Rabu, 6 April 2016

HUKUM MEMBACA DOA QUNUT SOLAT SUBUH


Hukumnya adalah sunat

Pendapat yang dikemukakan oleh para imam besar seperti Malik, As Syafie, Ibnu Abi Laila, Hasan bin Soleh, Abu Ishaq Al Ghazali, Abu Bakar bin Muhammad, Hakam bin Utaibah, Hammad, Ahli HIjjaz, Al Auza'ie kebanyakan Ahli Syam malah menurut Imam An Nawawi dalam Majmu'. Ia adapah pendapat yang dipegang oleh kebanyakan ulama salaf dan generasi selepas daripada mereka bahawa doa qunut disunatkan pada solat Subuh setiap hari.

Dalil :

Mereka berdalilkan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Anas bin Malik r,a katanya :

Sentiasalah RasuluLlah s.a.w berqunut pada solat Subuh sehinggalah baginda wafat."

Diriwayatkan juga bahawa Saidina Umar membaca doa qunut pada solat Subuh di hadapan para sahabat dan selainnya.

Berkenaan dengan hadith yang diriwayatkan daripada Anas ini, menurut al Haithami, Para perawinya adalah dipercayai." Menurut an Nawawi ia diriwayatkan oleh sekumpulan huffaz (ahli hadith) dan mengakui kesahihannya.

Kesahihan ini dinyatakan oleh al Hafiz al Balkhi, Al Hakim, Al Baihaqi dan ia juga diriwayatkan oleh Ad Daruqutni melalui beberapa jalan dengan sanad yang sahih.

Dalam mazhab syafie adalah sunat hukumnya membaca doa qunut dalam solat subuh itu, baik pada ketika turunnya bala atau tidak. Ini adalah pendapat yang banyak dari ulama-ulama salaf atau katakanlah yang paling banyak dan juga pendapat ulama-ulama yang di belakang ulama salaf. Di antara yang berpendapat serupa ini adalah Saidina Abu Bakar, Umar bin Khattab, Utsman, Ali, Ibnu Abbas, Bara' bin "azib Rda (al Majmu' Syarah Muhazzab III halaman 504)


Qunut dalam Sembahyang Subuh.



Di dlm mazhab Syafie sudah disepakati bahawa membaca doa qunut dlm sembahyang Subuh , pada iktidal rakaat kedua adalah sunat ab'ad dlm erti diberi pahala bagi orang yg mengerjakannnya dan bagi yg lupa atau lalai mengerjakannya disunatkan utk menggantikannya dgn sujud sahwi.

Tersebut dlm kitab Al-Majmu' syarah Muhazzab jilid 3 hlm.504, maksudnya:

"Dlm mazhab Syafie disunatkan qunut pada solat subuh sama ada ketika turun bencana atau tidak. Dgn hukum inilah berpegang majoriti ulamak salaf dan orang2 yg sesudah mereka atau kebanyakan dari mereka. Dan diantara yg berpendapat demikian adalah Abu Bakar As-Siddiq, Umar bin Khattab, Usman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Ibnu Abbas, Barra' bin Azib, semoga Allah meredhai mereka semua. Ini diriwayatkan oleh Baihaqi dgn sanad2 yg sahih. Ramai orang yg termasuk tabi'in dan yg sesudah mereka berpendapat demikian. Inilah juga mazhab Ibnu Abi Laila, Hasan, Ibnu Salah, Malik dan Daud."

Tersebut dlm kitab Al-Um jilid 1 hlm.205 bahawa Imam Syafie
berkata,maksudnya:


"Tak ada qunut dlm sembahyang lima waktu kecuali sembahyang subuh. Kecuali jika terjadi bencana maka boleh qunut pada semua sembahyang jika imam menyukai"


Tersebut dlm kitab Al-Mahalli jilid 1 hlm.157, berkata Imam Jalaluddin
Al-Mahalli, maksudnya:

"Disunatkan qunut pada iktidal rakaat kedua drpd solat subuh dgn doa, Allahumahdini hingga akhirnya"

Demikianlah keputusan dan kepastian hukum tentang qunut subuh dalam mazhab kita Syafie.ALASAN ORANG-ORANG YG MENOLAK QUNUT

Ada orang yg berpendapat bahawa Nabi Muhammad saw melakukan qunut satu bulan shj berdasarkan hadith Anas ra, maksudnya:

"Bahawasanya Nabi saw melakukan qunut selama satu bulan sesudah rukuk sambil mendoakan kecelakaan ke atas beberapa puak Arab kemudian baginda meninggalkannya." Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.
 



Kita menjawab:

Hadith daripada Anas tersebut kita akui sebagi hadith yg sahih kerana terdapat dlm kitab Bukhari dan Muslim. Akan tetapi yg menjadi permasalahan sekarang adalah kata:(thumma tarakahu= Kemudian Nabi meninggalkannya).

Apakah yg ditinggalkan oleh Nabi itu?

Meninggalkan qunutkah? Atau meninggalkan berdoa yg mengandungi kecelakaan ke atas puak-puak Arab?

Untuk menjawab permasalahan ini lah kita perhatikan baik2 penjelasan Imam Nawawi dlm Al-Majmu'jil.3,hlm.505 maksudnya:



"Adapun jawapan terhadap hadith Anas dan Abi Hurairah r.a dlm ucapannya dengan (thumma tarakahu) maka maksudnya adalah meninggalkan doa kecelakaan ke atas orang2 kafir itu dan meninggalkan laknat terhadap mereka shj. Bukan meninggalkan seluruh qunut atau meninggalkan qunut pada selain subuh. Pentafsiran spt ini mesti dilakukan kerana hadith Anas di dlm ucapannya 'sentiasa Nabi qunut di dlm solat subuh sehingga beliau meninggal dunia'
adalah sahih lagi jelas maka wajiblah menggabungkan di antara kedua-duanya."

Imam Baihaqi meriwayatkan dan Abdur Rahman bin Madiyyil, bahawasanya beliau berkata, maksudnya:

"Hanyalah yg ditinggalkan oleh Nabi itu adalah melaknat."

Tambahan lagi pentafsiran spt ini dijelaskan oleh riwayat Abu Hurairah ra yg berbunyi, maksudnya:

"Kemudian Nabi menghentikan doa kecelakaan ke atas mereka."

Dengan demikian dapatlah dibuat kesimpulan bahawa qunut Nabi yg satu bulan itu adalah qunut nazilah dan qunut inilah yg ditinggalkan, bukan qunut pada waktu solat subuh.

2. Ada juga orang2 yg tidak menyukai qunut mengemukakan dalil hadith Saad bin Thariq yg juga bernama Abu Malik Al-Asja'i, maksudnya:

"Dari Abu Malik Al-Asja'i, beliau berkata: Aku pernah bertanya kpd bapaku, wahai bapa! sesungguhnya engkau pernah solat di belakang Rasulullah saw, Abu Bakar, Usman dan Ali bin Abi Thalib di sini di kufah selama kurang lebih dari lima tahun. Adakah mereka melakukan qunut?. Dijawab oleh bapanya:"Wahai anakku, itu adalah bid'ah." Diriwayatkan oleh Tirmizi.

Kita jawab:

Kalau benar Saad bin Thariq berkata begini maka sungguh menghairankan kerana hadith2 tentang Nabi dan para Khulafa Rasyidun yg melakukan qunut banyak sangat sama ada di dlm kitab Bukhari, Muslim, Ibnu Majah, Abu Daud, Nasa'i dan Baihaqi.

Oleh itu ucapan Saad bin Thariq tersebut tidaklah diakui dan terpakai di dlm mazhab Syafie dan juga mazhab Maliki.

Hal ini disebabkan oleh kerana beribu-ribu orang telah melihat Nabi melakukan qunut, begitu pula sahabat baginda. Manakala hanya Thariq seorang shj yg mengatakan qunut itu sebagai amalan bid'ah.

Maka dlm kes ini berlakulah kaedah usul fiqh iaitu:

"Almuthbitu muqaddimun a'la annafi"

Maksudnya: Orang yg menetapkan lebih didahulukan atas orang yg menafikan.

Tambahan lagi orang yg mengatakan ADA jauh lebih banyak drpd orang yg mengatakan TIDAK ADA.

Seperti inilah jawapan Imam Nawawi didlm Al-Majmu' jil.3,hlm.505, maksudnya:



"Dan jawapan kita terhadap hadith Saad bin Thariq adalah bahawa riwayat orang2 yg menetapkan qunut terdapat pada mereka itu tambahan ilmu dan juga mereka lebih banyak. Oleh itu wajiblah mendahulukan mereka"

Pensyarah hadith Turmizi yakni Ibnul 'Arabi juga memberikan komen yg sama terhadap hadith Saad bin Thariq itu. Beliau mengatakan:"Telah sah dan tetap bahawa Nabi Muhammad saw melakukan qunut dlm solat subuh, telah tetap pula bahawa Nabi ada qunut sebelum rukuk atau sesudah rukuk, telah tetap pula bahawa Nabi ada melakukan qunut nazilah dan para khalifah di Madinah pun melakukan qunut serta Sayyidina Umar mengatakan bahawa qunut itu sunat,
telah pula diamalkan di Masjid Madinah. Oleh itu janganlah kamu tengok dan jgn pula ambil perhatian terhadap ucapan yg lain drpd itu."

Bahkan ulamak ahli fiqh dari Jakarta yakni Kiyai Haji Muhammad Syafie Hazami
di dlm kitabnya Taudhihul Adillah ketika memberi komen terhadap hadith Saad
bin Thariq itu berkata:

"Sudah terang qunut itu bukan bid'ah menurut segala riwayat yg ada maka yg bid'ah itu adalah meragukan kesunatannya sehingga masih bertanya-tanya pula. Sudah gaharu cendana pula, sudahh tahu bertanya pula"

Dgn demikian dapatlah kita fahami ketegasan Imam Uqaili yg mengatakan bahawa Abu Malik itu jangan diikuti hadithnya dlm masalah qunut.(Mizanul I'tidal jil.2,hlm.122)

3. Ada juga orang mengetengahkan riwayat dari Ibnu Masu'd yg mengatakan, maksudnya: "Nabi Muhammad saw tidak pernah qunut di dlm solat apa pun."

Kita jawab:

Riwayat ini menurut Imam Nawawi dlm Al-Majmu' adalah terlalu dhaif kerana di antara perawinya terdapat Muhammad bin Jabir A-Suhaimi yg ucapannya selalu ditinggalkan oleh ahli2 hadith. Tersebut dlm kitab Mizanul I'tidal karangan Az-Zahabi bahawa Muhammad bin Jabir As-Suhaimi adalah orang yg dhaif menurut perkataan Ibnu Mu'in dan Imam Nasa'i.

Imam Bukhari mengatakan: "Ingatannya tidak kuat!"

Imam Abu Hatim mengatakan:"Dlm waktu yg akhir dia agak pelupa dan kitabnya telah hilang."(Mizanul I'tidal jil. 3, hlm.492)

Kita juga boleh mengatakan dgn jawapan terdahulu bahawa orang yg mengatakan ADA lebih didahulukan drpd orang yg mengatakan TIDAK ADA berdasarkan kaedah:-

"Al-muthbitu muqaddamun a'la annafi" maksudnya: Orang yg menetapkan lebih didahulukan atas orang yg menafikan.

4. Ada juga yg mengajukan dalil bahawa Ibnu Abbas berkata, maksudnya:

"Qunut pada solat subuh itu bid'ah"
Kita jawab:

Hadith ini dhaif sangat kerana AlBaihaqi meriwayatkannya dari Abu Laila Al-Kufi dan Baihaqi sendiri mengatakan bahawa hadith ini tidak sahih kerana Abu Laila itu adalah matruk(orang yg ditinggalkan hadithnya).

Tambahan lagi pada hadith yg lain Ibnu Abbas sendiri mengatakan, maksudnya:
"Bahawa Nabi saw melakukan qunut pada solat subuh."

5. Ada juga yg membawa dalil bahawa Ummu Salamah berkata, maksudnya:

"Bahawasanya Nabi saw melarang qunut pada solat subuh."


Kita jawab:

Hadith ini juga dhaif kerana diriwayatkan dari Muhammad bin Ya'la dari Anbasah bin Abdurrahman dari Abdullah bin Nafi dari bapanya dari Ummu Salamah.

Berkata Daruqutni: Ketiga2 orang itu adalah lemah dan tidak benar kalau Nafi mendengar hadith itu dari Ummu Salamah.
Tersebut dlm Mizanul I'tidal: Muhammad bin Ya'la itu diperkata-katakan oleh Imam Bukhari bahawa dia banyak menghilangkan hadith. Abu Hatim mengatakannya matruk.(mizanul I'tidal 4/70). Anbasah bin Abdurrahman menurut Imam Bukhari hadithnya matruk. Manakala Abdullah bin Nafi adalah orang yg banyak meriwayatkan hadith munkar.(Mizanul I'tidal 2/422)

Sabtu, 2 April 2016

PASAK FIKRAH HAMBA DALAM BERAMAL


Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

TUNTUTAN menunaikan amal ibadah dan perjuangan itu mesti diselaraskan dengan membina fikrah hamba yakni bergantung hanya semata-mata kepada Allah. Hakikat hamba itu, ia tidak mensyirikkan Allah baik pada iktiqad akidah, mahupun pegangan tasawuf dan amal ibadah.

Dari kehambaan yang murni itulah nanti akan menjelmakan ibadah dan perjuangan tulus ikhlas. Akan lahir objektif jihad sebenar dan akan terlaksana sistem ekonomi, politik dan pentadbiran yang tidak syirik, hingga ia benar-benar mensucikan Allah dan menjadi tauhid.

Demikian intipati syarahan haraki oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Mokhtar Senik dari kitab Hikam karangan Ibnu Ata’illah as-Sakandari.

Menurutnya, termasuk mensucikan iktiqad dan fikrah sebagai hamba itu adalah dengan tidak bersandarkan kepada amal ibadah dilakukan.

Kerana jelasnya, amal itu adalah makhluk, sedang hamba wajib bersandar langsung kepada Allah di mana hamba beramal kerana menunaikan tanggung jawab terhadap perintah Allah dan melaksanakan amal sebagai tanda atau lambang ubudiyah.

Adapun syurga itu terang beliau, hanya diperolehi atas rahmat daripada Allah, bukan kerana amal oleh hamba.

“Kalaulah ibadah itu menjadi syarat untuk masuk syurga, anak yang mati kecil, masuk syurga tak? Hadis Nabi kata masuk syurga, mereka menunggu ibu bapa di syurga, termasuk anak-anak orang kafir yang belum baligh.

“Dah tu, kalau anak umur kecil itu, apa amalan dia? Solat pun tak tahu, bersuci pun tidak, apa pun tidak. Tetapi mengapa masuk syurga? Menunjukkan syurga bukan kerana amal. Syurga itu adalah merupakan ketetapan rahmat daripada Allah,” ujarnya.

Dalam contoh lain dikemukakan beliau adalah kisah warga emas yang kafir, kemudian ia melafazkan syahadah pada Asarnya dan belum pun sempat Maghrib, muallaf itu meninggal dunia kerana kemalangan.

Maka menurutnya, sudah tentu muallaf itu tidak sempat beramal, tetapi layak untuknya syurga, sekali gus menunjukkan amalan tidak menjadi sandaran untuk mendapat syurga Allah.

Hakikatnya terang beliau, hamba dianugerahkan syurga hanyalah semata-mata kerana rahmat Allah, berbanding nilaian amal belum melayakkan untuk mendapatkan syurga.

Ujar Ustaz Mokhtar, kuantiti dan kualiti amalan hamba terlalu kerdil untuk dibandingkan dengan kehebatan syurga.

“Macam kitalah, duduk rumah PPRT, lepas itu pergi tengok Ekspo Perumahan, semua rumah harga RM 2 juta ke atas. Padan tak? Kita sendiri duduk rumah PPRT, terima BR1M, tiba-tiba nak pergi tengok, nak beli rumah RM 2 juta ke atas, boleh tak? Maka begitu amalan,” misalan dikemukakannya.

Kata Ketua Ulama PAS Negeri Pahang itu, amalan hamba penuh dengan kekurangan dan kecacatan yang tidak setanding untuk nilaian mendapatkan syurga. Termasuk Rasulullah s.a.w sendiri jelasnya, walaupun diimani sebagai paling banyak, kuat, ikhlas dan tulus beramal di kalangan umat dan para Nabi, namun mengakui bahawa Baginda dijamin syurga kerana rahmat Allah.

Oleh itu pimpinnya, manusia selaku hamba tidak bersandar kepada amal, sebaliknya bersungguh-sungguh melakukan amal sebagai tanda ubudiyah kepada Allah dan sentiasa memohon rahmat dari-Nya.

*Tinggikan Ubudiyah*

Seru beliau, hamba juga perlu meninggikan ubudiyahnya sebagaimana qudwah ditunjukkan Baginda Rasulullah s.a.w yang kuat mendirikan solat malam hingga terlihat bengkak pada kakinya oleh Saiyidatina Aisyah r.a.

Tatkala dipersoal Aisyah bahawa Baginda dijamin syurga dan maksum yakni terpelihara dosa dahulu, kini dan akan datang, namun dijawab Baginda bahawa amalannya itu sebagai hamba yang bersyukur.

Maka, fikrah seperti inilah perlu dibina hamba dalam kehidupan dan perjuangan dengan memaknai tanda ubudiyahnya kepada Allah.

“Apatah lagi janji dunia. Maknanya, perjuangan kita ini bukan setakat Putrajaya, kuasa, pangkat atau menang, tetapi perjuangan kita ini tanda ubudiyah kepada Allah. Menang atau kalah, berjaya atau gagal, kami tidak kisah ya Allah. Sampai atau tidak kaki ke Putrajaya, kami tidak kisah ya Allah.

“Yang kisahnya apa? Kisahnya kita nak membuktikan ubudiyah kita kepada Allah. Ini perkara yang perlu disucikan pada ibadah, perjuangan dan jihad kita. Bila nak menang? Itu jangan Tanya. Itu bukan soal kita, jangan masuk ‘kerja’ Allah,” syarahnya.

Jelas beliau, Allah telah meletakkan sempadan hamba dengan-Nya sebagaimana contoh pada firman ayat 60 surah Ghafir iaitu peranan hamba hanya berdoa, berikhtiar dan bersandar kepada-Nya, sedangkan yang akan mengabulkannya adalah Allah.

Menurutnya, apabila manusia melanggar sempadan hamba yakni berfikir dan mempersoal urusan Allah, maka cenderung menderhaka dan melakukan perkara diharamkan Allah.

Kerana itulah tegasnya, dalam beribadah dan berjuang perlulah istiqamah dijalur sebagai hamba dengan terus menerus mengabdikan diri kepada Allah dan tidak mengubah haluan atau terbabas di lorong yang melencong, termasuk menjadi syirik atau menyembah amalan diri sendiri.

Jelas Ustaz Mokhtar, peranan hamba hanyalah melaksanakan ikhtiar, sementara Allah dengan iradah-Nya menunaikan atau tidak ikhtiar hamba itu.

*Berada Di Posisi Sebenar*

Lanjutnya, hamba mesti berada dalam ruang lingkup ditetapkan ke atasnya dan posisi hamba itu bukanlah satu kelemahan atas manusia.

Hakikat kuat atau lemah manusia itu terangnya, terletak pada tempat atau kedudukan ia diposisikan.

Contohnya ujar beliau, wanita dilihat lemah, tetapi sekiranya diserahkan tugas memasak, tentunya dilihat hebat.

“Sebab duduk di posisi dia. Tapi cuba serah kepada dia tugas memandu lori balak, lemah tak dia? Memang lemah, sebab bukan tempat dia. Maka begitu juga orang kuat. Ambil juara gusti dunia; badan besar, gagah, lantik dia suruh jadi penjaga gol bola sepak, boleh tak?

“Walaupun dia kuat, tapi bukan posisi. Jadi, soalnya sekarang, manusia ini, bukan soal lemah ataupun kuat, tetapi soal di mana posisi dia berada. Maka begitulah kita. Soalnya, di mana kita letak diri kita sebagai hamba?

“Sebagai hamba, dalam ruang lingkup seorang hamba, maka kita hebat. Itulah sifat kemuliaan, manusia mulia,” jelasnya.

Jika sebaliknya, tegas beliau, manusia akan dilihat hina misalnya ulama yang berada di luar posisinya, walaupun menghafal dan mengajar banyak kitab, tetapi menyertai kumpulan penentang Islam, pasti dilihat hina.

Penting juga serunya, dalam konteks organisasi untuk meletakkan setiap individu pada posisinya agar ia dapat melaksanakan tugas secara kuat dan hebat selari kebolehannya, kerana jika sebaliknya akan menyebabkan berlakulah kelemahan.

*Bimbingan Yang Benar*

Ustaz Mokhtar turut membetulkan salah faham bahawa tasawuf itu adalah dengan berserah harap semata-mata tanpa melakukan sesuatu, sedangkan ruang hamba adalah ikhtiar.

“Bukan senang, kalau tak dibantu oleh para alim ulama dalam bidang tasawuf yang sudah melalui jalan-jalan menyucikan diri, kita tak tahu bahawa di sana kadang-kadang kita masih berbaur dengan kesyirikan kepada Allah dalam fikrah dan tanggapan.

“Bila kita masih berbaur dengan perkara-perkara syirik, sebab itulah membawa sifat tadi, di dalam kerja kuat kita, dalam ibadat, solat, puasa, jihad, dalam perjuangan dan berorganisasi. Menyebabkan kita tidak tahu apakah objektif kita yang sebenar. Maka itu diletakkan di sana, sucikan Allah sebagai matlamat kita.

“Jadi kita ini, buat amal ibadah berjuang kerana apa? Sebagai orang awam tak apalah, kerana nak syurga, tapi kemuncak kita beribadah, berjuang ini “lillahi taala”. Dah Allah suruh, bukan soal apa Allah suruh.

“Bila Allah suruh, kena buat, walaupun kita tak faham. Bila Allah suruh berjuang, kena berjuang walaupun tak tahu bila nak menang,” nasihatnya lagi.

Atas keterbatasan itu katanya, maka manusia sebagai hamba wajib menunaikan perintah itu dengan mengikuti jalan syariat-Nya.

Memetik ayat 105 surah al-Anbiya’, beliau menjelaskan bahawa Allah telah meletakkan syarat kemenangan itu adalah dengan menyediakan diri sebagai hamba yang soleh, termasuk juga mensolehkan jamaah, jalan dakwah dan uslub digunakan.

Tegasnya, jangan sekali-kali terjebak dengan kegopohan untuk menang hingga menolak halal haram atau mengambil sistem demokrasi liberal, sekular dan seumpamanya, kerana pasti akhirnya menemui kegagalan.

“Jadi sebab itu, jangan kisah soal manusia, belum tentu ramainya manusia suka, maka kita bahagia, tidak. Belum tentu ramainya manusia benci, maka kita derita, tidak. Yang penting, kita berada atas jalan Allah, itu sahaja. Sebab apa?

“Bila kita duduk atas jalan Allah, orang yang benci itu pun boleh Allah paut hati dia jadi kasih kepada kita. Kalau kita tak duduk atas jalan Allah, orang yang sayang itu pun Allah boleh pusing hati dia benci pada kita.

“Nak yakin begitu payah dalam perjuangan. Yakin kepada benda ghaib, yang kita tak nampak. Yang kita baca dengan akal saja setiap masa. Tapi kena keluar sedikit daripada kotak akal melihat kehidupan dan perjuangan daripada dimensi tauhid dan takwa kepada Allah,” ujarnya mengajak perkara itu diasuh dalam diri.

Beliau menancapkan keimanan dengan seruan untuk menolong agama Allah dengan meyakini amal dan perjuangan itu pasti mendapat pertolongan Allah.