Khamis, 25 Oktober 2012

Bekas mufti keterlaluan samakan ulama PAS dengan Khomeini



Bekas mufti keterlaluan samakan ulama PAS dengan Khomeini

Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh, 25 Okt 2012

Soalan yang dikemukakan oleh seorang moderator dalam Wacana Sinar Harian siri ke-15 berhubung dengan pemimpin ulama PAS yang tidak boleh ditegur dan jawapan yang diberikan oleh seorang bekas Mufti terhadap soalan tersebut adalah sangat tidak adil kepada PAS.


Bekas mufti itu ketika menjawab persoalan tersebut berkata bahawa jika PAS menjadi pemerintah dengan mentaliti orang agama tidak boleh disentuh, negara akan menjadi lebih korup daripada apa yang berlaku sekarang. Beliau menyamakan situasi itu dengan pemerintahan Ayatullah Khomeini di Iran yang tidak boleh ditegur dan disentuh.

Moderator tersebut pula seolah-olah dilihat ingin menjatuhkan kredibiliti dan memburukkan persepsi masyarakat terhadap para pimpinan ulama dalam PAS dengan mengemukakan persoalan tersebut. Ini adalah kerana beliau tidak mengemukakan apa-apa contoh, bukti dan fakta atas dakwaan bahawa golongan tersebut dalam PAS tidak boleh ditegur.

Bekas mufti tersebut juga sama dengan moderator ketika menjawab soalan yang dikemukakan tidak mengemukan contoh, bukti dan fakta. Ia adalah tidak adil kepada pimpinan ulama dalam PAS yang dituduh demikian apatah lagi wakil PAS tidak dijemput dalam wacana tersebut. Dipukul dalam keadaan tangan terikat sehingga tidak boleh menjawab terus. Kalau boleh menjawab sekalipun selepas itu, ia dalam keadaan ruang yang sangat terhad.

PAS khususnya para pimpinan ulamaknya sentiasa terbuka untuk menerima segala kritikan dan teguran. Lihat sahaja sikap Datuk Seri Tuan Guru Presiden, pimpinan ulama tertinggi dalam PAS menerima kritikan dan teguran yang keras daripada Prof. Dr. Aziz Bari yang mempertikaikan kepimpinannya. Keterbukaan beliau lebih terserlah apabila beliau sendiri mencadangkan agar dianjurkan seminar khusus bagi memberi peluang kepada Prof. Dr. Aziz Bari mengemukakan kritikan dan teguran tersebut di hadapan ahli dan pimpinan PAS.

Bekas mufti itu juga agak keterlaluan apabila menyamakan pimpinan ulama dalam PAS dengan Ayatullah Khomeini. Semua sedia maklum bahawa PAS berpegang kepada aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah dan Ayatullah Khomeini pula berpegang kepada aqidah Syiah. Dua aqidah yang sangat berbeza antara satu sama lain. Pengikut Syiah menganggap bahawa Ayatullah adalah lebih tinggi martabatnya daripada para Nabi. Jadi tidak peliklah Ayatullah tidak boleh ditegur dan disentuh.

Ada pun PAS tidak pernah mengajar orang ramai untuk berpandangan demikian. Ulamak dalam PAS berpegang kepada kata-kata Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar r.a. apabila menjadi Khalifah dan Amirul Mukminin bahawa mereka sedia untuk ditegur. Bahkan Saidina Umar r.a. sangat berbangga terhadap rakyatnya apabila ada yang menunjukkan pedang kepada beliau untuk menegurnya jika beliau melakukan kesilapan.

Perlu dijelaskan, tulisan ini bukanlah bermakna Dewan Ulamak PAS Pusat tidak boleh menerima teguran apabila disamakan dengan Ayatullah Khomeini tetapi teguran yang dikemukakan mestilah dikemukakan bukti, contoh dan berfakta. Ini adalah kerana tanpanya, ia akan memberikan persepsi buruk kepada para pimpinan ulama dalam PAS dan dianggap sebagai tuduhan yang dibuat untuk menjatuhkan kredibiliti PAS yang bakal melangkah ke Putrajaya, insya Allah. Bahkan bekas mufti itu sendiri juga telah mengemukakan pandangan dalam wacana tersebut agar teguran yang hendak dibuat mestilah profesional.

Dalam masa yang sama PAS sentiasa mengajar kepada semua ahli supaya berani menegur dalam apa jua perkara yang bercanggah dengan syariat Islam termasuk juga menegur mana-mana kesilapan yang dilakukan oleh pucuk pimpinan parti. Sejarah ini sangat banyak berlaku di sepanjang perjuangan PAS.

PAS merasakan yang tak boleh ditegur ialah pimpinan Umno dan orang-orang yang bersekongkol dengannya. Orang yang tidak bersama dengan PAS biasanya mereka yang tidak berani berdepan dengan teguran secara terbuka dan tidak mahu menerima pandangan dari orang lain. Sebab itu ramai para ulama yang bergerak bersendirian dan mereka sangat bebas menghentam orang lain saja sesuka hati. Suasana ini amat tidak digalakkan dalam Islam.

Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan