Selasa, 15 Januari 2013

Ulama dan Politik Tanahair



Ulama dan Politik Tanahair

Oleh : Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat : Ustaz Haji Harun Taib




Kedudukan Ulama Dalam Islam Ulama itu ialah mereka yang takut hanya kepada Allah dari kalangan mereka yang diberi pengetahuan dan kefahaman oleh Allah ‘Azzawajal tentang Islam yang lengkap dan syumul itu. Untuk menjelaskan perkara ini Allah berfirman yang bermaksud:
"Hanya semata-mata yang takut kepada Allah daripada kalangan hambanya ialah Ulama." Al Fathir: 28
Untuk menentukan kedudukan mereka di dalam Islam, Allah berfirman yang bermaksud:
"Katakan ( wahai Muhammad ) apakah sama golongan yang berilmu dengan golongan tidak berilmu, sesungguhnya yang mempunyai akal fikiran yang waras sahaja yang selalu ingatkan perintah Allah." Al Zumar : 9
Firman Allah lagi yang bermaksud:
" Allah mengangkat darjat orang yang beriman dan golongan yang berilmu pengetahuan dan Allah amat mengetahui apa yang kamu kerjakan" Al Mujadalah : 11
Untuk menjelaskan perkara yang sama Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud :
" Sesiapa yang melalui sesuatu jalan untul mencari ilmu pengetahun, Allah memudahkan baginya jalan ke syurga. Sesungguhnya para malaikat meletakkan sayapnya untuk menuntut ilmu kerana berpuas hati dengan perbuatannya. Sesungguhnya orang-orang Alim itu meminta ampun baginya oleh sekelian yang ada di langit dan di bumi sehingga ikan-ikan di air turut meminta ampun baginya. Dan kelebihan orang alim berbanding dengan orang yang beribadat seperti kelebihan bulan berbanding dengan sekelian bintang. Para ulama itu adalah pewaris kepada para nabi dan sesungguhnya para nabi itu tidak meninggalkan emas dan perak malahan mereka meninggalkan ilmu pengetahuan. Sesiapa yang menerimanya maka ia mendapat bahagian yang cukup sempurna.
Seterusnya Rasulullah S.W.T. bersabda lagi yang bermaksud :
" Perumpamaan para ulama di muka bumi seperti bintang-bintang di langit yang memberi petunjuk kepada musafir dan pelayar di waktu malam, apabila terlindungnya bintang tersebut mereka akan terpinga-pinga kehilangan petunjuk." Hadith Riwayat Imam Ahmad
Ternyata daripada pembentangan di atas bahawa ulama itu mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Rasulullah S.A.W. meletakkan mereka sebagai pewaris para nabi. Pewaris para nabi bermaksud "menggalang ganti di dalam menjaga agama dan mentadbir dunia dengannya."
Islam menghendaki supaya para ulama menjadi pengganti nabi dalam urusan mentadbir dunia dan menjaga agama. Ityulah yang difahami oleh para sahabat dan para cerdik pandai Islam.
Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, Uthman Ibnu Affan, Ali Ibnu Abi Talib dan lain-lain daripada para khulafa' mengambil tempat baginda Rasulullah S.A.W. dalam urusan yang kita sebutkan di atas.

Justeru itu, para cerdik pandai Islam yang menulis buku di bidang siasah dan pentadbiran negara menyatakan bahawa jawatan-jawatan penting di dalam negara seperti khalifah, perdana menteri dan para hakim hendaklah disandang oleh para ulama mujtahidin dari kalangan ulama Islam. Hal ini saudara akan dapati bila saudara-saudara membaca buku-buku yang ditulis oleh Al-Imam As-Syafie, Al-Mawardi, Abu Ya'la, Ibnu Khaldun, Imam Al-Haramain Al-Juwaini, Al-Imam Al-Ghazali dan lain-lain.
Bertolak dari kajian-kajian dan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh para alim ulama yang mentadbir di zaman silam, maka para penulis dan penganalisa zaman sekarang ini membuat beberapa rumusan di antara lainnya :
1. Bahawa pemerintahan Islam itu adalah pemerintahan yang berasaskan agama. Hal ini antara lainnya diasaskan kepada kata-kata Al-Imam Al-Ghazali yang bermaksud :
" Agama itu asas dan kerajaan itu pengawal. Maka sesuatu yang tidak mempunyai asas akan tumbang dan sesuatu yang tidak ada pengawal akan hilang."
2. Ia merupakan kerajaan yang dipandu oleh para ulama. Hal ini adalah didapati daripada beberapa rumusan yang dibuat oleh cendikiawan Islam yang mengatakan bahawa mengetahui syariat Islam sampai kepada peringkat ijtihad adalah salah satu daripada syarat-syarat kelayakan untuk menjadi ketua negara, perdana menteri dan hakin di dalam negara Islam.
3. Hal ini terlalu jelas apabila kita merenung firman Allah yang bermaksud :
" Dan hendaklah kamu menjalankan hukum ( pemerintahan ) di kalangan mereka berdasarkan kepada apa yang diturunkan oleh Allah."
Siapakah yang lebih arif tentang apa yang diturunkan oleh Allah kalau tidak para ulama. Piagam Madinah jelas menyatakan bahawa rujukan kepada kerajaan Islam itu ialah kitab Allah dan Sunnah RasulNya.
" Dan sesungguhnya apa jua yang berlaku di kalangan mereka yang menandatangan piagam ini , yang khuatir berlaku kerosakan atau kehuruharaan maka kitab Allah dan sunnah Rasul menjadi rujukan."
Mengimbas kembali kepada apa yang dibentang dan apa yang berlaku di zaman Rasulullah S.A.W. dan zaman para khulafa' Al-Rasyidin mengajak kita berfikir dan membuat rumusan tentang kedudukan ulama' dalam politik sesebuah negara. Ia bukan sekadar melibatkan diri di dalam politik malahan menjadi tonggak kepada kepimpinan negara. Hal ini jelas apabila Al-Imam Al-Mawardi mengatakan antara lain : " Apabila berlaku kekosongan jawatan ketua negara, maka dua golongan masyarakat haruslah tampil ke hadapan untuk mengisi kekosongan itu. Golongan pertama ialah golongan yang mempunyai kelayakan menjadi calon ( ketua negara ) manakala golongan kedua pula ialah golongan yang layak menjadi penapis calon. Golongan yang layak menjadi calon sudah barang tentu dari kalangan ulama kerana salah satu daripada syarat-syarat kelayakan itu ialah memahami syariat sampai kepada peringkat ijtihad."

Golongan ulama bukan sekadar menjadi penasihat kepada negara atau kerajaan tetapi mereka adalah pemegang polisi dan pelaksana ke pada dasar negara.
Perbahasan mengenai kedudukan ulama dan keterlibatan mereka dalam politik tanahair berlaku apabila negara-negara umat Islam disekularismakan oleh penjajah. Merekalah yang memisahkan agama dan politik. Mereka mendualismakan cara hidup umat Islam. Satu cara hidup perseorangan dan kekeluargaan dan satu lagi cara hidup bernegara. Mereka mengekalkan cara hidup kekeluargaan mengikut hukum-hukum Islam, manakala cara hidup bernegara mereka pisahkan daripada Islam.
Hal ini menjadikan sistem politik, pentadbiran, perundangan, pendidikan, kemasyarakatan, perekonomian dan lain-lain di negara umat Islam dipisahkan daripada sistem Islam. Justery itu dalam sesebuah negara umat Islam hari ini diwujudkan dua penasihat : penasihat agama yang dinamakan mufti dan satu lagi penasihat undang-undang.Namun demikian para mufti tidak diberi apa-apa kuasa/peranan yang setahap di dalam sesebuah negara. Mereka yidak dianggap orang penting. Pandangan mereka tidaklah wajib ditaati oleh kerajaan berbeza demngan penasihat undang-undang peguam negara.
Ekoran daripada itu, institusi ulama tidak diberi penghargaan dan penghormatan yang sewajarnya. Dalam keadaan begini ulama pula berpecah kepada beberapa golongan. Hal ini bolehlah kita dapati di dalam perbincangan yang selanjutnya.



ULAMA ISLAM DI ZAMAN SEKARANG
Ulama kita di zaman sekarang bolehlah dibahagikan kepada lima bahagian :
1. Ulama yang baik, bertaqwa, ikhlas, amalan dan ibadat mereka semata-mata kepada Allah. Namun demikian mereka mengasingkan diri daripada dunia. Mereka tidak mengambil tahu tentang permasaalahan orang Islam walaupun sedikit. Mereka saling tak tumpah seperti ahli-ahli tasauf di zaman mutaakhir Islam iaitu tasauf yang negatif yang mengasingkan diri daripada dunia. Mereka melihat bahawa menjauhi diri daripada dunia adalah satu jalan selamat untuk mereka dan suatu amalan bertaqarrub kepada Allah Azza Wa Jalla . Oleh keranaitu terdapat terlalu ramai daripada kalangan orang-orang Islam dewasa ini yang menjadi mangsa kepada segala taghut dan si zalim.
Ulama tidak mengambil tanggungjawab dalam mempertahankan orang-orang Islam sama ada pada hak-haknya, aqidahnya, kemuliaanya, kehormatannya dan lain-lain lagi. Taghut terus bermaharajalela tanpa mendengar sebarang peringatan dan nasihat untuk berbuat kebaikan. Sepatutnya para alim ulama memberitahu betapa si zalim akhirnya pasti akan mendapat tentangan yang hebat daripada rakyatnya. Kumpulan ulama seperti ini terus menyambung amalan yang dilakukan oleh orang yang terdahulu daripada mereka. Walau apa pun yang terjadi mereka tidak bersedia untuk turun ke medan untuk menghayati firman Allah yang maksudnya :

" Dan hendaklah kamu menjadi umat yang menyeru manusia kepada kebaikan dan menyuruh mereka melakukan amal ma'ruf dan mencegah mereka dari melakukan kemungkaran dan merekalah orang-orang yang berjaya."
Dan untuk menghayati sabda junjunganNya ynag bermaksud :

" Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya dengan tangan ( kuasa ) . Sekiranya kamu tidak mampu hendaklah diubah dengan lidah dan sekiranya kamu tidak mampu hendaklah kamu membencinya di dalam hati kamu, itulah selemah-lemah iman."
Atau sabdanya lagi:

"Sebaik-baik jihad ialah perkataan yang benar di hadapan pemerintahan yang zalim"
2. Golongan yang sangat setia kepada Islam, cemburu kepadanya namun begitu mereka terlalu baik hati, niat mereka terlalu lkhlas. Mereka memberikan penilaian bahawa setiap orang yang mencium tangannya, menghadiri diri didalam majlis zikir serta menghadiri jemputan mereka sebagai orang yang cintakan agamanya. Justeru itu ramai di kalangan penipu yang brejaya menipu ulamak yang seperti ini. Mereka dibenarkan berkhutbah di masjid-masjid, di majlis-majlis kempen pilihanraya untuk memberi sokongan kepada "figure" ( individu ) tertentu. Tulisan-tilsan mereka memihak dan memuja orang-orang tertentu pada hal orang yang dipuji adalah orang yang paling ketat premusuhannya dengan Islam, kalau mereka mempunyai sedikit sifat hazar sudah barang tentu mereka tidak dapat diperalatkan oleh golongan itu.
3. Mereka yang sangat cintakan agama, cemburu kepadanya. Mereka menjalankan kegiatan amar ma'ruf dan nahi mungkar, akan tetapi mereka lupa kepada " ruuhu syari'ah " dan risalahnya dibidang kemasyarakatan dan sosial. Mereka terlalu mengambil berat tentang sembahyang, puasa dan lain-lain syiar agama namun begitu mereka tidak mengambil "cakna" tentang "maqasidi syari'ah". Mereka tidak begitu mengambil peduli bahawa sembahyang, puasa dan lain-lain syiar Islam sebagai pusat latihan untuk manusia, latihan moral, hati dan lain-lain. Oleh kerana itu kita dapati mereka ini berlumba-lumba menunaikan solat bila mendengar azan namun demikian mereka masih memakan riba, mereka masih menjadi si zalim, pengkhianat bangsa dan negara. Mereka bermusuh dengan lelaki yang memakai emas tetapi terus membisu terhadap pemerintah yang tidak melaksanakan hukum-hukum syariah dan terlibat dengan rasuah.Jika mereka ditanya siapa yang lebih besar dosanya di sisi Allah, yang memakai cincin emas atau pemimpin yang tidak menjalankan hukum Allah? Mereka sudah tentu akan menjawab bahawa pemerintah yang tidak menjalankan hukum Allah itu lebih besar dosanya, tetapi mereka terus membisu.
4. Ulama jahat
Mereka mencari makan dengan menggunakan agama dan memperniagakan syariat. Mereka menghampiri semua taghut, bersahabat dengan semua yang jahat dan zalim, mereka terus menyokong golongan tersebut. Islam tercabar oleh mereka. Mereka tidak merasa malu untuk mengatakan bahawa perjuangan untuk menegakkan Islam adalah perjuangan sesat, pecah belah masyarakat, keterlaluan, tidak sederhana dan sebagainya.
Pada mereka dikata orang : si fasik yang melakukan segala maksiat kerana untuk mendapat harta dan kelazatan hidup dunia lebih bertaqarrub kepada Allah berbanding dengan si alim yang menjadi pengampu kepada segala yang taghut. Mereka mengkhianati amanah ummah dengan memberi sokongan kepada si penjenayah.
5. Ulama "muslihun harakiyyun"
Mereka memahami bahawa Islam satu cara hidup yang membawa kesejahteraan kepada manusia. Islam pembebas ummah daripada memperhambakan diri kepada yang lain daripada Allah. Mereka ini berhempas pulas berusaha untuk mengajak ummah kembali menghayati syariatnya di samping mengajak ummah manusia seluruhnya menganut agama islam.
Keterlibatan mereka di dalam kerja-kerja Islam sangat kelihatan. Begitu juga dalam kancah politik tanahair tidak dapat dinafikan lagi. Mereka memberi kesedaran betapa perlunya ummah Islam membebaskan diri dari belenggu penjajahan politik, ekonomi, pemikiran dan lain-lain lagi.Hampir keseluruhan negara ummah Islam mencapai kemerdekaan melalui usaha-usaha mereka yang gigih itu, namun demikian usaha mereka untuk menjadikan ummah Islam menghayati syariatnya dalam semua aspek belum mendapat kejayaan. Ini adalah disebabkan kerana negara-negara ummah Islam meminggirkan para ulama daripada pentadbiran dan pemerintahan negara selepas mencapai kemerdekaan. Akhirnya mereka menjadi musuh buruan oleh pemerintah yang juga mengaku ianya Islam. Atas nama Islam mereka ditangkap, dipenjara dan berbagai-bagai lagi.
Mereka bukan sahaja dikecam oleh pemerintah tetapi juga oleh golongan ulama yang boleh dipergunakan oleh pemerintah. Kalau golongan ulama yang pernah digunakan oleh para pemerintah sedar, lebih-lebih lagi jika dikaitkan dengan situasi yang ada sekarang ini, maka sudah tentu mereka dapat mengerti yang sebenarnya menjadi musuh kepada kerajaan warisan penjajah itu ialah Islam.

Siapa sahaja yang ingin melaksanakan Islam - yang hendak menerangkan Islam seperti mana yang dilaksana dan diterangkan oleh Al-Quran dan As-Sunnah - pasti akan mendapat tentangan daripada kerajaan warisan itu.
Justeru itu para alim ulama hari ini haruslah memahami betul-betul sabda junjungan kita S.A.W. yang maksudnya :

"Bandingan orang yang tegak lurus di atas landasan syariat dengan orang yang melanggarnya, saling tak tumpah seperti suatu kumpulan yang sama-sama memberi saham di dalam membeli/menaiki sebuah bahtera. Satu golongan mendapat dibahagian bawah dan satu golongan lagi mendapat dibahagian atas. Kumpulan yang berada dibahagian bawah apabila menghendaki air terpaksa menaiki tingkat atas dan menyusahkan kawan-kawan mereka. Lalu mereka berfikir sekiranya bahagian mereka disebelah bawahdite,mbuskan senanglah mereka mendapat air (tidak payah naik ketingkat atas lagi) kalau sekiranya kehendak mereka dibiarkan terlaksana nanti semua mereka akan mati, tetapi sebaliknya kalau kehendak mereka itu disekat semua orang akan selamat."
Betapa jelasnya hadith ini menerangkan kepada kita kalau sekiranya golongan perosak itu dibiarkan berkuasa sudah barang tentu agama kita dimusnahkan dan negara kita akan dihancurkan. Jalan selamat ialah para alim ulama haruslah bersatu menggenbelingkan tenaga dan fikiran untuk menangani masalah politik tanahair.
Mungkin orang akan mempersoalkan apakah yang boleh dilakukan oleh para ulama? Banyak sekali kerja yang boleh dilakukan oleh para ulama di dalam menangani keadaan yang ada sekarang ini. Antara lain :
1. Bertindak menjelaskan Islam dari semua sudut dan aspek kepada semua lapisan masyarakat.
2. Mengadakan perbandingan yang rapi dan terperinci antara Islam dan bukan Islam dalam semua aspek seperti ekonomi, undang-undang ,politik, pentadbiran pemerintahan dan sebagainya.
3. Menghapuskan segala kekeliruan yang diperlakukan kepada Islam.
4. Mentarbiah dan mendidik orang-orang Islam supaya benar-benar mengerti Islam dan perjuangan untuk menegakkan Islam.

5. Menyusun rapi segala tenaga yang telah dididik supaya semuanya berfungsi dan berperanan.

6. Menjadi bintang kepada islam untuk menghadapi segala cabaran golongan taghut dan seterusnya mengundurkan golongan tersebut dari kerusi masing-masing melalui cara-cara yang dihalalkan oleh undang-undang.

7. Melibatkan diri dalam semua kegiatan kemasyarakatan dan politik tanahair.
Wallahu A'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan