Selasa, 19 Januari 2021

Taat kepada Pemimpin

 

Firman Allah S.W.T:

يأيهاالذينءامنواأطيعواالله وأطيعواالرسول وأولى الامرمنكم

“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan para pemimpin di kalangan kamu”.(An-Nisa:59)

Berdasarkan ayat di atas, seruan ketaatan kepada pemimpin adalah selepas ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Bermakna, ketaatan ini sangat penting untuk menjamin kesejahteraan hidup masyarakat dan negara agar menjadi Baldatan tayyibatan wa rabbun Ghafur (Negara yang baik dan mendapat keampunan Allah SWT)

Dalam suasana negara menghadapi dugaan Covid-19 ini, sewajarnya semua masyarakat perlu patuh kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana arahan datang daripada pemimpin untuk kebaikan semua. Sesebuah negara akan hancur apabila ahli atau anggota gagal menunaikan tanggungjawab menzahirkan ketaatan kepada ketua, pemimpin dan negara. Ketidakpatuhan kepada arahan pimpinan ini akan mengundang bala dan risiko yang tidak diingini.

Suruhan taat kepada pemimpin ini banyak terdapat di dalam hadis Rasulullah S.A.W, di antaranya:

1. Daripada Abdullah RA, daripada Nabi S.A.W bersabda :”Mendengar dan mentaati (Pemerintah) adalah wajib bagi setiap Muslim, sama ada dalam perkara yang disukai ataupun yang tidak disukai selagi dia tidak diperintahkan melakukan kemaksiatan. Jika dia diperintahkan melakukan kemaksiatan, maka tidaklah (wajib) dia mendengar dan mentaati.”  (Mutta faqun Alaihy, hadith riwayat al-Bukhari : 7144, Muslim : 1839, Abu Dawud : 2626, At-Tirmizi : 1707)

Matan Hadith :

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ :السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلا سَمْعَ وَلا طَاعَةَ

صحيح البخاري , كتاب الأحكام , باب السمع والطاعة للإمام ما لم تكن معصية , حديث رقم ]

2. “Sesiapa taat kepada Pemimpin, maka dia telah taat kepada-ku dan sesiapa yang menderhakai pemimpin maka dia telah derhaka kepada-ku”. (HR Bukhari No. 2957)

3. “Kamu wajib patuh dan setia, sama ada dalam keadaan susah atau senang, suka atau duka dan walaupun merugikan kepentinganmu”. (HR. Muslim No. 1836)

4. Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah S.A.W: Ya Nabi Allah, bagaimana menurutmu jika para penguasa yang memimpin kami yang selalu mengutamakan hak mereka tetapi mereka tidak bersedia memenuhi hak kami? Nabi menjawab: “Tunduk dan patuhlah kamu, sesungguhnya mereka akan bertanggungjawab atas kepimpinannya, manakala kamu juga akan bertanggungjawab terhadap ketaatan kamu kepadanya”. (HR. Muslim No. 1846)

Pengajaran Al-Quran dan hadis tentang ketaatan

  1. Kewajipan mendengar dan mentaati adalah tanda kehebatan seseorang Muslim kerana dengan memiliki sifat tersebut akan menjadi sebab nusrah (bantuan) Allah S.W.T kepadanya, contohnya bantuan untuk menghilangkan Covid-19.

  2. Setiap Muslim dituntut untuk bersabar dalam mentaati perintah ketua atau pemimpinnya sekalipun perintah tersebut berlawanan dengan kehendaknya yang menjurus ke arah kebaikan. Tetapi, jika perintah tersebut ke arah kebatilan, maka tidaklah wajib mentaatinya.

  3. Nabi S.A.W telah memberi peringatan mengenai balasan buruk di dunia dan akhirat bagi seseorang yang tidak mengikuti dan mentaati pemimpin serta yang memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan Muslimin.
Sama-samalah kita berdoa kepada Allah S.W.T agar segera mengangkat wabak Covid-19 dari bumi Malaysia khasnya dan dunia amnya. Semoga Madrasah Covid-19 ini akan melahirkan insan yang lebih taat kepada-NYa dan terus memperjuangkan agama-NYa.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan