihat dan menolak perkara yang muhkamat. Mereka mendakwa diri mereka sebagai agen perubahan, realitinya mereka adalah agen pembaratan” (Dr. Yusuf al-Qaradhawi, al-Siyasah a-Syar’iyyah, m/s 228)
Dalam tulisan yang lain, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi mendedahkan asal usul mereka;
“Antara pemuka pemikiran ini adalah Muhammad Arkun yang berasal dari Algeria. Dia mengemukakan pemikiran yang kononnya fokus kepada maqasid syariah ” (Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Dirasah Fi Feqh Maqasid al-Syariah, m/s 87)
Mereka mengalami masalah pemahaman terhadap syariat Islam. Namun ghairah mengungkapkan istilah-istilah syara’ serta konsepnya walaupun apa yang disebutkan itu sama sekali bercanggah dengan konteks sebenar. Rasional mengatasi autoriti nas.
Lebih menghairankan mereka cukup mengagungkan konsep-konsep dan nilai Barat. Bagi mereka nas bukanlah rujukan yang absah untuk zaman ini, sehingga Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyindir pemikiran mereka;
“Apa yang dilihat oleh Barat sebagai baik, maka bagi mereka ia baik di sisi Allah”
⚫ SEMUA YANG DIRASAKAN MASLAHAT ADALAH ISLAM?
Golongan al-Mu’attilah al-Judud cuba membawa fahaman baru kononnya konsep syariat perlu didefinisikan semula. Mereka mula memperkenalkan doktrin;
“Di mana didapati kebaikan, maka itu adalah syariat Allah”
Usaha mereka demi merubah cara berfikir umat Islam bahawa unsur-unsur yang baik tidak semestinya datang dari Islam secara tetap. Bahkan bagi mereka, mana-mana perkara yang dirasakan baik maka ia adalah hakikat Islam walaupun dilihat bercanggah dengan syariat Islam.
Konflik pemikiran ini bermula seawal cara mereka mengiktiraf kebaikan yang semata-mata berdasarkan rasional. Ini sama sekali bercanggah dengan pendirian Ahli Sunnah yang meletakkan penilaian baik dan buruk adalah berdasarkan syara’.
Dr. Yusuf al-Qaradhawi membidas, sewajibnya perlu diungkapkan konsep;
“Di mana didapati syariat Allah, maka itulah kebaikan untuk manusia”
Keberanian mereka bermain-main dengan autoriti nas turut dibahas panjang oleh Ustaz Ismail al-Kailani yang turut melabelkan mereka sebagai Mu’attilah. Mereka berpegang dengan kaedah songsang;
“Sesungguhnya jika nas al-Quran tidak berpotensi menhasilkan maslahat maka kami akan tinggalkannya. Sebaliknya kami akan menerokai kebijaksanaan idea pemikiran manusia” (Ustaz Ismail al-Kailani, Faslu al-Adin Wa al-Daulah, m/s 206)
Golongan tersebut berhujah bahawa hukum berubah seiring dengan perubahan zaman. Apa yang perlu ditekankan, konsep tersebut tidak terpakai pada hukum syariat yang telah digazetkan secara jelas oleh al-Quran dan Hadith.
⚫ MASLAHAT YANG HAKIKATNYA MUSLIHAT.
Jika sekular terdahulu, mereka vokal menolak Islam secara terang-terangan kerana ianya Islam. Mereka beranggapan Islam adalah simbol kegagalan dan kemunduran.
Kelicikan sekular generasi baharu, mereka bijak memanipulasi istilah-istilah syara’ dan dipadankan dengan nafsu mereka. Antara istilah yang sering dimanipulasi adalah 'maslahat' yang bermaksud kebaikan.
Dr. Yusuf al-Qaradhawi meletakkan beberapa tumpuan isu Islam yang ditentang oleh mereka. Golongan al-Mu’attilah al-Judud menyambung lidah sekular terdahulu yang bermati-matian menentang perlaksanaan undang-undang Islam.
Bezanya dahulu mereka menolak keras tanpa alasan-alasan yang kelihatan syar’ie. Kini mereka menolak perlaksanaan undang-undang Islam dengan alasan-alasan yang dilihat seolah-olah syar’ie.
⚫ LOGIK MEREKA.
Berikut adalah contoh-contoh laras bahasa mereka beserta sanggahan serba ringkas:
• Mereka kononya mahukan keadilan Islam tanpa undang-undang Islam. Ibarat mahu kenyang tanpa makan.
• Mereka meminta untuk menunggu hingga keadaan kondusif baru boleh laksanakan undang-undang Islam. Ibarat tunggu sembuh baru berubat.
• Mereka beralasan perlu pastikan rakyat semua faham Islam terlebih dahulu baru boleh laksanakan undang-undang Islam. Bagaimana dapat dipenuhi tuntutan tersebut sedangkan orang jahil lahir setiap minit.
• Mereka mendakwa bahawa hudud, qisas dan ta'zir bukan satu-satunya fokus Islam. Ya, itu semua bukan semata-mata fokus Islam. Bahkan ia merupakan mekanisma yang diperintahkan oleh Allah untuk memperbaiki negara dan rakyat. Maka ia adalah tuntutan agama dan isu nasional.
• Mereka melaungkan yang penting kita laksanakan maqasid. Hakikatnya maqasid bukanlah perlaksanaan. Sebaliknya ia adalah kesan yang terhasil setelah melaksanakan syariat. Oleh kerana itu ia dinamakan Maqasid al-Syariah.
• Menolak dan mencipta pelbagai alasan untuk tidak bersetuju dengan kanun jenayah syariah adalah antara ciri masyarakat yang rosak. Masing-masing menolak seolah-olah mereka semua pernah terlibat dengan kesalahan-kesalahan tersebut.
Sepatutnya logik kita memikirkan semakin rosaknya masyarakat, bermakna semakin mereka memerlukan Islam. Ibarat pesakit yang sedang tenat amat memerlukan ubat dengan kadar segera.
Bukan setakat menolak perlaksanaan undang-undang islam, bahkan sampai ke satu tahap mereka sanggup menolak rukun Islam atas nama masalahat.
“Kami telah menyaksikan mereka yang menolak nas atas nama maslahat sehinggakan mereka menolak rukun Islam, solat, puasa, zakat dan haji. Mereka mendakwa bahawa kononnya solat akan mengganggu kualiti masa bekerja, zakat akan menggalakkan kemalasan bekerja, puasa akan merosotkan produktiviti dan haji adalah amalan yang sengaja mencari susah sedangkan kita dicipta untuk mencari susah” (Dr. Yusuf al-Qaradhawi, al-Siyasah al-Syar’iyyah, m/s 248)
Usaha-usaha mereka hanya membenarkan amanat Nabi SAW;
"Akan terungkai ikatan islam satu persatu, setiap kali terungkai satu ikatan, manusia akan berpaut pada ikatan yang seterusnya. Ikatan pertama yang terungkai adalah perundangan dan akhirnya adalah solat" (Hadith riwayat Ahmad, Ibnu Hibban, al-Hakim.)
⚫ ISTIQAMAH
Kita selaku umat Islam perlu sentiasa peka dan berwaspada dengan perkembangan musuh. Mereka tidak akan berputus asa memastikan kita tetap jauh dari berpegang teguh dengan ajaran islam.
“Saya wajib beriman dengan penuh yakin bahawa masa depan pasti milik Islam. Ia datang dari Allah, sudah pastilah ia merupakan satu-satunya ajaran yang paling berkesan dan mampu menguruskan seluruh urusan dan memimpin manusia” (Fathi Yakan, Maza Ya’ni Intima’I Li al-Islam, m/s 63)
Kita jangan sesekali berputus asa dari menghadapi musuh Islam yang ramai. Sememangnya menjadi idaman mereka melihat umat Islam sudah tidak optimis dengan masa depan Islam. Dr. Imaduddin Khalil dalam tulisannya Lu’bah al-Yamin Wa al-Yasar menyatakan;
“Oleh itu menjadi tugas mereka memburuk-burukkan cara hidup ini (Islam) dan mengugurkannya dari jiwa pendukung-pendukungnya. Sehingga mereka berjaya mencipta satu jenis perasaan mengalah dalam jiwa orang-orang Islam agar mereka tidak ada keinginan lagi untuk kembali kepada agama mereka” (Dr. Sa’aduddin Sayyid Saleh, Strategi Musuh Menentang Islam, m/s 73)
Abdul Mu'izz Muhammad
9 Febuari 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan