السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ
لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ
أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا
عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ
سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ
بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ
! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ
مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian
agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah
dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang
ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 41-44 surah Qaf :
وَاسْتَمِعْ يَوْمَ يُنَادِ الْمُنَادِ مِن مَّكَانٍ قَرِيبٍ ﴿٤١﴾ يَوْمَ يَسْمَعُونَ الصَّيْحَةَ بِالْحَقِّ ۚ ذَٰلِكَ يَوْمُ الْخُرُوجِ ﴿٤٢﴾ إِنَّا نَحْنُ نُحْيِي وَنُمِيتُ وَإِلَيْنَا الْمَصِيرُ ﴿٤٣﴾ يَوْمَ تَشَقَّقُ الْأَرْضُ عَنْهُمْ سِرَاعًا ۚ ذَٰلِكَ حَشْرٌ عَلَيْنَا يَسِيرٌ ﴿٤٤﴾
Maksudnya : Dan dengarlah (apa yang diterangkan kepadamu sekarang ini
mengenai hari kiamat), hari (malaikat yang menjadi) penyeru, menyeru
(makhluk-makhluk yang telah mati) dari tempat yang dekat yang dapat
didengar oleh semuanya), Iaitu hari mereka mendengar pekikan seruan
yang menyatakan perkara yang benar; hari seruan itu ialah hari
masing-masing keluar dari kubur. Sesungguhnya Kami menghidupkan dan
mematikan, dan kepada Kamilah sahaja tempat kembali (sekalian makhluk).
Pada hari bumi terbelah-belah untuk mereka segera keluar (daripadanya).
Perbuatan (menghidupkan dan) menghimpunkan mereka di Padang Mahsyar
itu, mudah bagi Kami melaksanakannya.
Alhamdulillah minggu ini 3 kali kita dihimpunkan untuk menunaikan
solat kemudian mendengar khutbah dimulai pada pagi Ahad lepas kita
sama-sama berkumpul bagi menunaikan solat sunat hari raya korban diikuti
dengan khutbah raya. 2 malam yang lepas pula kita berkumpul untuk
sama-sama menunaikan solat sunat Gerhana bulan diikuti dengan khutbah
gerhana. Pada hari ini kita berkumpul untuk himpunan mingguan bagi
sama-sama mendengar khutbah seterusnya menunaikan solat Jumaat. Antara
hikmat daripada berkumpulnya kita untuk menunaikan ibadat khusus
seterusnya mendengar nasihat dan peringatan daripada khutbah yang
disampaikan bagi mengukuhkan tali persaudaraan Islam, menyubur kasih
sayang, berkongsi ilmu, menyelesaikan masalah secara bersama dan
pelbagai lagi kebaikan dunia akhirat. Malangnya bila peluang untuk
berkumpul ini tidak digunakan sebaiknya sehingga ada yang sengaja datang
lewat untuk solat Jumaat sehingga tertinggal khutbah, ada yang berbual
dan bermain sms ketika khutbah dan pelbagai lagi gelagat yang kurang
baik. Apabila amal ibadat dan nasihat dibuat sambil lewa menyebabkan
kesan dalam menghidupkan hati yang mati, menyuburkan jasmani dan rohani
gagal diraih. Hikmat berkumpulnya kita juga bagi mengingatkan tentang
suatu himpunan yang lebih besar dan dahsyat iaitu di padang Mahsyar
nanti bagi membalas segala amalan kita di dunia dengan 2 tempat
pembalasan yang utama iaitu Syurga dengan segala nikmatnya atau Neraka
dengan segala azabnya. Sebelum kita kita dikumpul di padang Mahsyar maka
bersungguhlah kita untuk berkumpul di masjid atau surau untuk solat
berjemaah dan duduk dalam majlis ilmu kerana di sini kita masih
berpeluang untuk memperbetulkan kesilapan, memperbanyakkan amalan
sedangkan di akhirat nanti hanya untuk terima balasan tiada lagi peluang
untuk membuat apa-apa amalan di mana tiada guna lagi sebarang
penyesalan.
Firman Allah dalam ayat 18-20 surah as-Sajadah :
أَفَمَن كَانَ مُؤْمِنًا كَمَن كَانَ فَاسِقًا ۚ لَّا يَسْتَوُونَ ﴿١٨﴾ أَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ فَلَهُمْ جَنَّاتُ الْمَأْوَىٰ نُزُلًا بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ ﴿١٩﴾ وَأَمَّا
الَّذِينَ فَسَقُوا فَمَأْوَاهُمُ النَّارُ ۖ كُلَّمَا أَرَادُوا أَن
يَخْرُجُوا مِنْهَا أُعِيدُوا فِيهَا وَقِيلَ لَهُمْ ذُوقُوا عَذَابَ
النَّارِ الَّذِي كُنتُم بِهِ تُكَذِّبُونَ ﴿٢٠﴾
Maksudnya : (Jika demikian halnya) maka adakah orang yang beriman
sama seperti orang yang fasik? Mereka tidaklah sama (dalam menerima
balasan). Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka
mereka akan beroleh Syurga tempat tinggal yang tetap sebagai balasan
bagi apa yang mereka telah kerjakan. Dan sebaliknya orang-orang yang
fasik, maka tempat kediaman mereka ialah neraka; tiap-tiap kali mereka
hendak keluar dari neraka itu, mereka dikembalikan kepadanya, serta
dikatakan kepada mereka: “Rasalah azab neraka yang kamu sentiasa
mendustakannya di dunia dahulu”.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 120 surah al-An’am :
وَذَرُوا ظَاهِرَ الْإِثْمِ وَبَاطِنَهُ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَكْسِبُونَ الْإِثْمَ سَيُجْزَوْنَ بِمَا كَانُوا يَقْتَرِفُونَ ﴿١٢٠﴾
Maksudnya : Dan tinggalkanlah kamu dosa yang nyata dan yang
tersembunyi. Kerana sesungguhnya orang-orang yang berusaha melakukan
dosa, mereka akan dibalas dengan apa yang mereka telah lakukan.
Al-Quran dan hadis nabi banyak mengingatkan kita tentang bahaya dosa
di mana kita jangan sekali-kali cuba berbuat dosa walau pun kecil apatah
lagi besar. Dosa adalah suatu yang ketagih di mana sekali sahaja kita
buat akan membawa kepada untuk mengulanginya pula untuk kali seterusnya.
Oleh itu jauhi dosa maksiat dan bila terlibat maka segeralah bertaubat
agar ia tidak mendatangkan ketagihan. Bila kita sebut berkenaan ketagih
maka ia sesuatu yang sukar diubati seperti ketagihan dadah, pil kuda
yang ada hingga membawa maut. Malah isu masalah penagihan gam yang
semakin serius dalam kalangan remaja dan pelajar agak serius sehingga
kerajaan sedang merangka undang-undang untuk menyekat penjualan bahan
mengkhayalkan itu dengan sewenang-wenangnya. Begitu juga isu pesta arak
Oktoberfest yang sedang berlangsung 24 September sehingga 12 Oktober
ini yang dianjurkan oleh Carlsberg Malaysia sejak tahun 2011 di mana
perlu kepada usaha bersungguh daripada semua pihak agar ketagihan arak
dapat ditangani bukan di promosi secara terbuka. Kita tidak mahu akibat
masih bergantung kepada cukai dan hasil arak menyebabkan ketagihan arak
yang pernah mencatatkan Malaysia sebagai pengguna ke-10 tertinggi di
dunia tidak dapat diubati. Kita tidak mahu bala Allah yang lebih besar
akan turun bila masalah serius ini tidak dihiraukan apatah lagi ia
dibuat secara terbuka dan besar-besaran. Kita juga wajib pastikan umat
Islam tidak terlibat dengan industri arak kerana ia merupakan suatu dosa
yang besar. Ingatlah amaran nabi s.a.w melalui suatu hadis yang
diriwayatkan oleh Abu Daud :
قال الرسول:لَعَنَ اللَّهُ الْخَمْرَ وَشَارِبَهَا وَسَاقِيَهَا
وَبَائِعَهَا وَمُبْتَاعَهَا وَعَاصِرَهَا وَمُعْتَصِرَهَا وَحَامِلَهَا
وَالْمَحْمُولَةَ إِلَيْهِ
Maksudnya : Allah melaknati arak. (Allah juga melaknati) yang
meminumnya, yang menuangnya, yang menjualnya, yang memerah anggur (untuk
dijadikan arak), yang membantu memerah anggur itu, pembawanya dan
mereka yang menerimanya
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Pada hari kita bercakap berkenaan ketagihan internet samada melalui
komputer atau telefon pintar. Ia timbul apabila digunakan berlebihan
sehingga tidak tidur malam, tidak menumpukan kepada pekerjaan dan
perkara lain sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang Islam,
isteri, suami, anak dan kepada majikan. Malah ia boleh diibaratkan
seperti orang ketagihan dadah di mana jika tidak mengambilnya akan
menjadi tidak keruan dan semakin lama, keinginan menjadi semakin
bertambah. Apa yang lebih malang apabila mereka berkongsi suatu yang
tidak baik samada kata-kata atau gambar di mana banyak berlaku perasaan
bangga atas dosa yang dilakukan dikongsi di laman sosial facebook,
twitter dan lainnya. Mereka lupa bagaimana bahayanya bila dosa walau pun
kecil tapi dibanggakan
أَبُو هُرَيْرَةَ يَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم
يَقُولُ : كُلُّ أَمَّتِى مُعَافًى إِلاَّ الْمُجَاهِرِينَ ، وَإِنَّ مِنَ
الْمَجَانَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلاً ، ثُمَّ
يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ ، فَيَقُولَ يَا فُلاَنُ عَمِلْتُ
الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا ، وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ
يَكْشِفُ سِتْرَ اللهِ عَنْهُ” .- رواه البخاري ومسلم.
Maksudnya : Setiap umatku akan mendapat ampunan,
kecuali mujahirin (orang-orang yang terang-terangan berbuat dosa). Dan
yang termasuk terang-terangan berbuat dosa adalah seseorang berbuat
(dosa) pada malam hari, kemudian pada pagi hari dia menceritakannya,
padahal Allah telah menutupi perbuatannya tersebut, di mana dia berkata,
‘Hai Fulan, malam tadi aku telah berbuat begini dan begitu.’ Sebenarnya
pada malam, Tuhannya telah menutupi perbuatannya itu, tetapi pada pagi
harinya dia menyingkap perbuatannya sendiri yang telah Allah tutupinya.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Petang ini ramai bakal menumpukan perhatian kepada Belanjawan 2015 di
mana harapan pelbagai pihak mampu memberikan kebaikan untuk setiap
lapisan masyarakat. Kita tidak mahu setelah rakyat dikorbankan sebelum
hari raya korban yang baru lalu dengan kenaikan harga minyak yang
sepastinya mendatangkan kesan kepada kos barangan keperluan bakal
dikorbankan lagi dengan pelbagai tekanan melalui belanjawan yang baru.
Lebih menghairankan, dalam pada minyak dunia jatuh menjunam di pasaran
antarabangsa, minyak di negara ini dinaikkan atas nama rasionalisasi
subsidi. Sepatutnya cara belanjawan Negara yang boros dan membazir serta
banyak berlakunya kebocoran dan ketirisan yang wajib ditangani bukannya
dengan cara menarik subsidi. Kita tidak mahu keperitan rakyat bakal
bertambah dengan pelaksanaan cukai GST tahun depan. Begitu juga dengan
ugutan peminjam PTPTN bakal berdepan dengan cara bayaran balik pinjaman
yang lebih menyulit dan membebankan sedangkan hutang kroni ratusan juta
banyak dilupuskan begitu sahaja. Kita juga berharap agar belanjawan ini
mampu merapatkan jurang antara golongan papa dan kaya. Tumpuan kepada
pendidikan dan kesedaran agama mesti diambil berat. Al-Quran dan hadis
nabi banyak memberi garisan berguna bagi mewujudkan belanjawan berimbang
yang bukan sahaja mencapai kesejahteraan hidup di dunia malah yang
lebih utama di akhirat nanti
Kita tidak mahu belanjawan nanti tidak menyelami perit pedih rakyat
yang menanggung bebanan ketika pemimpin terus hidup penuh kemewahan.
Kita takut belanjawan ini masih hilang rasa belas kasihan kepada rakyat
yang tidak mampu untuk membeli makanan seharian bahkan hidup mengemis
demi dibawa pulang rezeki kepada anak-anak yang setia menunggu. Kita
bimbang belanjawan ini bukan sahaja menerus malah menambah pelbagai
derita dan duka rakyat sehingga yang papa semakin papa, yang susah
semakin derita
Beringat-ingatlah terhadap doa Nabi Muhammad SAW yang berbunyi :
اللَّهُمَّ مَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَشَقَّ
عَلَيْهِمْ فَاشْقُقْ عَلَيْهِ وَمَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا
فَرَفَقَ بِهِمْ فَارْفُقْ بِهِ
Maksudnya : Ya Allah, bagi siapa yang menjadi penguasa umatku, lalu
dia menyulitkan mereka, maka timpakanlah kesulitan kepadanya. Dan barang
siapa yang menjadi penguasa umatku, lalu dia menyayangi mereka, maka
sayangilah dia. [riwayat Muslim]
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي
وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ
وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ
العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ
الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ
فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ
التَّائِبِيْنَ
Sumber dari : http://ekhutbah.wordpress.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan