Jumaat, 11 Januari 2013

Islam mengajar umatnya agar terus-menerus memperjuangkan ajaran agamanya



Ada pihak yang yang tidak selesa, malah merasa ragu serta menganggapnya tersasar bila pendekatan ‘Membangun Negara Berkebajikan’ dijadikan misi baru politik Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Sementara pihak parti kebangsaan seumpama UMNO mentohmah PAS lari dari prinsip perjuangan kerana tidak lagi memakai cita-cita menegak Negara Islam.
Apa yang patut difahami bahawa Islam mengajar umatnya agar terus-menerus memperjuangkan ajaran agamanya. Ia adalah prinsip yang tiada tawar-menawar. Justeru sesiapa yang tawar-menawar atas prinsip Islam, maka ia bukannya pejuang agama Islam yang sejati. Maka bukan pejuang Islam jika terus membiarkan Islam tergelincir dari landasan kuasa, dan pada sama fahaman kebangsaan (selain Islam) terus meluncur lancar di landasan kuasa.
Apapun Islam tidak mengikat umatnya memilih mana-mana pendekatan untuk memajukan perjuangannya. Memilih pendekatan untuk mendapat kuasa Islam seperti mana PAS mengisytihar misi Negara Islam adalah sebenarnya ia satu pendekatan. Walaupun begitu ada banyak pihak dalam masyarakat demokrasi hari ini yang allergic dengan kalimah Negara Islam. Atas asas ini, PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang reflektif harus merungkai nilai allergic itu. Maknanya, kalimah yang serasi dengan Islam dan boleh merapati orang ramai perlu dipapar untuk persetujuan masyarakat.
PAS bersifat reflektif. Dalam hubungan ini, PAS memilih pendekatan kalimah ‘Membangun Negara Berkebajikan’ bagi memastikan mereka yang allergic itu dapat merapati diri pada prinsip Islam. Ia suatu pendekatan politik-dakwah yang sekian lama diuruskan oleh PAS. Namun, ada pula pihak yang belum cukup faham akan maslahah ini. Sehingga mencetus polemik berlapikkan hujah akademik. Meskipun pendekatan Membangun Negara Berkebajikan bukanlah akademik semata-mata, tetapi ia adalah sticker Islam yang terlekat kukuh pada prinsip PAS.
Apa yang perlu difahami, sebuah parti yang mendukungi Islam sebagai dasar, dengan al Quran dan as Sunnah serta Qias dan Ijmak sebagai panduan, sebenarnya isi kandungan kepada pendekatan Membangun Negara Berkebajikan tetap utuh berpaksikan syariat Islam. Ia sama sekali tidak sama dengan sebuah parti kebangsaan/ sekular yang berantakan memakai pendekatan Negara Islam, tetapi paksinya tetap sekular.
Sudah tentu parti itu jelas tersasar kerana penerimaan Negara Islam di sisi parti tersebut sudah bercanggah dengan dasarnya. Maka jadilah seperti pendekatan Islam Hadhari (era Pak Lah), mahupun Penerapan Nilai-nilai Islam (era Mahathirisme) atau juga pendekatan ‘Wasatiyah’ (era Najib-Rosmah). Membuktikan parti sekular Nampak jelas memperalatkan pendekatan Islam untuk menyuci diri sedangkan dalam dirinya tidak menerima akidah Islam.
Kenapa Negara Berkebajikan dikatakan tetap berpaksikan Islam? Sudah tentu ia tetap selari dan sentiasa betul atas prinsip Islam. Hal (fakta) ini patut dirujuk kepada kandungan al Quran sendiri, tatkala Allah Taala dan Hadis Nabi S.A.W sendiri mensifatkan ‘kekuasaan’ Islam itu dalam pendekatan kepelbagaian. Dalam hubungan ini, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga selaku Menteri Besar Kelantan mengulas realiti Membangun Negara Berkebajikan ini adalah tetap selari dengan prinsip Islam dan sesungguhnya ia tidak bercanggah dengan pendirian PAS untuk menegak Negara Islam. Cuma kalimahnya berbeza, sedangkan isi dan acuannya tetap sama, iaitu untuk mencapai keredaan Allah Taala.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyerlahkan fakta, antaranya harus difahami nilai kepelbagaian yang dinyatakan Allah di dalam al Quran. Sebagaimana surah al Fatihah ada kalimah yang menjadi isi Negara Islam, iaitu :

"Tunjukilah kami jalan yang lurus" - Surah al Fatihah:6
Iaitu jalan agama yang diredai Allah dan Rasul-Nya. Demikian lagi diterangkan natijah yang harus diterima ialah bahawa Allah Taala menyebutkan Islam itu dengan pelbagai nama. Selain Islam itu jalan yang betul (lurus), disebutkan :
"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya."- Surah al Imran:103
Berpegang teguhlah kamu pada tali Allah - yang bermakna tali Allah itu ialah Islam. Begitu juga di dalam al Quran :
Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu: Bukti dari Tuhan kamu, dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu (Al-Quran sebagai) Nur (cahaya) yang menerangi (segala apa jua yang membawa kejayaan di dunia ini dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak)." - Surah an Nisa:174
Allah menurunkan kepada kamu al Quran sebagai "Nur" (cahaya) yang menerangi (segala apa jua yang membawa kejayaan di dunia ini dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak). Justeru Membangun Negara Berkebajikan adalah kalimah yang diolah, sepertimana kalimah Islam itu diterangkan dalam pelbagai senario: bil-Islam (tali Allah) sebagai pengikat yang kukuh, penghubung di dalam menolong sesama insan dan Islam itu ibarat tali yang panjang dan insan beriman perlu berpegang kuat untuk sampai ke penghujungnya, iaitu syafaat Nabi Muhammad S.A.W dan keredhaan Allah Taala.
Begitu pula, Islam sebagai cahaya iman yang membebaskan kehidupan manusia dari kegelapan (tidak beriman) kepada terang-benderang (mencapai keimanan). Oleh sebab itu, sesiapa sahaja akan menerima cahaya iman dengan izin Allah, tidak kira ia seorang Melayu atau Cina atau India. Semuanya menumpang atas cahaya iman itu, kerana akhirat kelak akan dibangkitkan bersama cahaya iman, jika sebenar-benar ia beriman.

Tawaran PAS dalam dokumen Negara Berkebajikan :
  • Kerajaan beramanah, adil dan bersih.
  • Masyarakat penyayang, aman dan bersatu.
  • Ekonomi mampan, seimbang dan saksama.
  • Pendidikan berkualiti, berdaya saing dan boleh capai.
  • Perkhidmatan kesihatan cekap, berkualiti dan boleh capai.
  • Kebajikan langsung, menyeluruh dan mesra rakyat.
  • Keluarga harmoni, bahagia dan bermoral.
  • Belia, pekerja produktif, berdaya saing dan terbela.
  • Kemudahan prasarana berkualiti, cekap dan bertaraf dunia.
  • Alam sekitar segar, terpelihara dan lestari.
PAS sebuah parti yang mendukungi Islam sebagai dasar, turut membayangkan isyarat Membangun Negara Berkebajikan ini tetap utuh mahu menegakkan syariat Islam. Ia sama sekali tidak seperti sebuah parti kebangsaan yang berantakan perjuangannya. Oleh sebab itu, sesiapa sahaja akan menerima cahaya iman dengan izin Allah, tidak kira ia seorang Melayu atau Cina atau India. Semuanya menumpang atas cahaya iman itu, kerana akhirat kelak akan dibangkitkan bersama cahaya iman, jika sebenar-benar ia beriman.
Hakikat ini hanya ditemui dalam sebuah negara yang berkebajikan kerana kebajikan itu hendaklah difahami sebagai cahaya keimanan. Mana-mana negara yang melaksanakan program berkebajikan menurut acuan Islam, maka membolehkan rakyatnya mencapai tingkat berkebajikan berserta keimanan, iaitu mencapai tingkat keimanan disebabkan amal khairat kerajaan dan rakyat. 
Negara yang mempraktikkan ‘berkebajikan’ hendaklah istiqamah di atas jalan agama. Atas jalan agama pasti Allah kurniakan nikmat sepanjang di dunia sampai ke akhirat. Menghayati prinsip jalan yang lurus inilah menjadi sifat kerajaan ialah menegakkan syariat dan program negara adalah mengutamakan ‘memberi nikmat kepada rakyat, dari nikmat Allah’. Maka sifatnya memenuhi nilai-nilai ajaran Islam - charitable, beneficence, benevolence, general state of well-being, caring, virtuous, ambil peduli, cakna, penyayang - memenuhi makna syariat Islam sebagai agama, iman dan ihsan yang memandu warganegara menuju keredhaan Allah.
Selari dengan itu, dalam hadis Nabi S.A.W (seperti dalam Syarah Hadis 40 Imam Nawawi) menjelaskan makna Islam, iman dan ihsan serta tanda kiamat - mengajar bagaimana mencapai tingkat kefahaman agama yang meliputi asas akidah, amal ibadat dan peringatan kepada hidup selepas mati. Paling utama ia memenuhi asas beragama dalam konteks bernegara dan berkebajikan. Justeru menghayati prinsip asas beragama inilah, Membangun Negara Berkebajikan hendaklah difahami secara adil, iaitu merangkumi program untuk kesejahteraan hidup rakyat, malah lebih mendalam lagi ialah program yang memberi impak keharmonian kepada kehidupan beragama. Kesemuanya adalah nilai sejagat (universal) yang menjadi isi dan acuan bernegara berasaskan pendekatan Membangun Negara Berkebajikan. Maka tiadalah percanggahan antara nama Negara Islam dan Negara Berkebajikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan