Sabtu, 26 Ogos 2017

Ucapan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Menyanggah Tun Dr Mahathir Berkenaan Tragedi Memali

Catatan Khas: Ucapan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Menyanggah Tun Dr Mahathir Berkenaan Tragedi Memali

1. Setelah DAP dan anak didik kesayangannya, PAN tampil membela Tun Dr Mahathir dalam isu Tragedi Memali, hari ini empunya badan sendiri pula yang bersuara.

Skrip yang sama digunakan, taktik 'diversion', iaitu mereka bersepakat untuk menyerang PAS dengan menggunakan 'Amanat Haji Hadi' sebagai punca Tragedi Memali.

Mereka ingin orang ramai melupakan hakikat sebenarnya yang berlaku pada era pentadbiran Tun Dr Mahathir iaitu tahanan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang zalim itu hendak dikenakan terhadap Almarhum Ustaz Ibrahim Libya.

2. Dalam blog Tun Dr Mahathir hari ini turut memetik ucapan Tun Musa Hitam, Pemangku Perdana Menteri di Parlimen yang bertarikh 20 November 1985.

Timbul kemusykilan di sini, kerana Tun Musa Hitam pada tahun 2014 telah mendedahkan bahawa Tun Dr Mahathir berada dalam negara ketika Tragedi Memali berlaku dan Tun Musa menafikan beliau bertindak sebagai Pemangku Perdana Menteri.

Kelihatannya, episod tuding-menuding berlaku sesama mereka kerana pada tahun 1980an itu UMNO sedang mengalami konflik perbalahan dalaman antara Team A dan Team B. Tun Mahathir berganding dengan Tun Ghafar Baba dalam Team A manakala Ku Li berganding dengan Tun Musa berada dalam Team B.

3. Pada persidangan Parlimen Mac 1986, Kerajaan membentangkan 2 Kertas Putih iaitu isu Skandal Kewangan BMF dan Tragedi Memali.

Kertas Putih ini direkayasa Kerajaan bagi menghalalkan tindakan kejam mereka membunuh 14 orang penduduk Kampung Memali termasuk Almarhum Ustaz Ibrahim Libya.

Sejak dulu sehingga sekarang, PAS tidak pernah berganjak dalam menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja dan penarikan semula Kertas Putih yang hitam itu agar semua yang terbabit mendapat keadilan dan pembelaan yang sewajarnya.

4. Almarhum Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat merupakan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa bagi sesi Parlimen tahun 1982-1986. Pada petang Jumaat 14 Mac 1986, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bangun membahaskan Titah Diraja.

Dalam ucapan ini, beliau tegas mempertahankan Almarhum Ustaz Ibrahim Libya yang dituduh oleh Kerajaan sebagai pelampau agama sedangkan Almarhum Ustaz Ibrahim adalah pejuang yang berani menentang ISA yang zalim sehingga terkorban nyawanya.

5. Berikut adalah teks penuh ucapan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz;

Tuan Yang di-Pertua,
Untuk sama-sama membahaskan Titah Baginda Yang di- Pertuan Agong yang diucapkannya pada 10 hb Mac, 1986 baru lalu, saya ingin menyebutkan dengan ringkas bahawa satu Titah yang telah dilafazkan oleh Baginda-baginda Sultan Negeri ataupun oleh Yang di-Pertuan Agong, sebahagian besarnya disusun oleh Kerajaan-kerajaan Negeri dan juga Jemaah Menteri Pusat, kalau pun tidak kesemuanya sekali, ianya dikemukakan oleh Baginda Sultan dan Baginda Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong sebagai pandangan dan dasar Kerajaan yang sedang berkuasa.

Oleh itu, tidaklah mencemarkan Baginda sekiranya ulasan-ulasan yang saya akan buat ini memperlihatkan kelemahan-kelemahan atau kepalsuan amalan Kerajaan yang sedang dijadikan landasan bertindak sekarang ini.

Tuan Yang di-Pertua, saya tertarik apabila Baginda menyentuh mengenai cabaran terhadap negara oleh orang atau golongan yang menyalahgunakan agama untuk kepentingan peribadi dan politik.

Tuan Yang di-Pertua, perkataan mempergunakan agama, menyalahgunakan agama dan sebagainya selalu ditonjolkan sekarang ini untuk mengelirukan dan menakut-nakutkan rakyat yang sebahagian besarnya tidak mendalami pengajian agama. Kepala orang yang mempelajari agama dan mendalaminya yang bilangannya sekarang ini semakin membesar,

Alhamdulillah, kata-kata tadi akan menikam balik perut yang mengatakan itu sendiri.

Saya hendak tanya benda apakah yang digunakan oleh Rasullullah S.A.W. untuk menarik orang ramai supaya menyokong Baginda kalau tidak agama?

Benda apakah yang telah digunakan oleh Baginda Rasullullah S.A. W. untuk mendapat sokongan dan bantuan orang ramai kalau tidak kerana Qallallah dan Firman Allah.

Benda apakah yang menjadi daya tarikan orang ramai terhadap Baginda Rasullullah S. A. W.

Kalau tidak kerana wahyu yang diterimanya sebagai firman dan tingkah laku Baginda, tutur kata Baginda dan kerja, buat Baginda sebagai Hadis dan pentafsiran wahyu, yang kesemuanya itu disebut agama.

Tidak ada apa pun yang menjadi daya menarik untuk Badwi Arab yang jakun itu terhadap Baginda Muhammad bin Abdullah s.a.w. selain daripada agama yang dibawanya.

Hendak dikatakan kerana hartanya menjadi daya tarikan maka beliau orang miskin yatim piatu. Hidupnya sendiri di bawah jagaan nendanya Abdul Mutalib.

Kemudian berpindah di bawah bapa saudaranya Abu Talib yang juga miskin.
Hendak dikatakan kerana kekuasaan yang diperolehi, beliau adalah Nabi Rahmah bukan dari golongan samseng yang bermaharajalela.

Kesimpulannya, benda yang dipergunakan sepenuhnya oleh beliau untuk menarik sokongan dan bantuan orang ramai sejak dahulu sampai hari ini, baik pun di bahagian ibadat ataupun di bidang pemerintahan, beliau hanyalah agama. Sabda yang keluar daripada beliau dan semua tindak-tanduk beliau adalah menjadi bahan turutan seluruh umat Islam sejak dahulu sampai Kiamat.

Orang-orang yang menerimanya disebut Mukmin, yang tidak menerimanya ada yang disebut Munafik dan ada yang disebut Kafir.

Sungguhkah PAS telah menyalahguna agama seperti yang disebut-sebut, itu belum tentu! Kerana di depan kita ada dua, satu UMNO, satu lagi PAS. Mengikut kaedah biasa bila berlaku bertengkaran di antara dua orang atau dua puak maka orang yang ketiga perlu dicari.

Sekarang segala kata-kata yang tidak sedap didengar yang dilemparkan ke atas PAS sama ada pelampau, pemecahbelah masyarakat, penyalahguna agama adalah tuduhan sebelah pihak sahaja, iaitu UMNO.

Puak yang ketiga belum lagi dicari sampai sekarang walaupun bagi orang Islam puak ketiga ini memang telah lama wujud kerana turunnya Adam alaihissalam ke dunia ini sejak zaman purba pun adalah untuk membawa misi penyelesaian, yang bertugas sebagai puak ketiga,

Tuan Yang diPertua.
Oleh itu, kata-kata kesat dan tuduhan-tuduhan tadi sengaja dibesar-besarkan bagi melindungi keburukan mereka sendiri iaitu menolak puak ketiga sebagai misi damai, misi damai yang dikirim sendiri oleh Allah, pencipta alam melalui para anbia alaimussalam, yang bermula daripada Adam terus-menerus kepada Nabi Musa a.h., Nabi Isa a.h. dan akhir sekali Nabi Muhammad S.A.W. Sila baca ayat seratus dua puluh tiga, Surah Thaha.

Tuan Yang di-Pertua, telah ada usaha sedikit-sebanyak ke arah meredakan keadaan dan kalau boleh menghapuskan keadaan tegang di antara UMNO dengan PAS sejak lama dahulu.

Saya sebutkan di sini bahawa hingga hari ini sudah empat kali ura-ura hendak mengadakan perjumpaan secara berdepan dengan PAS di bawah berbagai-bagai nama tetapi tidak pernah jadi pun.

Yang pertama, semasa PAS masih di bawah pimpinan Datuk Mohd. Asri, ketika mana seorang pemimpin tertinggi Kerajaan berucap di sebuah kilang Butir Jagus, di Kampung Raja, Besut, kira-kira empat lima tahun dahulu, dalam ucapannya itu beliau menyebut masalah-masalah muzakarah dengan PAS dan diulangi lagi di tempat-tempat lain tetapi tidak pernah menemui pemimpin PAS sendiri, menyebabkan Presiden PAS ketika itu membuat ulasan bahawa cara melaung-laungkan muzakarah di sebelah pihak sahaja tanpa menghubungi pihak yang kedua, serupalah orang yang hanya melaung di tengah market ikan bahawa dia mahu meminang anak gadis si anu, si anu tetapi tidak pernah berhubung dengan keluarga anak gadis itu sendiri.

Kali yang kedua, ialah bila isu debat ditimbulkan oleh orang yang sama tetapi tidak juga terlaksana.

Kali yang ketiga, ialah bila isu Memali meletus, timbul lagi isu dialog dengan PAS dan disambut oleh beberapa pihak yang ingin menyertai dialog itu seperti Persatuan Ulama Malaysia dan lain-lain. Inipun tidak sampai ke mana-mana juga.

Dan keempat ialah yang sedang heboh seminggu dua, sebulan dua ini daripada seorang Menteri dan kemudian dibentuk satu jawatankuasa yang terdiri daripada orng-orang yang dikenali tidak mempunyai pengalaman dalam hal-hal kerja seperti ini dan sampai sekarang pun kami tidak terima apa-apa jemputan dan maklumat yang rasmi, kerana UMNO masih terus-menerus direndung bala dan kalau usaha membawa balik Menteri yang telah meletak jawatan baru-baru ini berjaya maka makin banyak lagi balanya yang akan menimpa.

Kesimpulannya tidak siapa boleh menerima tuduhan-tuduhan liar dari pihak pertama ke atas pihak yang kedua selagi misi damai pihak ketiga iaitu ajaran Nabi Muhammad s.a.w. terus-menerus ditolak.

Tuan Yang di-Pertua, dalam jarak masa kira-kira 30 tahun negara ini diperintah oleh Kerajaan yang wujud sekarang ini, sudah acapkali cerita Kertas Putih ini dikemukakan kepada rakyat. Dua Kertas Putih yang dikemukakan sekarang ini kalau tidak salah saya adalah kertas yang ke 6 dan kertas yang ke 7. Sesungguhnya acap sangat menggunakan Kertas Putih ini memberi erti banyak kesilapan dan penyelewengan berlaku.

Pihak Kerajaan boleh meletakkan punca silap dan seleweng itu atas kepala rakyat, bahkan pihak Pembangkanglah yang tidak bertanggungjawab. Tetapi kalau mengikut ilmu pendidikan maka murid yang gagal dalam pelajaran itu tidak mestinya kerana mereka bebal.

Terdapat banyak kegagalan murid-murid itu berpunca daripada Cikgunya sendiri yang tidak pandai mengajar atau pihak pentadbiran itu sendiri yang cuai dalam tugas hariannya.

Dengan itu, mintalah tolong jaga sedikit status Kertas Putih ini supaya ianya terus putih melepak, tidak putih pucat.

Tuan Yang di-Pertua, bila kita bandingkan di antara isu Memali dan isu BMF kita dapati banyak rahsia-rahsia yang memalukan telah didedahkan oleh satu jawatankuasa yang hanya dibentuk oleh BBMB yang kuasa-kuasanya adalah terhad. Usaha- usahanya mencari dan meneliti fail-fail tertentu hanya terletak di atas ihsan balas kasihan pihak jabatan-jabatan tertentu. Apa kata kalau kerja-kerja penyiasatan ini ditugaskan kepada sebuah Jawatankuasa di Raja yang mempunyai kuasa-kuasa pembongkaran yang tidak terbatas sudah pasti banyak lagi penyelewengan dan pengkhianatan yang akan terburai keluar.

Tetapi dalam kes Memali, usahkan Suruhanjaya Diraja yang dibentuk sepertimana yang kami tuntut selama ini, jawatankuasa kecil seperti yang dibuat oleh BBMB pun tidak ada.

Yang ada di hadapan kita hanya kenyataan sebelah pihak sahaja iaitu pihak Kerajaan, pihak Kerajaan sahaja yang bermaharajalela membuat kenyataan-kenyataan tertentu.

Tuan Yang di-Pertua,
Tambah buruk Iagi bila sebahagian daripadanya dibuat oleh orang-orang tertentu semasa mereka ditahan, yang besar kemungkinan mereka itu telah dilakukan sesuatu yang menjejaskan mental dan fizikal mereka. Dan dalam kes penangkapan apa yang dikenali sebagai kes "Tiga Abdul" dahulupun, ada di antara mereka yang telah membuat kenyataan terbuka bila mereka dibebaskan menafikan kesahihan kenyataan yang mereka buat semasa dalam tahanan dahulu.

Tuan Yang di-Pertua,
ada beberapa perkara penting di dalam kes Memali ini yang perlu dijelaskan iaitu:

Pertama, tidak terdapat pemeriksaan ke atas senjata dan peluru oleh Jabatan Kimia dan sebagainya sepertimana yang telah dibuat dalam kes pembunuhan Dato' Mokhtar Hashim. Penyiasatan ini selain daripada tugas biasa pihak yang berkenaan yang perlu dilakukan, ia juga boleh menentukan benar atau tidak teori peluru getah atau katakanlah peluru air sejuk yang digunakan oleh pihak pasukan bersenjata.

Dia juga boleh menentukan pembunuhan ke atas pegawai-pegawai bersenjata itu sama ada daripada pihak mereka sesama sendiri memandangkan gambar sketch yang ditunjukkan di muka depan sebuah akhbar berbahasa Inggeris di hari yang pertama kejadian itu berlaku menunjukkan kedudukan pasukan Polis itu adalah secara berdepan satu sama satu.

Kedua, apa puncanya maka dalam kes pembunuhan Memali ini sahaja yang dikenakan kepungan dan tangkapan yang sampai luar daripada peri kemanusiaan, kecil-besar, tua-muda; sedangkan semasa pembunuhan bekas Ketua Polis Negara dulu tidak ada apa-apa pun tindakan luar biasa seperti itu. Semasa ramai detektif-detektif kita yang dibunuh di jalan-jalan raya di Kuala Lumpur sendiri oleh perompak-perompak yang bersenjata juga tidak ada kepongan-kepongan dan tangkapan-tangkapan beramai-ramai dibuat.

Ketiga, sudah tidak adakah cara lain yang boleh dibuat selain daripada membawa pasukan bersenjata beramai-ramai, penuh dengan kelengkapan perang yang jelas datang untuk membunuh, bukan untuk berunding. Bukankah lebih baik menggunakan kepungan ketat, seketat-ketatnya supaya barangan makanan dan minuman kehabisan.

Dan bagi orang kampung Baling keseluruhannya yang terkenal miskin, sudah tentu tidak banyak simpanan bekalan makanan yang biasanya tidak lebih daripada untuk satu ke dua minggu sahaja; itu pun banyak. Bila mereka kelaparan dan kehausan, keadaan tidak lagi memerlukan peluru dan gas pemedih mata yang memakan korban harta dan nyawa.

Kalau dengan Chin Peng, Ketua Komunis, boleh diusahakan sungguh-sungguh sampai boleh berunding. Kalau dengan pengganas-pengganas komunis pun Kerajaan lebih banyak menggunakan tektik mengepong, tidak tektik menyerang maka adalah seorang ustaz, yang Kertas Putih sendiri mengakui ilmunya tinggi dan pihak Polis sendiri mengakui kebaikannya dengan memberikannya senapang patah yang berlesen, adakah ianya lebih buruk daripada Chin Peng? Tidak masuk akal !

Kejadian Memali, Tuan Yang diPertua,perlu menjadi pelajaran kepada pihak Kerajaan bahawa tidak semua manusia boleh tunduk kepada Akta ISA dengan sewenang-wenangnya.

Ada di antara manusia yang berpelajaran tinggi telah menggunakan ilmu dan akal yang dikurniakan kepadanya oleh Tuhan seperti Allahyarham Al-Syahid Ibrahim Libya misalnya, untuk menanya diri sendiri mengapa aku dikenakan ISA, sedangkan tidak ada orang yang aku bunuh sebelum ini.

Tidak ada wang negara yang aku gelapkan sebelum ini.

Tidak ada pengajaran ilmu salah yang aku sebarkan sebelum ini. Kerana beliau telah diakui berpelajaran tinggi di bidang Islam. Kerajaan yang menuduh almarhum itu mengajar ilmu salah, adalah Kerajaan yang tidak bermaruah kerana Kerajaan yang ada hari ini sendiri tenggelam dalam lubuk ilmu salah.

Kalau almarhum Ibrahim Libya salah kerana mengajar ilmu salah sekalipun, maka bukan tugas pasukan bersenjata menembak mati orang yang menyebar ilmu salah, ada pihak lain yang ditugaskan untuk membetulkan orang yang mengajar ilmu salah iaitu Majlis Agama Islam.

Dan kenapa tidak ditembak mati bekas Pengerusi PSRM yang mengeluarkan teori Hadis yang diakui salahnya oleh pihak Nadwah Islamiah baru-baru ini sendiri?

Pentadbiran Kerajaan yang wujud hari ini adalah sambungan daripada pentadbiran Inggeris yang sengaja membelah-duakan kuasa di antara Inggeris yang bukan Islam dan di antara Raja-raja Melayu yang memerintah dengan syariat Islam sebelum itu, mulai dari Perjanjian Pangkor pada tahun 1874 hingga ke masa ini.

Kerajaan khususnya UMNO yang hingga ke hari ini menjadi tulang punggung pemerintah sekarang tidak berbuat apa-apa pun untuk menyatukan balik pembelahan tadi.
Bahkan meneruskan dasar sekular dan pengasingan Islam ini daripada pentadbiran negara.

Siapa sahaja yang membaca ucapan Yang Amat Arif Tun Haji Mohd. Salleh bin Abas dalam sidang pembukaan Seminar Perundangan Islam pada 9-2-1985, di Kuala Lumpur, anjuran Bar Council Malaya dan juga Kertas Kerja yang dikemukakan oleh Professor Dato' Ahmad Ibrahim, Dekan Fakulti Undang-undang Universiti Malaya, dalam Seminar Perundangan Islam anjuran Jabatan Syariah, UKM pada 10-8-1981 di Bangi dengan jelas dapat mengetahui bahawa negara ini bukan negara Islam sepertimana yang ditonjolkan oleh golongan yang berkepentingan.

Itu tidak termasuk lagi ucapan-ucapan pemimpin neegara sendiri di merata-rata tempat dan disiarkan secara terang-terangan. Orang yang berkeras menyatakan negara ini sebagai negara Islam maka secara otomatis telah meletakkan Rasullullah s.a. w. sendiri sebagai ketua bagi negara yang bukan Islam, waizubillah.

Sebaliknya, orang yang menyakini dengan penuh iman bahawa Rasullullah s.a. w. itu ketua negara Islam dengan sendirinya menyakini bahawa negara ini bukan negara Islam. Kerana kalau yang menggunakan perundangan buatan sendiri itu dikira Islam maka yang menggunakan perundangan Allah itu takkanlah hendak dinamakan Islam juga.

Kalau di antara negara sosialis dan negara demokrasi pun telah dibeza-bezakan hasil dari perbezaan perlembagaan masing-masing, inikan di antara wahyu langit dan keputusan manusia di bumi takkanlah tidak ada beza.

Kalau kedua-duanya serupa maka serupalah pula taraf wahyu Allah dari langit dengan taraf keputusan manusia di bumi. Dan itulah namanya "syirik".
Mereka yang menyerupakan dua perkara yang tidak serupa inilah yang sebenar-benar pelampau, dan bukan Allahyarham Ibrahim Libya yang dicapkan sebagai pelampau atau pengkhianat dan sebagainya.

Tuan Yang di-Pertua,
berhubung dengan isu fatwa; adalah diketahui umum bahawa negara ini bukannya negara fatwa. Bukan negara yang meletakkan fatwa sebagai asas aktivitinya. Bukan negara yang bertanya khabar fatwa terlebih dahulu baru menjalankan kerja-kerjanya.

Negara ini tidak pernah meminta fatwa terlebih dahulu sebelum menjalankan kegiatan ASN misalnya, yang melibatkan kewangan dan ekonomi rakyat yang melabur di tempat-tempat permodalan yang mengamalkan riba.

Tidak meminta fatwa terlebih dahulu sebelum membuka kegiatan judi dan maksiat-maksiat lain. Bahkan sebelum daripada melakukan pembunuhan beramai-ramai di Memali pun tidak juga terlebih dahulu meminta fatwa.

Meminta fatwa dan mengeluarkan fatwa dalam kes Memali sama ada "syahid makriqah" kah atau tidak adalah merupakan pertolongan cemas dari golongan yang sedang dirundung bala yang mereka sendiri menimpanya.

Khalifah pertama, selepas RASULLULLAH S.A.W. dalam • ucapan sulungnya sebelum memegang jawatan ketua negara ada menyebut, yang bermaksud "hendaklah kamu sekalian taatkan saya selagi saya sendiri taatkan Allah."

Beliau sendiri mengeluarkan fatwa bahawa ketaatan rakyatnya kepada beliau adalah bersyarat. Beliau sendiri mentaati Allah terlebih dahulu, sedangkan beliau adalah Khalifah yang pertama yang telah diberi mandat oleh Rasullullah S.A.W. supaya orang Islam sekalian taatkan Khalifah.

Maka kalau seorang Khalifah telah meletakkan syarat ke atas diri sendiri maka golongan yang tidak bertaraf Khalifah tidak usahlah bising, dan tidak usahlah risau sangat sekiranya ada sesiapa yang mempertikaikan pendapat dan fatwa mereka. Islam, alhamdulillah tidak tegap atas fatwa, tetapi tegap atas nas yang sah dan muktabar.

Zaman manusia sebelah sini menerima secara total semua pendapat orang atas dan menerima semua fatwa golongan tertentu telah pun berlalu masanya.

Zaman pengajian Islam telah mula menyuluhi alam dan generasi baru telah mula menguasai alam pemikiran yang jauh berbeza dengan "grand design" yang diatur oleh golongan Thaghut zaman-berzaman.

Generasi sekarang ini telah dengan selera memikul tugas jihad fillah biamwalihim waanfusihim seperti yang diajar oleh Allah s.w.t. Mereka menerima Allah sebagai Tuhan bukan kerana Allah itu dilantik oleh para Malaikat untuk menjadi Tuhan. Atau ditabalkan terlebih dahulu untuk Tuhan. Allah menjadi Tuhan pujaan mereka kerana ianya Tuhan yang penuh berhak dan berkuasa, termasuk di lapangan Syariah dan hukum.

Bukan seperti kekuasaan yang ada di tangan manusia yang lebih dahulu mesti dipilih, terlebih dahulu mesti dilantik, terlebih dahulu mesti ditabal baru berkuasa. Dan cerita fatwa yang bercanggah sesama Mufti Mesir di atas isu berdamai dengan Israel adalah satu isu yang perlu difahami oleh kita sebelah sini.

Sesungguhnya kalau Kerajaan sekarang tidak berniat serong terhadap PAS khususnya Almarhum Ustaz Al-Syahid Ibrahim Libya tentunya banyak lagi ikhtiar yang boleh dibuat untuk mengelak daripada pembunuhan beramai-ramai. Kalau Musa Ahmad, bekas komunis itu pun Kerajaan berjaya membawanya balik hidup-hidup, melintasi beberapa buah negeri, inikan pula Ibrahim Libya yang rumahnya hanya di tepi jalanraya, bukan di tepi hutan belantara, ia hanya dipagari dengan kawat berduri biasa sahaja, bukannya kubu-kubu kuat macam Mengganouk di Perancis atau Barlif di Terusan Siez.

Sesungguhnya, Tuan Yang diPertua, penyalahgunaan agama hanya berlaku bila agama dan saluran agama itu dipergunakan untuk mempertahankan sekularisme, untuk mengharuskan tindakan-tindakan zalim seperti yang diamalkan oleh Kerajaan hari ini.

Hatta golongan Paderi di Manila yang tidak melibatkan diri dalam proses politik pun tahu bahawa rejim Marcos adalah zalim dan menipu, inikan pula kita orang Islam di Malaysia yang sentiasa mengikuti politik untuk membentuk politik Islam makin mudah mengenali dan dapat merasai kezaliman-kezaliman yang berlaku di Memali.

Tuan Yang di-Pertua,
Dalam masalah BMF nampaknya tidak jauh bezanya dengan masalah Memali.
Sama-sama berlaku kecuaian dan penyalahgunaan kuasa. Yang saya hendak sebut di sini cuma hanya satu iaitu waktu kes ini mula heboh kira-kira 2-3 tahun lepas, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sekarang telah pun membuat ulasan terbuka bahawa kes ini adalah satu kes jenayah moral. Biasanya , jenayah moral ini tindakan ke atasnya pun berbentuk tindakan moral dan tatatertib sahaja, tidak melibatkan fizikal atau kewangan yang banyak. Sekiranya begitulah bendanya, maka kehilangan wang yang amat besar ini tanpa tindakan selain daripada tindakan moral sahaja akan memberanikan lagi penjenayah-penjenayah lain bertindak dalam cara yang sama atau lebih sophisticated di masa akan datang.

Dan di masa itu kewibawaan Parlimen dan kedaulatan undang-undang tidak akan mendapat tempat lagi dalam nubari rakyat. Rakyat di masa itu akan bertindak secara mereka sendiri dan inilah yang merbahaya.

Kalau hujan menimpa kita di tengah padang,
kita lari berteduh di bawah pokok;
kalau pokok tidak dapat meneduhi kita,
kita lari balik ke rumah sendiri.
Tetapi kalau rumah sendiri mula bocor,
biasanya orang buang atap lama untuk ditukar dengan atap baru.

Sekian, terima kasih

Catatan oleh;
Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS
23 Ogos 2017

Isnin, 14 Ogos 2017

TANYA USTAZ - Soal Jawab Agama Siri 29 (Hak Jiran, Petua Orang Tua Tidak Ada Nas, Hutang Dalam Islam, Wanita Sebagai Fitnah Dan Hati Terhijab.)

Soalan Pertama :
Ustaz, belakang rumah saya terdapat sebuah rumah kongsi, yang menjadi tempat tinggal sementara pekerja kontrak (Indonesia, Bangladesh) serta beragama Islam, soalan saya ustaz, apakah mereka mempunyai hak-hak sebagai jiran?

Jawapan :

Mereka adalah jiran saudari dan mereka ada hak jiran. Nabi SAW pernah bersabda maksudnya : "Berapa banyak jiran yang memegang tetangganya pada hari kiamat untuk diajukan kepada Allah SWT lalu berkata: 'Ya Allah orang ini telah menutup pintunya daripadaku dan tidak membantu aku'." (Hadis Riwayat Bukhari)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW pernah bersabda maksudnya : "Tidak akan masuk syurga orang yang jirannya tidak aman dari gangguan-gangguannya" (Hadis Riwayat Muslim).

Hak berjiran adalah satu perkara yang amat dititikberatkan oleh agama Islam. Dalam Islam, jiran adalah mereka yang dekat dengan rumah kita. Dalam bahasa klasik disebut, 40 buah rumah ke kanan dan 40 rumah ke kiri, 40 ke atas dan 40 ke bawah.

Ukuran ini menjadi relevan dengan rumah pangsapuri dan flat pada hari ini. Malah kehidupan dalam sesebuah taman perumahan. Semua mereka itu adalah jiran saudari.

Sebagai jiran kita, masing-masing ada kewajipan dan ada hak. Abdullah Nasih `Ulwan dalam bukunya Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam, ada memberikan empat asas yang semua pihak patut fahami, malah mengamalkannya:

1. Jangan menyakiti jiran.

Dasar ini memberi erti tidak boleh sama sekali melakukan zina, mencuri, mengutuk dan mencampakkan sampah sarap ke rumah jiran. Jadi perbuatan buruk terhadap jiran anda itu amatlah salah. Melakukan zina atau melakukan pencurian terhadap jiran sepuluh kali ganda lebih buruk daripada melakukannya kepada pihak lain. Hingga hadis Bukhari ada menyebut Tidak beriman mereka yang menyakiti jiran.

Manakah lagi satu perbuatan keji selain daripada berzina dengan anak jiran atau mencuri hak mereka. Ia boleh diibaratkan membuang najis ke dalam periuk nasi.

2. Memelihara jiran.

Setiap daripada kita wajib memelihara jiran. Sikap ini menandakan hati yang bersih. Sekali lagi Nabi SAW mengingatkan , "Siapa yang memenuhi hajat jirannya, Allah akan memenuhkan hajatnya." . Segala kebaikan hendaklah diberikan kepada jiran.

3. Berbuat baik kepada jiran.

Dengan maksud jika jiran bergembira seperti dapat menantu, anak-anak lulus dengan baik dalam peperiksaan atau pelajaran, maka ikutlah sama memberikan tahniah dan jika mereka berduka kerana kematian keluarganya, berilah takziah, walaupun bukan seagama. Malah jika mereka ditimpai sakit ziarahilah mereka. Jika anda bertemu berilah salam atau sapalah mereka. Ertinya, jika ada keperluan mereka kepada pertolongan, mereka hendaklah dibantu. Dalam hal ini nabi Muhammad SAW. meletakkan mereka yang menghormati jiran itu sebagai tanda orang yang beriman.

Sebagai orang yang dekat, jiranlah tempat kita memohon pertolongan apa sahaja keperluan .Kepada jiran dalam perkara ini melebihi keluarga sendiri yang tinggal jauh. Jika habis air, garam,beras atau keperluan harian yang lain, maka jiranlah tempat mengadu, apa lagi di kampung. Jika ada kenduri kendara memerlukan kawasan, mangkuk pinggan, atau peralatan dapur, siapa lagi jika bukan jiran yang menjadi tempat untuk meminta bantuan.

4. Menanggung kejahatan jiran.

Kata pepatah melayu buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali-kali. Memang jika diikutkan hati yang panas, apa sahaja mahu dilakukan kepada jiran yang sebegitu rupa. Tetapi Islam meletakkan mereka yang membalas kejahatan jiran dengan kebaikan sebagai kedudukan yang paling mulia.

Rasulullah SAW selalu memuji orang yang berlapang dada, mudah memaafkan, memberi kepada mereka yang enggan berbuat begitu kepada kita, malah menghubung silaturrahim dengan mereka yang memutuskan silaturrahim.

Membalas kejahatan dengan kejahatan akan merosakkan perpaduan. Jika ada ruang untuk membaiki keadaan secara baik, itulah jalan paling selamat. Justeru itu kita dituntut memiliki perasaan bersabar dan tidak mudah jadi pemarah. Jangan bersikap panas baran Dalam perkara ini pendidikan sejak awal perlu disemai, di mana setiap orang dididik agar tahu dan amalkan sikap berbaik-baik dengan jiran . Wallahu a'lam

Soalan Kedua :
Amalan membasahkan pinggan makanan dengan sedikit air setiap kali selepas makan dari zaman tok nenek sebagai petua agar rezeki yang diperolehi tidak putus-putus itu, apakah hukumnya ustaz? Mohon penjelasan dr ustaz.

Jawapan :

Amalan basahkan sedikit air selepas makan tak ada nas yg sahih yang menyuruhnya dan kepercayaan tersebut boleh mendapat rezeki satu kepercayaan kurafat wajib di tinggalkan. Nabi suruh habiskan makanan dan tak tinggal sia-sianya

Kita tak boleh berpegang pada petua yang bersangkut paut dengan perkara akan datang dan akidah, rezeki, bala, jodoh, umur pendik, kedatangan tetamu, akan menangis kerana semua perkara ghaib adalah urusan Allah SWT melainkan jika ada nas yang membenarkannya. Tetapi jika petua bersangkut paut dengan masaalah kesihatan kita boleh terima contoh : wanita baru bersalin tak boleh makan timun, jangan banyak bergerak ada kebaikakannya kerana timun sayur yang sejuk dan akan menganggu rahim wanita dan banyak bergerak boleh berlaku tumpah darah. Jangan mandi waktu malam - kajian doktor jika kerap mandi malam boleh menimbulkan msaalah kesihatan seperti asma atau paru-paru berair. Anak-anak kena masuk rumah sebelum magrib - ada hadis yang menyatakan syaitan berkeliaran waktu magrib melainkan nak pergi ke surau atau masjid untuk solat magrib.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah bersabda dalam hadis yang panjang, yang telah diriwayatkan oleh Syaikhani, Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim,

خَمْسٍ لَا يَعْلَمُهُنَّ إِلَّا اللَّهُ ثُمَّ تَلَا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ { إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَدًا وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ }

“Ada lima perkara (ghaib) tidak ada yang mengetahuinya kecuali Allah, kemudian Rasul membaca (QS Luqman 34) :

(1) sesungguhnya hanya disisiNya lah ilmu tentang hari kiamat;

(2) Dan Dia yang menurunkan hujan;

(3)Dia yang mengetahui apa yang ada dalam rahim;

(4) dan tidak ada orang yang mengetahui (dengan pasti) apa yang akan dikerjakan/diperoleh besok,

(5) dan tidak ada seorangpun yang mengetahui di bumi mana ia akan meninggal dunia. Sesungguhnya Allah maha mengetahui, maha mengenal.”

Tidak benar rezeki berlaku sebab tuang air selepas makan, bukankah rezeki itu urusan Allah SWT? . Amalan sunah yang di suruh oleh Nabi SAW adalah seperti berikut :

Sesudah makan menjilat pingan dan jari. Sabda Nabi SAW bermaksud : "Sungguh kamu tidaklah mengetahui (bahagian) manakah (makanan kamu) yang mengandungi keberkatan.' (Hadis Riwayat Muslim)

Malah Rasulullah SAW menyuruh umatnya agar menyapu makanan dalam pingan (untuk dimakan) .

"Perbuatan Nabi SAW dimana baginda menjilat (dan menghisap) sisi-sisi makanan (serta memakannya) daripada tiga putung jari (yang menjemput makanan) sebelum lagi baginda menyapu jari-jarinya." (Hadis Riwayat Musliam) . Bukannya menuang air di pinggan selepas makan.

Sebagai umat Islam generasi baru yang memahani Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna maka kita boleh kaji balik petua-petua orang tua-tua mana yang berkaitan dengan kesihatan maka boleh di ambil dan ada ulasan dan kajian doktor atau pakar perubatan. Mana-mana petua yang ada nas hadis seperti larang anak-anak di waktu senja, tutup tingkap dan pintu, tutup bekas air minuman , tak boleh buang air di air bertakung, maka kita letakkan hadis daripada nabi SAW dan mana-mana yang lansung tak ada nas dan ianya bersangkut paut rezeki atau tetamu akan datang (perkara ghaib) maka kita buangkan terus tak boleh di amalkan. Maka dengan ini barulah umat islam akan berpegang pada petua yang tak bertentangan dengan syariat dan dapat beramal dengan suatu amalan yang jelas datangnya daripada Rasulullah SAW.

Soalan Ketiga :
Bagaimana ustaz jika seseorang mempunyai hutang, dia berhajat nak membayarnya tetapi belum sempat dia meninggal dunia siapa yang akan membayar hutang tersebut? Anak-anak dan waris si mati tidak di maklumkan.

Jawapan :

Jika seseorang berhutang tetapi dia berniat hendak membayarnya jika berkemampuan, tetapi dengan izin Allah SWT dia meninggal dunia, maka dia di kira tidak berdosa kerana bukan di sengajakan untuk tidak membayar hutang.

Terdapat hadis menegaskan;

مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسِ يُرِيدُ أَدَاءَهَا أَدَّى اللَّهُ عَنْهُ، وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلاَفَهَا أَتْلَفَهُ اللَّهُ

“Sesiapa mengambil harta orang lain dengan keinginan untuk membayarnya, Allah akan membayar bagi pihaknya. Sesiapa mengambilnya dengan keinginan untuk memusnahkannya (yakni tiada keinginan untuk membayarnya), Allah akan memusnahkannya” (Hadis Riwayat Bukhari dari Abu Hurairah r.a. Soheh al-Bukhari, Kitab al-Istiqradh…, hadis no. 2387).

Menurut penjelasan ulama ; maksud “mengambil harta orang lain’ merangkumi mengambilnya sebagai hutang, mengambilnya untuk menyimpanya (wadi’ah), melalui melalui satu bentuk mu’amalah atau lain-lainnya. Ia tidak terikat dengan mengambil secara zalim sahaja. Maksud; “dengan keinginan untuk membayarnya” ialah; berniat untuk membayarnya ketika di dunia.

Maksud “Allah akan membayar bagi pihaknya” ialah; Allah akan membantunya untuk membayarnya atau Allah akan melapangkan rezkinya sehingga ia dapat membayar hak orang lain sebelum kematiannya. Atau boleh juga difahami dengan maksud doa dari Nabi SAW, iaitu; “Semoga Allah akan membayar bagi pihaknya”.

Menurut Imam al-Munawi; makna zahir hadis ini menunjukkan bahawa sesiapa berniat untuk menunaikan/membayar (hutang kepada orang lain yang tertanggung atas bahunya), kemudian ia mati sebelum sempat membayarnya kerana kesusahannya atau kerana matinya secara tiba-tiba, Allah tidak akan mengambil dari kebaikan-kebaikannya di akhirat (untuk dibayar kepada pemilik hutang tadi), akan tetapi Allah akan menjadikan pemilik hutang redha kepadanya (dan tidak menuntut haknya)” (Faidhul-Qadier, hadis no. 8351).

Maksud “mengambil dengan keinginan untuk memusnahkannya” ialah mengambil hak orang lain tanpa berniat membayarnya. Maksud “Allah akan memusnahkan hartanya” ialah; Allah akan memusnahkan hartanya di dunia dengan mentakdirkan banyak berlaku dugaan kepadanya, kerugian demi kerugian, musibah dan terhapusnya barakah, dan di akhirat pula Allah akan menghukumnya kerana hak orang lain tersebut.

Abu Hurairah r.a. menceritakan; Suatu hari Nabi SAW pernah bertanya sahabat-sahabatnya; ‘Tahukah kamu siapa orang muflis?’.

Mereka menjawab; ‘Orang muflis mengikut kefahaman kami ialah seorang yang tidak memiliki wang (untuk membayar hutangnya) dan tidak pula memiliki barang (untuk digadai bagi membayar hutangnya)’.

Lalu Nabi SAW bersabd maksudnyaa; “Seorang muflis dari kalangan umatku ialah seorang yang datang pada hari kiamat dengan solat, puasa dan zakat, namun (pada masa yang sama) ia juga membawa dosa mencela orang ini, menuduh orang itu, memakan harta orang ini, menumpahkan darah oang itu dan memukul orang ini (dan seumpamanya), lalu diberikan kepada orang ini sebahagian dari pahala-pahala kebaikannya dan diberikan kepada orang itu pula sebahagian pahalanya, hinggalah akhirnya habis pahalanya namun belum lagi terbayar dosa-dosa yang tertanggung atasnya, lalu diambil dosa-dosa mereka tadi dan ditapukkan ke atasnya hingga akhirnya ia dihumban ke dalam neraka (kerana banyak dosa)” (Hadis Riwayat Muslim. Soheh Muslim, kitab al-Birri wa as-Shilah wa al-Adab, hadis no. 2581).

Soalan Keempat :
Saya ada 2 soalan ingin minta ustaz memberikan pencerahannya :

1. Bolehkan ustaz terangkan dalam satu hadis Nabi SAW menyatakan bahawa godaan wanita itu satu fitnah. Apakah maksud fitnah?

2. Siapakah yang lebih mulia dan cantik di antara wanita solehah yang menjadi ahli syurga atau bidadari bermata jeli? dan sekiranya seorang wanita yang solehah masuk syurga namun suaminya tidak masuk syurga, dengan siapakah dia akan dinikahkan di syurga?

Jawapan :

1. Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Tidak aku tinggalkan suatu fitnah sesudahku lebih merbahaya kepada kaum lelaki melainkan godaan wanita." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitulah kedudukan wanita, tidak kira samaada ia sebagai anak gadis, sebagai isteri atau sebagai ibu. Apabila ia seorang yang solehah, maka mereka merupakan sebaik-baik kedudukan di antara seisi dunia. Tetapi jika sebaliknya, mereka merupakan suatu fitnah yang merbahaya kepada dunia. Walaupun mereka tidak berniat untuk membuat fitnah, tetapi wanita itu sendiri dengan kehadirannya boleh membawa fitnah jika tidak dipandu dan dikawal oleh syariat.

Fitnah maksudnya adalah ujian. Wanita itu fitnah maksudnya wanita adalah ujian untuk lelaki.

Masakan tidak, memandangnya saja boleh menimbulkan fitnah jika tubuhnya tidak dibaluti pakaian yang menutup aurat. Melangkah saja ia boleh mendatangkan fitnah jika ia melangkah tanpa mengikut peraturan syariat.

Allah SWT. tidak mengenakan sedemikian kawalan yang ketat keatas mereka jika mereka tidak sedemikian bahaya.Bukankah Rasulullah SAW. telah mengingatkan tentang wanita dalam sabdanya yang bermaksud : "Wanita adalah alat perangkap (yang digunakan oleh) syaitan." (Hadis Riwayat Asy-Shihaab)

Tetapi jika wanita telah menjadi wanita solehah maka fitnah itu akan dapat di elakkan dan dia akan menjadi sebaik-baik perhiasan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :"Sesungguhnya dunia dan seluruh isinya adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah." (Hadis Riwayat Muslim)

2. Berdasarkan hadis Nabi SAW daripada riwayat Ummu Salamah wanita dunia yang solehah lebih mulia dan cantik berbanding dengan bidadari bermata jeli. Wanita tersebut akan menjadi ketua bidadari untuk suaminya.

Daripada Ummu Salamah, isteri Nabi SAW, katanya : Aku bertanya, "Ya Rasulullah, manakah yang lebih utama, wanita dunia ataukah bidadari bermata jeli?

Baginda menjawab, "Wanita-wanita dunia lebih utama daripada bidadari-bidadari seperti kelebihan apa yang nampak dari apa yang tidak terlihat."

Aku bertanya, "Mengapa wanita-wanita dunia lebih utama daripada bidadari?"

Baginda menjawab, "Kerana solat mereka, puasa dan ibadah mereka kepada Allah. Allah meletakkan cahaya di wajah mereka, tubuh mereka adalah kain sutera, kulitnya putih bersih, pakaiannya berwarna hijau, perhiasannya kekuningan, sanggulnya mutiara dan sisirnya terbuat dari emas."

Mereka berkata : "Kami hidup abadi dan tidak mati. Kami lemah lembut dan tidak jahat sama sekali. Kami selalu mendampingi dan tidak beranjak sama sekali. Kami reda dan tidak pernah bersungut-sungut sama sekali. Berbahagialah orang yang memiliki kami dan kami memilikinya." (Hadis Riwayat ath-Tabrani).

Jika seorang wanita masuk syurga dan suaminya masuk neraka saya akan nukilkan fatwa salah seorang ulama terkemuka di zaman ini, Syeikh Muhammad al-’Utsaymīn. Syeikh Muhammad al-’Utsaymīn pernah ditanya, “Jika seorang wanita dari kalangan ahli syurga belum pernah bernikah di dunia, atau beliau sudah bernikah namun suaminya tidak masuk syurga, maka siapakah yang akan bersama wanita itu (di syurga)?” Beliau menjawab, “Jawapan atas pertanyaan ini dapat diambil dari keumuman firman Allah Taala:

وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَشْتَهِي أَنفُسُكُمْ وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَدَّعُونَ نُزُلاً مِّنْ غَفُورٍ رَّحِيم

Maksudnya, “Dan bagi kamu di dalamnya (akhirat) apa yang kamu inginkan dan bagi kamu (pula) di dalamnya apa yang kamu minta. Sebagai hidangan (bagimu) dari Rabb yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Fushshilat [41] ayat 31-32) Juga dari (keumuman) firman Allah Taala:

وَفِيهَا مَا تَشْتَهِيهِ الْأَنفُسُ وَتَلَذُّ الْأَعْيُنُ وَأَنتُمْ فِيهَا خَالِدُون

Maksudnya, “Dan di dalam syurga itu terdapat segala apa yang diingini oleh hati dan sedap (dipandang) mata dan kamu kekal di dalamnya.” (Surah Az-Zukhruf [43] ayat 71)

Di syurga terdapat ahli syurga dikalangan lelaki bujang yang belum pernah berkahwin semasa di dunia dan terdapat juga lelaki yang pernah berkahwin di dunia dia masuk syurga sedangkan isterinya ahli neraka. Wanita ahli syurga tadi akan berpeluang memilih sesiapa sahaja yang dia berkenan di kalangan lelaki ahli syurga tadi. Wanita tersebut juga berpeluang memilik lelaki ahli syurga lain yang di kenali dulu di dunia tetapi tidak berpeluang untuk mengawininya kerana dalam hadis ada di nyatakan bahawa kita akan di kumpulkan bersama orang yang kita kasihi di dunia.

Soalan Kelima :
Apakah sebabnya hati kita terhijab untuk menerima kebenaran dan bagaimana cara-cara mengatasinya? Kerjasama ustaz memberikan jawapan dan pencerahan di ucapkan ribuan terima kasih. Wassalam.

Jawapan :

Setiap manusia dilahirkan mempunyai hati. Samaada hati itu hidup atau mati bergantung kepada pemilih hati itu sendiri. Jika ia berusaha mengenali Allah SWT dan mencari kebenaran maka hatinya akan jadi baik, bersih dan sihat. Sebaliknya jika ia menjauhkan diri dengan Allah SWT dan melanggar perintah dan larangan-Nya maka hatinya akan menjadi sakit, berpenyakit dan terhijab. Inilah kelebihan manusia daripada haiwan-haiwan iaitu mempunyai hati yang dapat mengenal Allah SWT dengan sebenarnya hingga ia menjadi hamba Allah yang benar-benar takutkan kepada-Nya.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dalam hati mereka ada penyakit lalu ditambah Allah penyakitnya dan bagi mereka seksa yang pedih disebabkan mereka berdusta." (Surah Al Baqarah ayat 10)

Terdapat 4 sebab kenapa hati kita boleh terhijab (tertutup) :

Pertama : Memakan makanan yang haram atau syubahat .

Bukan sahaja hati terhijab tetapi doa pun tidak diterima oleh Allah SWT.

Dalam hadis Nabi SAW : "....seorang lelaki yang jauh perjalanannya, kusut masai rambutnya, dan berdebu mukanya menghulurkan kedua tangannya ke langit (berdoa) Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Padahal makanannya haram, minumannya haram, dan pakaiannya haram dan (mulutnya) disuapkan dengan yang haram. Maka bagaimanakah akan diperkenankan doanya." (Hadis Riwayat Muslim)

Kedua :Makanan halal tetapi berlebih-lebihan di dalam pemakanan.

Rasulullah SAW. bersabda maksudnya :"Wadah yang paling dibenci oleh Allah ialah perut yang penuh dengan makanan yang halal".

Allah SWT. benci kepada perut yang penuh dengan makanan sebab perut yang ketat itu akan melemahkan kegiatan hati yakni tidak kuat untuk memandang pada alam ghaib. Bila hati lemah maka manusia jadi lalai dan malas (mahu tidur sahaja). Malas beribadah dan mudah terjebak dalam maksiat. Atas dasar inilah para solafussoleh hanya sedikit makannya.

Ketiga : Pandangan dan Pendengaran yang Haram.

Telah sepakat orang-orang kita mengatakan: “Dari mata turun ke hati.” Ertinya hasil dari pandangan (termasuk pendengaran) bukan setakat di mata dan telinga tetapi akan bersambung dan berkesan ke hati. Kalau apa yang kita pandang dan dengar itu baik, maka hati kita akan menerima kebaikannya. Sebaliknya kalau yang kita pandang dan dengar itu maksiat dan mungkar (haram), maka hati kita akan bersalut kejahatan dan kemungkaran.

Allah SWT menyuruh lelaki beriman supaya menundukkan pandangan matanya kepada wanita yang bukan mahram, begitu juga Allah SWT menyuruh wanita beriman supaya menundukkan pandangan mereka kepada lelaki yang bukan mahram. Hikmah arahan ini adalah supaya mereka akan merasa kemanisan iman dan terpelihara hati mereka daripada cenderung kepada kemungkaran.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya..." (Surah an-Nur ayat 31)

Keempat : Melakukan dosa akan berlaku titik hitam di hati.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Siapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam." (Hadis riwayat Ibn Majah).

Hadis ini selari dengan firman Allah yang bermaksud "Sekali-kali tidak! Bahkan apa yang mereka kerjakan itu (dosa dan kekufuran) telah menutup hati mereka." (Surah al-Muthaffifiin, ayat 14).

Hati yang kotor dan hitam akan menjadi keras. Apabila hati keras, kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan. Ia akan menjadi penghalang kepada masuknya nur iman dan ilmu. Belajar sebanyak mana pun ilmu yang bermanfaat atau ilmu yang boleh memandu kita, namun ilmu itu tidak akan masuk ke dalam hati, kalau pun kita faham, tidak ada daya dan kekuatan kita untuk mengamalkannya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud "Kemudian selepas itu, hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Pada hal antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir sungai daripadanya, dan ada pula antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya. Dan ada juga antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan."

(Surah al-Baqarah, ayat 74).

#Makmum Sundari

Sabtu, 12 Ogos 2017

SAMPAIKAN SALAM KEPADA RASULULLAH


1. Sudah menjadi kebiasaan, apabila seseorang akan berangkat menunaikan ibadat Haji, maka akan ada rakan taulan, sahabat handai dan saudara mara berpesan kepadanya : " sampaikan salam saya kepada Rasulullah". Bakal jemaah Haji seraya berkata "In Sya Allah"

2. Setelah sampai di Masjid Nabawi dan berada di hadapan makam Rasulullah maka pertama sekali orang yang menziarah hendaklah memberi salam daripadanya terlebih dahulu kepada Rasulullah dengan melafazkan السلام عليك يا رسول الله صلى الله عليه وسلم atau melafazkan السلام عليك أيها النبي ورحمة الله وبركاته

3. Setelah memberi salam kepada Rasulullah bagi pihak diri sendiri, maka seterusnya hendaklah menyampaikan salam kepada Rasulullah yang dikirimkan oleh saudara mara dan sahabat handai. Lafaz salamnya ialah السلام عليك يا رسول الله من فلان بن فلان . Sebutkan nama pengirim salam pada tempat فلان بن فلان jika diingati namanya. Jika tidak diingati nama pengirim salam atau pengirim salam terlalu ramai, maka sampaikan salam mereka kepada Rasulullah dengan lafaz السلام عليك يا رسول الله من كل من أوصانا واستوصانا

4. Setelah menyampaikan salam kepada Rasulullah, maka beralihlah pula kepada makam Saidina Abu Bakar dan ucapkan salam kepadanya dengan lafaz السلام عليك يا أبا بكر صفي رسول الله صلى الله عليه وسلم وثانيه في الغار جزاك الله عن أمة رسول الله صلى الله عليه وسلم خيرا

5. Selepas itu beralihlah pula kepada makam Saidina Umar bin al-Khattab dan ucapkan salam kepadanya dengan lafaz السلام عليك يا عمر الذي أعز الله به الإسلام جزاك الله عن أمة نبيه صلى الله عليه وسلم خيرا

6. Kepada jemaah haji yang menziarahi makam Rasulullah dan dua orang sahabat baginda ini, jangan lupa mengucapkan salam kepada mereka.
(Catatan Syeikh Ahmad Faisol Hj Omar)