Isnin, 20 November 2017

Pas hanya boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ingin tegakkan Islam sahaja.

Pas bukan parti ‘anak tangga’ bagi mana-mana parti politik, sebaliknya mereka yang ingin mengajak Pas bekerjasama, perlu turut melakukan perubahan untuk menegakkan Islam kerana perjuangan parti itu ingin ‘membawa ke akhirat’.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, orang Pas juga perlu tahu tentang perkara itu dan melihat sendiri sejauh mana parti politik tersebut berani menegakkan Islam agar tiada pihak terus mahu mempergunakan Pas.

“Jangan ajak Pas bekerjasama, tetapi tidak buat perubahan kepada Islam, ini tidak betul. Selagi kuasa pemerintahan Islam tidak ditegakkan, selama itulah orang yang memerintah tidak akan kira dosa pahala, akan rompak harta dan macam-macam.

“Cuma Islam mampu perbetulkan orang. Pas hanya boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ingin tegakkan Islam sahaja. Dalam hal ini, DAP jelas menentang dasar Islam diperjuangkan dan di sana ada juga parti lain yang ikut,”

Menurutnya, apabila ikut DAP, mereka samalah seperti DAP.

“Ada parti yang masih senyap, ada juga seolah-olah tiada pendirian dan ini semua adalah lampu isyarat yang akan tentukan sikap orang Islam, sama ada lampu merah langgar juga atau lampu hijau baru jalan.

“Jadi, orang Pas kena tengok molek (baik-baik) parti-parti ini sejauh mana mereka boleh kerjasama dengan kita dalam tegakkan Islam. Penyokong Pas kena reti (tahu), sampai bila orang hendak guna Pas sebagai anak tangga bukannya jadikan Pas tangga untuk perubahan,” katanya.

Menjadi tanggungjawab orang Pas hari ini juga mengajak semua pihak termasuk pengundi atas pagar serta orang bukan Islam membuat perubahan bersama-sama dengan Pas agar pemerintahan secara Islam dapat ditegakkan.

“Malangnya, pihak yang ajak Pas bekerjasama ‘naik atas kepala’ Pas dan orang Pas kena sedar perkara ini.

“Islam perlu menjadi pemimpin dan pemerintah, bukan Islam menjadi ‘pak turut’, agama dan politik jangan kita letak suku-suku (berasingan),” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan