Khamis, 8 Februari 2018

Musuh 'talibankan' PAS?

SEKALI lagi semalam, cubaan meracuni masyarakat bahawa PAS seumpama Taliban dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Setelah sekian lama doktrin tersebut ditanam namun tidak berjaya, ia dimainkan sekali lagi di saat semakin hampir Pilihan Raya Umum sebagai kaedah untuk menjauhkan masyarakat dari PAS.

Apabila berbicara mengenai Taliban dan mahu membuat persamaan terhadap PAS, perlu terlebih dahulu membuat perbandingannya. Terutama dari segi sosio politik, budaya, gaya pemerintahan serta struktur pemerintahan sama ada sebelum dan semasa pemerintahan Taliban itu sendiri. Namun hakikatnya ia sama sekali tidak serupa seperti yang di doktrin oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pemerintahan Taliban

Pemerintahan Taliban siapa pun tidak dapat pastikan bagaimana ia beroperasi secara tepat. Namun seperti banyak kajian dan laporan yang di lakukan, pemerintahan Taliban ditakrifkan oleh Barat sebagai "Commander of Faithful" yang tidak sama seperti dengan dokongan PAS mahupun apa lakukan di Kelantan sekarang.

Adapun terma "Commander of Faithful" itu di takrifkan sama dengan Amirul Mukminin seperti gaya pemerintahan Khalifah Islam terdahulu. Hakikatnya ia langsung tidak sama dengan zaman pemerintahan Khalifah Islam terdahulu. Ini kerana kaedah pemerintahan Taliban hanya bersandarkan kepada seorang pemerintah yang membuat semua keputusan dan wajib di patuhi.

Contoh pemerintahan PAS paling jelas ialah Kelantan yang diperintah PAS sejak 1990 dan PAS secara jelas mengangkat serta mengikuti sistem yang ada sekarang seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Di Kelantan, PAS tidak pernah mendiskriminasi mana-mana pihak, bangsa, kaum mahupun agama.

PAS mendokong sistem raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, menerima kepelbagaian budaya dan kaum serta tidak pernah menafikan hak mahupun keperluan orang bukan Islam mengamalkan agama dan budaya masing-masing seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Sekali lagi jelas ia adalah tohmahan terhadap PAS dengan mereka cereka yang tidak benar dengan tujuan untuk memburuk-burukkan PAS.

Dua modul kerajaan

Bagaimana boleh di tafsir atau dikatakan Taliban mengamalkan dua modul kerajaan sedangkan ia kabur dan menjadi kemusykilan dari mana sumber yang diambil? Walaupun ketika pemerintahan Taliban di Afghanistan terdapat struktur pemerintahan seperti menteri dan sebagainya, jelas sama sekali ia jauh berlawanan dengan sikap, pegangan serta dokongan PAS terhadap sistem pemerintahan dan Perlembagaan Negara.

Apa pun ingin digambarkan terhadap Taliban, ia langsung tiada bersamaan dengan apa yang ada mahupun akan berlaku di Malaysia. Maka gambaran bahawa PAS mengamalkan dua modul kerajaan atau mahu mengamalkannya adalah dusta semata-mata.

Digambarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bahawa Taliban ataupun pemerintahan Khalifah Islam zaman dahulu 'menginstitusi pembunuhan' hingga yang melawan arus di hukum bughah, adakah ia benar ataupun khabar dusta semata-mata?

Taliban biarlah, itu soal dia dan langsung tiada kaitan namun bila menyentuh sistem Khalifah Islam terdahulu, pihak yang tidak bertanggungjawab mungkin lupa atau pun buta sejarah barangkali. Mereka lupa Kerajaan Rom, Kerajaan Byzantine dan lain-lain kerajaan besar dahulu, apakah yang mereka lakukan jika ada negeri, kumpulan atau orang perseorangan yang berpaling tadah dari mereka, tidakkah di takrif derhaka dan di hukum bunuh serta di perangi?

Buta penglihatan tidak mengapa namun buta hati sedikit pun tidak berguna!

Bukan Islam hanya eksekutif

Sekali lagi bagaimana pihak-pihak ini mengetahui bahawa Taliban meminggirkan bukan Islam ketika memerintah Afghanistan lalu membuat persamaan terhadap PAS? Jika tidak di teliti, kita akan terpedaya selama-lamanya.

Di Afghanistan 99 peratus penduduknya beragama Islam, namun ada juga kajian yang dijalankan mendapati hampir keseluruhan penduduk Aghanistan beragama Islam. Etnik Pashtun adalah kaum majoriti di Afghanistan sebanyak 43 peratus, di ikuti oleh Tajik sebanyak 27 peratus, Uzbek 9 peratus, Hazara 8 peratus, Aimaq 4 peratus, Turkmen 3 peratus dan lain-lain etnik 5 peratus.

Hampir 84 peratus bermazhab Sunni dan 15 peratus bermazhab Syiah. Hanya terdapat sebilangan kecil sahaja Yahudi, Sikh, Parsi dan Hindu di bandar terutamanya Kabul dan Kandahar. Sekali lagi perlu di ketahui bagaimana sosio politik Afghanistan berpaksi sejak dahulu serta peranan Loya Jirga dalam struktur masyarakat Afghanistan yang menjadi pegangan majoriti rakyat Afghanistan sehingga kini.

Loya Jirga ialah sistem diguna pakai di Afghanistan sejak tahun 1747 untuk memerintah di mana ketika itu semua etnik dan puak yang ada di Afghanistan berkumpul di Kandahar untuk melantik seorang Raja. Loya Jirga atau 'Grand Council' ialah sistem di mana semua etnik dan puak menghantar wakil untuk menduduki Loya Jirga yang mana terdapat hampir 2500 wakil dari 17 daerah.

Jika dikaji daripada maklumat di atas, kita akan menjadi musykil bagaimana dikata bukan Islam di Afghanistan dipinggirkan ketika Taliban memerintah. Kerana adapun Taliban memerintah dengan seorang pemerintah mutlak atau mengikut sistem Loya Jirga yang mendominasi Aghanistan sejak sekian lama, kita dapati memang tidak akan ada bukan Islam dalam pemerintahan Afghanistan. Baik Taliban atau bukan yang memerintah disebabkan struktur sosio politik Afghanistan itu sendiri.

Jadi bagaimana pihak-pihak tidak bertanggungjawab boleh membuat andaian salah mengenai Afghanistan tanpa mengetahui keadaan di Afghanistan dan sosio politik mereka? Lebih jijik, mereka membuat persamaan yang langsung tidak lojik dan masuk akal dengan PAS. Jelas sekali, ia muslihat dan tipu daya yang kotor untuk mendoktrin masyarakat dengan memburukkan PAS sedemikain rupa.

PAS pegang teguh Perlembagaan

Sekali lagi, PAS jelas berpegang teguh dengan Perlembagaan Persekutuan, berpegang kepada sistem Demokrasi Berparlimen serta Raja Berperlembagaan. PAS sejak awal lagi menyertai Pilihan Raya Umum sebelum wujud mana-mana parti 'pucuk muda' yang ada sekarang. Modul yang paling baik untuk dijadikan contoh ialah Kelantan yang sekian lama diperintah PAS.

Maka untuk mengaitkan PAS dengan gaya pemerintahan Taliban adalah sesuatu yang tidak masuk akal serta berniat jahat. Sudahlah berkaitan Taliban pun tidak betul dan benar, banyak persepsi dan rekaan dari fakta lalu mahu dikaitan PAS dengan cerita murah sebegitu, cukup sedih dengan permainan kotor pihak sebegitu.

Jika mahu menang pilihan raya dan mengalahkan parti lain, buatlah cara bermaruah dan profesional, bukan dengan cerita dongeng yang cukup murah dan tragis. Ia cukup melambangkan betapa ceteknya pemikiran mereka dan rendahnya mentaliti mereka, inikah orang-orang yang akan kita pilih untuk memimpin kita? Usah mudah tertipu, pilih pemimpin sebenar, bukan yang membuat cereka dan berpersepsi seburuk rupa kerana kelak kita dan negara binasa dan huru hara. -HARAKAHDAILY 7/2/2018

SYAIFUL HIZAM
Pemerhati Politik

_AC_

http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/15-tanah-air/5198-musuh-talibankan-pas

SYAIFUL HIZAM  07 FEBRUARY 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan