Sabtu, 9 Disember 2017

Tidak Masuk Syurga Orang Yang Suka Menyebarkan Fitnah

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.”
[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Firman Allah SWT maksudnya, “Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan fitnah kepada orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab (neraka) Jahannam dan bagi mereka azab yang membakar.” [Surah Al-Buruuj, ayat 10]

Fitnah dalam ayat di atas, begitu luas maknanya. Namun, ia turut termasuk dalam makna membuat tuduhan palsu atau mereka-reka cerita tentang si polan agar cerita itu dapat memburukkan air muka si polan, atau mendatangkan masalah/bencana kepada si polan, atau mewujudkan kebencian orang lain kepada si polan.

Orang yang membuat cerita fitnah dan tuduhan palsu, berdasarkan hadis mereka akan ke neraka selagi mereka belum bertaubat dan belum memohon maaf kepada orang yang difitnahnya itu, melainkan Allah tidak izinkan neraka baginya. Ini lah digelar hablumminannas, konsep hubungan manusia sesama manusia. Tanpa maaf dari manusia yang dizalimi, maka selagi itu Allah tidak akan redha kepada pemfitnah itu.

Kebanyakan kes tukang fitnah tidak merasai bahawa cerita fitnahnya itu sesuatu yang besar.  Tapi ia sebenarnya suatu yang besar dan kesan yang mendalam kepada orang yang difitnah, dan ia terlebih sangat besar dosanya di sisi Allah.

Firman Allah SWT maksudnya, "Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi Allah adalah perkara yang besar dosanya."
[Surah An-Nur, ayat 15]

Orang yang menyebarkan cerita fitnah, adalah orang tidak patut dipercayai katanya dan dituruti kehendaknya. Samada dia adalah ibu kita, ayah kita, abang kita, pakcik kita, atau datuk kita, maka janganlah kita terus mempercayai kata mereka dan kehendak mereka, kajilah terlebih dahulu akan kesahihan cerita mereka sebelum bertindak, sebagaimana saranan Allah:

"Dan janganlah engkau (mempercayai dan) menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya); yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan"
[Surah Al-Qalam, ayat 10-11]

Kenapa? Kerana dalam surah An-Nur ayat 15 tadi, pencerita dusta atau penyebar cerita fitnah adalah dikira dosa besar di sisi Allah, maka orang seperti ini dianggap fasiq. Maka diterangkan lagi oleh Allah dalam dalil lain:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum (atau orang lain) dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." [Surah Al-Hujurat, ayat 6]

Kita patut mendidik diri kita agar tidak menceritakan sesuatu yang dusta, tidak berkata buruk, tidak menggunakan lidah kita untuk sesuatu yang mendatangkan dosa. Lidah juga boleh menyebabkan kita dikira tidak beriman, dan boleh menyebabkan kita ke neraka.

Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda maksudnya: "Orang yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, hendaknya berkata yang baik atau, (jika tidak dapat) lebih baik diam." [Hadis Riwayat Bukhari no. 6018]

Dalam hadis lain baginda berpesan maksudnya: "Orang yang disebut muslim adalah orang yang dapat menjaga tangannya dan lisannya (dari menyakiti muslim lain)."
[Hadis Riwayat Bukhari no. 10 dan Muslim no 64]

Orang yang menyebarkan cerita dusta dan palsu dan fitnah ini juga dikategorikan sebagai ciri seorang munafiq. Maka terpalitlah segala darjat buruk kepada tukang fitnah, iaitu fasiq dan munafiq. Ini sebagaimana sabda Rasulullah saw tentang menerangkan ciri-ciri orang munafiq:

Dari Abdullah bin Amr, Nabi SAW bersabda maksudnya: “Empat perkara, siapa yang terdapat padanya empat perkara ini, maka ia adalah munafik tulen, dan siapa yang terdapat padanya salah satu darinya, maka padanya ada satu ciri kemunafikan; apabila diberi amanah ia berkhianat, apabila bercerita ia berdusta, apabila membuat janji ia mungkiri, dan apabila berdebat ia melampaui batas.”
[Hadis Riwayat Bukhari no. 3178 dan Muslim no. 2635]

Golongan penyebar fitnah ini akan habis dan lebur amalannya di akhirat nanti kerana amalannya telah diberikan kepada orang yang dia fitnah dan zalimi. Jika telah habis amalannya diberikan, maka dosa orang yang dia fitnah pula akan ditanggungi oleh dia. Dia menjadi muflis dan tidak ada lagi amalan baik pada dirinya dan dia di humbankan ke neraka. Nauzubilahiminzalik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan