Sabtu, 2 April 2016

PASAK FIKRAH HAMBA DALAM BERAMAL


Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

TUNTUTAN menunaikan amal ibadah dan perjuangan itu mesti diselaraskan dengan membina fikrah hamba yakni bergantung hanya semata-mata kepada Allah. Hakikat hamba itu, ia tidak mensyirikkan Allah baik pada iktiqad akidah, mahupun pegangan tasawuf dan amal ibadah.

Dari kehambaan yang murni itulah nanti akan menjelmakan ibadah dan perjuangan tulus ikhlas. Akan lahir objektif jihad sebenar dan akan terlaksana sistem ekonomi, politik dan pentadbiran yang tidak syirik, hingga ia benar-benar mensucikan Allah dan menjadi tauhid.

Demikian intipati syarahan haraki oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Mokhtar Senik dari kitab Hikam karangan Ibnu Ata’illah as-Sakandari.

Menurutnya, termasuk mensucikan iktiqad dan fikrah sebagai hamba itu adalah dengan tidak bersandarkan kepada amal ibadah dilakukan.

Kerana jelasnya, amal itu adalah makhluk, sedang hamba wajib bersandar langsung kepada Allah di mana hamba beramal kerana menunaikan tanggung jawab terhadap perintah Allah dan melaksanakan amal sebagai tanda atau lambang ubudiyah.

Adapun syurga itu terang beliau, hanya diperolehi atas rahmat daripada Allah, bukan kerana amal oleh hamba.

“Kalaulah ibadah itu menjadi syarat untuk masuk syurga, anak yang mati kecil, masuk syurga tak? Hadis Nabi kata masuk syurga, mereka menunggu ibu bapa di syurga, termasuk anak-anak orang kafir yang belum baligh.

“Dah tu, kalau anak umur kecil itu, apa amalan dia? Solat pun tak tahu, bersuci pun tidak, apa pun tidak. Tetapi mengapa masuk syurga? Menunjukkan syurga bukan kerana amal. Syurga itu adalah merupakan ketetapan rahmat daripada Allah,” ujarnya.

Dalam contoh lain dikemukakan beliau adalah kisah warga emas yang kafir, kemudian ia melafazkan syahadah pada Asarnya dan belum pun sempat Maghrib, muallaf itu meninggal dunia kerana kemalangan.

Maka menurutnya, sudah tentu muallaf itu tidak sempat beramal, tetapi layak untuknya syurga, sekali gus menunjukkan amalan tidak menjadi sandaran untuk mendapat syurga Allah.

Hakikatnya terang beliau, hamba dianugerahkan syurga hanyalah semata-mata kerana rahmat Allah, berbanding nilaian amal belum melayakkan untuk mendapatkan syurga.

Ujar Ustaz Mokhtar, kuantiti dan kualiti amalan hamba terlalu kerdil untuk dibandingkan dengan kehebatan syurga.

“Macam kitalah, duduk rumah PPRT, lepas itu pergi tengok Ekspo Perumahan, semua rumah harga RM 2 juta ke atas. Padan tak? Kita sendiri duduk rumah PPRT, terima BR1M, tiba-tiba nak pergi tengok, nak beli rumah RM 2 juta ke atas, boleh tak? Maka begitu amalan,” misalan dikemukakannya.

Kata Ketua Ulama PAS Negeri Pahang itu, amalan hamba penuh dengan kekurangan dan kecacatan yang tidak setanding untuk nilaian mendapatkan syurga. Termasuk Rasulullah s.a.w sendiri jelasnya, walaupun diimani sebagai paling banyak, kuat, ikhlas dan tulus beramal di kalangan umat dan para Nabi, namun mengakui bahawa Baginda dijamin syurga kerana rahmat Allah.

Oleh itu pimpinnya, manusia selaku hamba tidak bersandar kepada amal, sebaliknya bersungguh-sungguh melakukan amal sebagai tanda ubudiyah kepada Allah dan sentiasa memohon rahmat dari-Nya.

*Tinggikan Ubudiyah*

Seru beliau, hamba juga perlu meninggikan ubudiyahnya sebagaimana qudwah ditunjukkan Baginda Rasulullah s.a.w yang kuat mendirikan solat malam hingga terlihat bengkak pada kakinya oleh Saiyidatina Aisyah r.a.

Tatkala dipersoal Aisyah bahawa Baginda dijamin syurga dan maksum yakni terpelihara dosa dahulu, kini dan akan datang, namun dijawab Baginda bahawa amalannya itu sebagai hamba yang bersyukur.

Maka, fikrah seperti inilah perlu dibina hamba dalam kehidupan dan perjuangan dengan memaknai tanda ubudiyahnya kepada Allah.

“Apatah lagi janji dunia. Maknanya, perjuangan kita ini bukan setakat Putrajaya, kuasa, pangkat atau menang, tetapi perjuangan kita ini tanda ubudiyah kepada Allah. Menang atau kalah, berjaya atau gagal, kami tidak kisah ya Allah. Sampai atau tidak kaki ke Putrajaya, kami tidak kisah ya Allah.

“Yang kisahnya apa? Kisahnya kita nak membuktikan ubudiyah kita kepada Allah. Ini perkara yang perlu disucikan pada ibadah, perjuangan dan jihad kita. Bila nak menang? Itu jangan Tanya. Itu bukan soal kita, jangan masuk ‘kerja’ Allah,” syarahnya.

Jelas beliau, Allah telah meletakkan sempadan hamba dengan-Nya sebagaimana contoh pada firman ayat 60 surah Ghafir iaitu peranan hamba hanya berdoa, berikhtiar dan bersandar kepada-Nya, sedangkan yang akan mengabulkannya adalah Allah.

Menurutnya, apabila manusia melanggar sempadan hamba yakni berfikir dan mempersoal urusan Allah, maka cenderung menderhaka dan melakukan perkara diharamkan Allah.

Kerana itulah tegasnya, dalam beribadah dan berjuang perlulah istiqamah dijalur sebagai hamba dengan terus menerus mengabdikan diri kepada Allah dan tidak mengubah haluan atau terbabas di lorong yang melencong, termasuk menjadi syirik atau menyembah amalan diri sendiri.

Jelas Ustaz Mokhtar, peranan hamba hanyalah melaksanakan ikhtiar, sementara Allah dengan iradah-Nya menunaikan atau tidak ikhtiar hamba itu.

*Berada Di Posisi Sebenar*

Lanjutnya, hamba mesti berada dalam ruang lingkup ditetapkan ke atasnya dan posisi hamba itu bukanlah satu kelemahan atas manusia.

Hakikat kuat atau lemah manusia itu terangnya, terletak pada tempat atau kedudukan ia diposisikan.

Contohnya ujar beliau, wanita dilihat lemah, tetapi sekiranya diserahkan tugas memasak, tentunya dilihat hebat.

“Sebab duduk di posisi dia. Tapi cuba serah kepada dia tugas memandu lori balak, lemah tak dia? Memang lemah, sebab bukan tempat dia. Maka begitu juga orang kuat. Ambil juara gusti dunia; badan besar, gagah, lantik dia suruh jadi penjaga gol bola sepak, boleh tak?

“Walaupun dia kuat, tapi bukan posisi. Jadi, soalnya sekarang, manusia ini, bukan soal lemah ataupun kuat, tetapi soal di mana posisi dia berada. Maka begitulah kita. Soalnya, di mana kita letak diri kita sebagai hamba?

“Sebagai hamba, dalam ruang lingkup seorang hamba, maka kita hebat. Itulah sifat kemuliaan, manusia mulia,” jelasnya.

Jika sebaliknya, tegas beliau, manusia akan dilihat hina misalnya ulama yang berada di luar posisinya, walaupun menghafal dan mengajar banyak kitab, tetapi menyertai kumpulan penentang Islam, pasti dilihat hina.

Penting juga serunya, dalam konteks organisasi untuk meletakkan setiap individu pada posisinya agar ia dapat melaksanakan tugas secara kuat dan hebat selari kebolehannya, kerana jika sebaliknya akan menyebabkan berlakulah kelemahan.

*Bimbingan Yang Benar*

Ustaz Mokhtar turut membetulkan salah faham bahawa tasawuf itu adalah dengan berserah harap semata-mata tanpa melakukan sesuatu, sedangkan ruang hamba adalah ikhtiar.

“Bukan senang, kalau tak dibantu oleh para alim ulama dalam bidang tasawuf yang sudah melalui jalan-jalan menyucikan diri, kita tak tahu bahawa di sana kadang-kadang kita masih berbaur dengan kesyirikan kepada Allah dalam fikrah dan tanggapan.

“Bila kita masih berbaur dengan perkara-perkara syirik, sebab itulah membawa sifat tadi, di dalam kerja kuat kita, dalam ibadat, solat, puasa, jihad, dalam perjuangan dan berorganisasi. Menyebabkan kita tidak tahu apakah objektif kita yang sebenar. Maka itu diletakkan di sana, sucikan Allah sebagai matlamat kita.

“Jadi kita ini, buat amal ibadah berjuang kerana apa? Sebagai orang awam tak apalah, kerana nak syurga, tapi kemuncak kita beribadah, berjuang ini “lillahi taala”. Dah Allah suruh, bukan soal apa Allah suruh.

“Bila Allah suruh, kena buat, walaupun kita tak faham. Bila Allah suruh berjuang, kena berjuang walaupun tak tahu bila nak menang,” nasihatnya lagi.

Atas keterbatasan itu katanya, maka manusia sebagai hamba wajib menunaikan perintah itu dengan mengikuti jalan syariat-Nya.

Memetik ayat 105 surah al-Anbiya’, beliau menjelaskan bahawa Allah telah meletakkan syarat kemenangan itu adalah dengan menyediakan diri sebagai hamba yang soleh, termasuk juga mensolehkan jamaah, jalan dakwah dan uslub digunakan.

Tegasnya, jangan sekali-kali terjebak dengan kegopohan untuk menang hingga menolak halal haram atau mengambil sistem demokrasi liberal, sekular dan seumpamanya, kerana pasti akhirnya menemui kegagalan.

“Jadi sebab itu, jangan kisah soal manusia, belum tentu ramainya manusia suka, maka kita bahagia, tidak. Belum tentu ramainya manusia benci, maka kita derita, tidak. Yang penting, kita berada atas jalan Allah, itu sahaja. Sebab apa?

“Bila kita duduk atas jalan Allah, orang yang benci itu pun boleh Allah paut hati dia jadi kasih kepada kita. Kalau kita tak duduk atas jalan Allah, orang yang sayang itu pun Allah boleh pusing hati dia benci pada kita.

“Nak yakin begitu payah dalam perjuangan. Yakin kepada benda ghaib, yang kita tak nampak. Yang kita baca dengan akal saja setiap masa. Tapi kena keluar sedikit daripada kotak akal melihat kehidupan dan perjuangan daripada dimensi tauhid dan takwa kepada Allah,” ujarnya mengajak perkara itu diasuh dalam diri.

Beliau menancapkan keimanan dengan seruan untuk menolong agama Allah dengan meyakini amal dan perjuangan itu pasti mendapat pertolongan Allah.

1 ulasan:

  1. Saya Achmad Halima Saya ingin menyaksikan karya baik ALLAH dalam hidup saya untuk orang-orang saya yang tinggal di sini di Indonesia, Asia dan di beberapa negara di seluruh dunia.
     Saya saat ini tinggal di sini di Indonesia. Saya seorang janda dengan empat anak dan saya terjebak dalam situasi keuangan pada Maret 2017 dan saya harus membiayai kembali dan membayar tagihan saya,
    Saya adalah korban penipuan kredit 3-kredit, saya kehilangan banyak uang karena saya mencari pinjaman dari perusahaan mereka. Saya hampir mati dalam proses karena saya ditangkap oleh orang-orang yang berutang, saya dibebaskan dari penjara dan saya bertemu dengan seorang teman, yang saya jelaskan situasi saya dan kemudian memperkenalkan saya kepada perusahaan pinjaman bahwa ALEXANDER ROBERT LOAN FIRM dapat diandalkan.
    Untuk orang-orang yang mencari pinjaman? Jadi Anda harus sangat berhati-hati karena banyak perusahaan pinjaman di internet penipuan di sini, tetapi mereka masih sangat nyata di perusahaan pinjaman palsu.
     Saya mendapatkan pinjaman dari ALEXANDER ROBERT LOAN FIRM sebesar Rp900.000.000 dengan sangat mudah dalam waktu 24 jam yang saya lamar, jadi saya memutuskan untuk berbagi pekerjaan baik ALLAH melalui ALEXANDER ROBERT LOAN FIRM dalam kehidupan keluarga saya. Saya menyarankan jika Anda membutuhkan pinjaman, silakan hubungi ALEXANDER ROBERT LOAN FIRM. hubungi mereka melalui email:. (alexanderrobertloan@gmail.com)
    Anda juga dapat menghubungi saya melalui email saya di (achmadhalima@gmail.com) jika Anda merasa kesulitan atau ingin prosedur untuk mendapatkan pinjaman.

    BalasPadam