Sabtu, 8 Ogos 2015
Panduan Solat Jemaah oleh Al Fadhil Ustaz Fisol Fazil di Kompleks MATIN
Solat Berjemaah Mengikut Fikh Mazhab Syafie
1. Niat dalam solat
Makmum mestilah berniat makmum sewaktu takbiratul ihram. Batal solat jika dia sengaja mengikut imam tanpa niat makmum atas alasan tiada apa ikatan antara dia dengan imam. Kecuali kalaulah pengikutan dia dengan imam itu secara kebetulan, tidak batal solat, namun dia dikira solat sendirian (munfarid).
Makmum yang syak niatnya samada niat makmum atau tidak, jika dalam solat, batal solatnya. Kecuali dia belum mengikuti imam 1 rukun perbuatan, maka, dia boleh berniat menjadi makmum.
Imam pula, untuk mendapat kesempurnaan berjemaah, hendaklah berniat imam sewaktu takbiratul ihram jika dia ada makmum bersamanya seawal solat. Jika di pertengahan solat, baru ada makmum mengikutinya, maka dia berniat imam sesudah makmum selesai bertakbiratul ihram. Imam yang yang tidak berniat imam, sah sembahyangnya tapi tidak mendapat kelebihan berjemaah. Kecuali untuk solat jumaat, adalah wajib bagi seseorang berniat samada imam ataupun makmum.
2. Takbiratul ihram
Tidak boleh mendahului atau serentak dengan imam dalam takbiratul ihram. Makmum kena tunggu selesainya imam takbiratul ihram, barulah boleh dia takbiratul ihram. Jika tidak, batal solatnya.
Makmum yang takbiratul ihram dan mendapati imam sujud, boleh sahaja terus sujud tanpa mengucapkan takbiratul intiqalat.
Begitu juga, jika dia mendapati imam tasyahud awal atau tasyahud akhir, terus sahaja boleh duduk tasyahud tanpa perlu bertakbir intiqalat. Membaca tasyahud itu dibolehkan baginya.
Makmum yang takbiratul ihram kemudian mendapati imam telah memberi salam sebelum dia sempat duduk, maka dia hendaklah terus sahaja berdiri meneruskan solatnya. Tidak perlu baginya duduk lagi. Dia dikira mendapat jemaah.
3. Menunggu makmum
Adalah lebih afdhal berjemaah dengan orang yang sedikit di awal waktu daripada bersembahyang berjemaah dengan orang yang banyak di akhir waktu. Justeru, tidak sunnah mentakhirkan sembahyang sebab menanti akan orang yang banyak atau menanti orang-orang terpilih.
Sunnat bagi imam menanti di 2 tempat dalam sembahyangnya; Rukuk dan tasyahud akhir; akan orang yang dirasakan datang untuk mengikutnya. Jika dia menunggu untuk makmum mengikutnya masuk jemaah, dia boleh melebihkan tasbih dalam kiraan ganjil 5x, 7x sehingga kesempurnaannya ialah 11x. Jika tiada apa keuzuran seperti itu, makruh imam membaca tasbihnya dalam rukuk atau sujud lebih dari 3x.
4. Makmum Muwafik
Makmum muwafik (mengikut imam pada waktu kadar dia sempat membaca fatihah) yang dikira uzur hendaklah menyempurnakan bacaan fatihahnya tetapi tidak boleh ketinggalan dengan imam melebihi 3 rukun panjang (rukun perbuatan) sebagai syarat mendapat rakaat. Uzur di sini adalah seperti makmum itu bacaan fatihahnya lambat sedangkan imam membaca cepat. Atau makmum syak bacaan fatihahnya. Atau makmum sibuk membaca doa iftitah dan taawuz. Jika tiada uzur, tidak boleh ketinggalan dengan imam melebihi 2 rukun perbuatan atau sembahyangnya batal. Termasuk tiada uzur, ialah seperti makmum membaca surah atau makmum diam.
Makmum muwafik yang was-was dalam membaca fatihah tidak dikira sebagai uzur. Dia perlu menyelesaikan fatihahnya dan hanya dimaafkan sekadar 2 rukun (rukuk & i’tidal). Batal solat jika imam menuju sujud sedangkan dia masih lagi qiyam dan membaca fatihah.
5. Makmum Masbuk
Makmum masbuk (mengikut imam pada waktu kadar dia tidak sempat membaca fatihah) hendaklah terus membaca fatihah tanpa dilengahkan dengan doa iftitah dan taaawuz. Bila imam rukuk, dia hendaklah terus sahaja memberhentikan bacaan fatihahnya. Dia dikira mendapat rakaat, sekiranya dia mendapat rukuk itu bersama imam sekurang-kurangnya tukmaninah (sekadar waktu melafaz subhanAllah).
Sekiranya dia melengahkan bacaan fatihahnya atas sebab sibuk membaca doa iftitah atau taawuz atau diam disebabkan lupa atau mendengar bacaan imam: Maka bilamana imam rukuk, jika dia turut rukuk dengan sengaja, batal solatnya. Hendaklah disempurnakan bacaan fatihahnya dahulu sekadar banyak huruf yang telah dibacanya (doa iftitah atau taawuz) atau lama diamnya. Jika selesai membaca yang tersebut, didapati imam masih rukuk, dia dikira mendapat rakaat. Dia dikira tidak mendapat rakaat, jika imam sudah bangun daripada rukuk dan i’tidal. Justeru, hendaklah dia menyesuaikan diri (muwafakat) dengan terus i’tidal dan tidak wajib baginya rukuk. Jika imam menuju sujud, hendaklah dia terus menuju sujud juga, tidak wajib baginya rukuk dan i’tidal. Syarat baginya tidak boleh ketinggalan dengan imam 2 rukun perbuatan atau batal solat. Kecuali dia niat mufaqarah, maka dia boleh terus solat sendirian.
Makmum masbuk yang bilamana dia takbiratul ihram, didapatinya imam rukuk tanpa dia sempat membaca apa-apa dari Al-Fatihah, maka dikira mendapat rakaat sekiranya dia dapat rukuk bersama-sama imam sekadar tukmaninah atau kadar membaca subhanaAllah. Jika tidak, rakaat tersebut tidak dikira untuknya dan batal solatnya jika dia ketinggalan dengan imam 2 rukun perbuatan.
6. Memberi Salam
Makruh makmum serentak mengiringi Imam dalam memberi salam malah boleh menghilangkan kelebihan berjemaah. Tetapi batal solat jika mendahului imam dalam memberi salam.
Sunnat bagi orang yang masbuk, untuk menyelesaikan baki rakaatnya, bangun selepas imam selesai memberi kedua-dua salam. Bangunnya itu hendaklah disegerakan dan tidaklah boleh dia sengaja duduk dengan kadar yang lama. Bangunnya makmum itu hendaklah diucapkan takbir intiqalat jika dia bangun pada rakaat yang sepatutnya dia bangun daripada tasyahud awal. Jika tidak, tidak perlu baginya takbir intiqalat.
7. Mengulangi Solat (i’adah)
Sunnat bagi makmum mengulangi (i’adah) solatnya 1x atas alasan solat pertamanya itu adalah solat sendirian atau dia ingin menemani orang lain untuk solat berjemaah. Syaratnya solat kedua itu mestilah solat jemaah. Niatnya adalah sama seperti solat pertama.
Orang yang solat sendirian kemudian mendapati ada solat jemaah didirikan, ada 3 keadaan. Pertama, dia boleh berhenti terus daripada solat itu dan masuk jemaah. Kedua, Jika solat itu kurang daripada 2 rakaat, dia boleh sempurnakan solat 2 rakaat. Solat tersebut dikira solat sunat. Kemudian dia masuk jemaah. Ketiga, jika solat itu sudah melepasi 2 rakaat, dia boleh menyelesaikan solat fardhunya secara sendirian itu kemudian dia mengulangi solat dengan berjemaah.
8. Mendahului atau ketinggalan daripada Imam
Haram mendahului imam dengan sengaja satu rukun perbuatan dan batal jikan mendahului imam dengan 2 rukun perbuatan. Terkecuali bagi mereka yang jahil atau lupa.
Jika makmum mendahului imam satu rukun dengan terlupa atau tidak sengaja, dia boleh memilih untuk kembali kepada rukun sebelumnya atau tunggu sehingga imam berada pada rukun tersebut. Contoh jika makmum rukuk mendahului imam, maka bolehlah dia menunggu sehingga imam rukuk untuk kembali bersama-sama imam.
Bagi makmum yang ketinggalan tanpa uzur, tidak boleh melebihi 2 rukun perbuatan. Contoh, makmum masih berdiri, tetapi imam sudah sempurnakan 2 rukun perbuatan dan menuju sujud.
9. Memperingatkan kelupaan imam
Disunatkan bagi makmum memperingatkan kelupaan makmum dengan lelaki mengucapkan tasbih iaitu SubhanaAllah. Wanita pula hendaklah menepuk permukaan tapak tangan kanan ke atas belakang tapak tangan kiri. Apabila imam masih meninggalkan sesuatu yang fardhu, atas keyakinannya yang dia tidak meninggalkannya, walau setelah makmum mengingatkannya, maka makmum boleh mufaraqah.
Jika imam meninggalkan sunat abaa’d, walau setelah makmum menegurnya, maka makmum tidak perlu mufaraqah. Boleh sahaja dia ikut imam. Contoh, imam meninggalkan tasyahud awal atas sebab lupa. Walaupun nanti imam tidak sujud sahwi, makmum boleh sujud sahwi selepas imam memberi salam kedua. Jika imam sujud sahwi, wajib makmum ikut sekali. Jika tidak batal sembahyang makmum. Bagi imam kena niat sujud sahwi. Bagi makmum tidak perlu berniat apa-apa kerana dia mengikut imam. Sama juga jika imam sujud tilawah.
10. Imam batal sembahyang
Imam yang batal sembahyang atas sebab seperti hadas, boleh diganti oleh makmum dengan syarat makmum belum melakukan satu rukun perbuatan. Pengganti imam kenalah menggantikan imam di tempat imam berhenti.
Haram bagi makmum bersembahyang di belakang orang yang berhadas jika dia mengetahui akan hadas orang tersebut. Samalah sekiranya orang tersebut mempunyai najis pada pakaiannya. Jika sedang sembahyang, makmum baru mengetahuinya, maka wajib bagi makmum mufaraqah. Jika setelah selesai solat, makmum baru mengetahuinya, sah solat makmum, tetapi tidak bagi imam tersebut.
11. Syarat menjadi Imam
Syarat menjadi imam mengikut urutan seperti berikut didahului oleh Faqih atau faham dalam bab hukum hakam agama terutama sembahyang. Jika terdapat dua orang yang sama faqih, maka dilihat pada elok bacaannya. Samada dia seorang qari ataupun tidak. Jika terdapat persamaan pada baik bacaannya, maka dilihat pula dari segi kewarakannya.
Batal sembahyang orang yang qari di belakang orang yang ummi jika dia mengetahui akan umminya orang tersebut. Jika di dalam sembahyang, baru dia mengetahuinya, maka hendaklah dia mufaraqah.
Jika di masjid, maka imam yang dilantik oleh pihak masjid berhak menjadi Imam. Juga, di rumah, tuan rumah lebih berhak menjadi imam, kecuali dia merasakan ada orang lain yang lebih berhak maka dia meminta orang lain menjadi imam. Namun, bagi pemimpin, dia lebih berhak menjadi makmum kepada anak-anak buahnya. Kecualilah dia menunjukkan orang lain menjadi imam.
Bagi imam yang berlainan mazhab, ia diukur mengikut iktiqad makmum. Jika makmum dapat mempastikan yang imam meninggalkan sesuatu yang diambil kira sah sembahyang dalam mazhab makmum, maka tidaklah sah mengikuti imam tersebut.
12. Saf Imam & Makmum
Saf hendaklah mengikut aturannya. Imam mestilah di hadapan makmum dan tidak boleh makmum terkehadapan daripada imam. Makmum lelaki di hadapan dan makmum perempuan di belakang lelaki. Tidak boleh saf perempuan berdiri terlalu jauh daripada saf lelaki yang akhir. Kalau ada 2 orang sahaja untuk berjemaah, makmum hendaklah berdiri di sebelah kanan imam, dekat betul dengan imam sekira-kira jari kelingking kaki kiri makmum bertemu tumit kaki kanan imam. Kalau ada 3 orang, maka 2 orang hendaklah berdiri betul-betul di tengah belakang imam dan jaraknya hendaklah dekat dengan imam kira-kira pada kadar 3 hasta. Begitu juga antara satu saf dengan saf lain di belakangnya. Jika terlalu jauh, maka hilanglah kesempurnaan berjemaah. Namun, ia dikira tetap sah solat.
Imam, sebelum mula mendirikan solat, hendaklah memastikan dahulu barisan saf untuk rapat dan lurus. Lurus itu mengikut tumit makmum. Manakala rapat itu bermaksud jari kelingking kaki makmum bertemu satu sama lain. Makmum pula janganlah hanya menjaga saf pada sebelum solat sahaja atau rakaat pertama sahaja. Sedangkan menjaga saf agar rapat dan lurus hendaklah berlaku pada setiap rakaat. Oleh yang demikian, sebaik bangun daripada sujud kedua untuk rakaat seterusnya, betulkanlah semula saf kita itu walaupun kita dalam keadaan solat.
Makmum yang seorang di kanan imam, bilamana datang seorang lain untuk menyertai jemaah, maka hendaklah dia berundur ke belakang selepas orang tersebut bertakbiratul ihram. Jika di belakangnya sempit, maka wajarlah imam tersebut yang mara ke hadapan.
Bagi seorang yang datang lewat kepada jemaah, hendaklah dia mengisi ruang kosong pada saf yang ada. Makruh baginya memulakan saf baru di belakang saf yang masih ada ruang kosong untuk diisi makmum. Jika ruang sudah penuh, dan dia seorang sahaja di belakang, bolehlah dia memulakan saf baru dengan bertakbiratul ihram, kemudian menarik seorang di saf hadapan menyertainya. Jika dia solat berseorangan di belakang, solatnya sah tetapi makruh baginya berbuat begitu serta kuranglah kesempurnaan jemaah baginya.
13. Solat Imam & Makmum
Harus bagi makmum yang solat penuh (tamam) mengikut imam yang solat qasar. Namun, imam hendaklah memberitahu sebelum solatnya yang dia solat qasar. Tidak menyalahi juga bagi makmum yang solat fardhu untuk mengikut imam yang solat sunat.
14. Jemaah baru
Bagi satu kumpulan yang masuk ke dalam masjid lalu mendapati imam dalam tasyahud akhir, afdhal bagi mereka untuk membuat jemaah baru selepas imam selesai salam. Dengan syarat waktu masih lapang dan tidak sempit.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Saya Achmad Halima Saya ingin menyaksikan karya baik ALLAH dalam hidup saya untuk orang-orang saya yang tinggal di sini di Indonesia, Asia dan di beberapa negara di seluruh dunia.
BalasPadamSaya saat ini tinggal di sini di Indonesia. Saya seorang janda dengan empat anak dan saya terjebak dalam situasi keuangan pada Maret 2017 dan saya harus membiayai kembali dan membayar tagihan saya,
Saya adalah korban penipuan kredit 3-kredit, saya kehilangan banyak uang karena saya mencari pinjaman dari perusahaan mereka. Saya hampir mati dalam proses karena saya ditangkap oleh orang-orang yang berutang, saya dibebaskan dari penjara dan saya bertemu dengan seorang teman, yang saya jelaskan situasi saya dan kemudian memperkenalkan saya kepada perusahaan pinjaman bahwa ALEXANDER ROBERT LOAN FIRM dapat diandalkan.
Untuk orang-orang yang mencari pinjaman? Jadi Anda harus sangat berhati-hati karena banyak perusahaan pinjaman di internet penipuan di sini, tetapi mereka masih sangat nyata di perusahaan pinjaman palsu.
Saya mendapatkan pinjaman dari ALEXANDER ROBERT LOAN FIRM sebesar Rp900.000.000 dengan sangat mudah dalam waktu 24 jam yang saya lamar, jadi saya memutuskan untuk berbagi pekerjaan baik ALLAH melalui ALEXANDER ROBERT LOAN FIRM dalam kehidupan keluarga saya. Saya menyarankan jika Anda membutuhkan pinjaman, silakan hubungi ALEXANDER ROBERT LOAN FIRM. hubungi mereka melalui email:. (alexanderrobertloan@gmail.com)
Anda juga dapat menghubungi saya melalui email saya di (achmadhalima@gmail.com) jika Anda merasa kesulitan atau ingin prosedur untuk mendapatkan pinjaman.